Ahmad Faidhi Mawardi
15 Mei 2020
PAS Kawasan Putatan telah mengadakan program agihan bantuan kepada mangsa kebakaran Kg. Pasir Putih di Dewan Serbaguna Putatan semalam.
Seramai 8 orang petugas termasuk daripada kalangan wakil muslimat turut hadir membantu proses agihan. Program ini adalah antara beberapa siri edaran bantuan yang dijalankan oleh PAS Putatan di Parlimen Putatan dan sekitarnya sepanjang PKP, khususnya Ramadan ini.
Kebakaran yang berlaku pada 11 Januari tahun lalu memberi impak yang sangat besar kepada mangsa yang terlibat. Sehingga kini, kebanyakan daripada mereka belum dapat bangkit membina kehidupan seperti sedia kala. Ditambah pula dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik Covid-19 baru-baru ini, kehidupan mereka terjejas teruk.
Sebanyak 55 sumbangan telah diberikan berupa keperluan asas seperti beras, minyak, gula, telur, tepung, kurma, ikan segar dan kuih raya. Sejumlah wang tunai turut diberikan sempena Hari Raya yang bakal menjelang.
Salah seorang penerima sumbangan, Marzuki Abdullah menyatakan rata-rata penerima sumbangan masih belum mempunyai tempat tinggal yang tetap. Beliau yang terjejas sumber pendapatan kerana tidak dapat berniaga kuih seperti biasa sepanjang PKP, mengucapkan terima kasih atas keprihatinan PAS Putatan memberi bantuan.
Yusrizal Anuar selaku Ketua Cawangan Kg. Contoh yang turut turun padang menyampaikan sumbangan berkata, “Saya berharap mangsa kebakaran ini mendapat pembelaan sewajarnya, moga sedikit sumbangan ini membantu meringankan beban mereka di bulan Ramadan yang mulia ini.”
Gambar sekitar penyampaian bantuan ini juga telah dimuatnaik ke laman rasmi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Putatan semalam dan mendapat komen sangat positif daripada kalangan para penerima sumbangan.