1. 15 Mei 1948, episod hitam buat umat Islam di seluruh dunia. Umat Islam Palestin dibantai secara berskala besar oleh rejim Zionis.
Mereka menceroboh dan memusnahkan lebih 500 bandar dan kampung di Palestin menyebabkan 15 ribu rakyat Palestin yang syahid dalam peristiwa Nakbah ini lebih 4 juta rakyat Palestin diusir dari tanah air sendiri menjadi pelarian.
2. Kita tidak akan pernah redha dengan jenayah kemanusiaan ini, yang bermula dengan penubuhan ‘Zionist Organization’ di Kongress Zionis Pertama pada 1897, disusuli pengumuman oleh British dalam Deklarasi Balfour 1917 bahawa Palestin akan menjadi negara untuk bangsa Yahudi.
3. Peranan gerakan Islam di seluruh dunia tidak dapat dinafikan keperluannya dalam berhadapan dengan pembantaian yang sehingga kini masih belum berakhir.
4. Para pemimpin gerakan Islam sedunia memahami bahawa kesatuan umat Islam merentas mazhab dan lokaliti adalah tali kukuh dalam menangani krisis pembantaian ini. PAS sendiri melalui sosok Tuan Guru Presiden terlibat secara langsung dalam usaha-usaha membebaskan Palestin, antaranya penyertaan dalam mesyuarat khas Kesatuan D8 Economic Corporation di Istanbul, Turki , begitu juga pendirian beliau dalam menyokong dan mempertahankan penganjuran KL Summit pada hujung tahun 2019, serta beliau sendiri sebagai pimpinan di beberapa pertubuhan umat Islam di pelbagai negara yang komited dengan usaha penyatuan ummah dan membela rakyat Palestin.
5. Peranan Muslim Care, salah satu NGO di bawah naungan PAS juga menyumbang peranan signifikan yang bertahun-tahun memerah keringat memastikan kebajikan rakyat Palestin dijaga sehingga melancarkan projek membina kilang roti di Gaza.
6. Malaysia juga menghulurkan tangan dalam mempertahankan Palestin dengan menyertai Sidang Kemuncak Tergempar OIC ke-7 di Istanbul, Turki pada 18 Mei 2018, menerusi sokongan kepada cadangan Negara Anggota OIC untuk menubuhkan Jawatankuasa Pakar Antarabangsa yang bebas untuk menyiasat jenayah dan pembunuhan yang dilakukan oleh tentera Israel.
7. Cukuplah dengan kelalaian dan ketidakpedulian yang membuatkan penjajah Barat membahagikan wilayah umat Islam bagaikan harta pusaka orang tua mereka melalui perjanjian Sykes Pycot dan perjanjian Balfour yang menjadi titik mula peta luka umat Islam.
8. Masih tidak terlambat untuk kita semua berperanan dengan kemampuan masing-masing. Kepada para bapa, tanamlah semangat juang dan usaha menjadi umat Islam yang hebat dan berkepimpinan dalam diri anak-anak, buat para ibu, didiklah zuriat kita untuk cinta akan perjuangan Islam. Kepada para guru, didiklah anak murid untuk melengkapkan diri membantu Islam. Semoga usaha kita menjadi bukti di hadapan Allah bahawa kita tidak diam terhadap penindasan saudara seIslam kita.
Salam hormat,
‘ATIKAH BINTI ABDUL RAHMAN
Pengarah Ameerah Wilayah Persekutuan
Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan.
Like Share Follow
Ameerah Wilayah