Oleh: Muhammad Hadi
ARAU : Dalam usaha memantapkan lagi hubungan dua hala antara JKKKPs dan agensi kerajaan, Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Guar Sanji telah mengambil inisiatif menganjurkan Majlis Lawatan Wakil Rakyat dan Taklimat Pengurusan Kampung DUN Guar Sanji 2020 yang telah diadakan semalam.
Program berkenaan diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Jelempok dekat sini dengan dihadiri oleh wakil-wakil dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKKPs) serta pegawai agensi kerajaan yang terlibat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Guar Sanji Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim, antara perkara penting yang menjadi keutamaan pihaknya adalah untuk mewujudkan penyelarasan maklumat secara dua hala antara agensi kerajaan dan jawatankuasa pengurusan kampung.
Penyelarasan maklumat ini ujarnya lagi amat penting bagi membina pengurusan yang lebih cekap serta mempercepat proses membuat keputusan dan tindakan antara kedua pihak.
“Dengan adanya penyelarasan maklumat ini, penduduk kampung akan merasai manfaatnya kerana sebarang isu atau permasalahan dapat ditangani dengan lebih pantas oleh agensi-agensi yang berkenaan.
“Justeru, halangan-halangan yang kerapkali melambatkan proses membuat keputusan selama ini seperti maklumat tidak sampai dan salah faham antara kedua-dua pihak dapat kita kurangkan.
“Selain itu, kami juga berharap kerjasama yang mantap dengan agensi-agensi kerajaan ini dapat membantu pihak JKKKPs dalam menambahbaik mutu pengurusan kampung masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Hadir sama dalam program tersebut, Penolong Setiausaha Kerajaan Bahagian Pentadbiran Daerah (BPD) Erni Syafika Omar dan Pengurus Pembangunan, Agihan dan NRW Syarikat Air Perlis (SAP) Azmi bin Othman.