Home Berita PAS Pusat

Asy-Syahid Pati Unus: Menyeberang Laut Hancurkan Portugis

1848
SHARE


RAMADHAN DAN PERJUANGAN ~ 1441

Siri 2
https://m.facebook.com/mohdfadlighani

ASY-SYAHID PATI UNUS: MENYEBERANG LAUT HANCURKAN PORTUGIS


SETELAH Melaka berhasil ditumbangkan, Portugis bertindak menyerang pula Kerajaan Samudera-Pasai di Aceh pada 1521M dan cuba meluaskan pengaruhnya di Maluku, Ternete dan Sunda Kelapa. Di Pulau Jawa, menjelang kejatuhan Melaka, telah bangkit Kerajaan Islam yang pertama iaitu Kerajaan Demak pada 1482M yang menggantikan Kerajaan Hindu Majapahit, setelah putera Raja Brawijoyo V memeluk Islam dan mendirikan Kerajaan Demak dengan dukungan para Wali Songo. Pendek kata, kebangkitan Demak adalah menggantikan Melaka dan Samudera-Pasai yang runtuh diserang Portugis. Secara kebetulan, para Wali Songo yang mendirikan Kerajaan Demak mempunyai hubungan rapat dengan Melaka dan Samudera-Pasai.

Putera Raja Brawijoyo V, Sultan Raden Fatah (1482-1518M) merupakan murid kanan kepada Sunan Ampel dan beberapa Wali Songo yang lain termasuk Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati) dan lain-lain. Ketika zaman baginda, Portugis telah tiba di Alam Melayu dan merobek Kerajaan Melaka yang merupakan pusat penyebaran Islam terbesar ketika itu. Tidak senang dengan kejatuhan Melaka, pada 1512M, baginda telah mengarahkan sebuah pasukan tentera gabungan Demak-Cirebon-Japara untuk menyerang Portugis di Melaka dengan dipimpin oleh puteranya, Pati Unus. Serangan ke atas Portugis di Melaka pada 1513M ini adalah yang pertama setelah kejatuhan Kerajaan Melaka pada 10 Ogos 1511M. Ketika menjadi Sultan Demak pada 1518M, Pati Unus sekali lagi menyerang Portugis Melaka pada 1521M tetapi beliau telah syahid dalam serangan pada kali ini.

Pati Unus: Ulamak Berdarah Wali Songo

Pati Unus adalah gelaran kepada seorang putera Majapahit yang bersemenda dengan Wali Songo. Nama asalnya ialah Raden Abdul Qadir tetapi lebih terkenal sebagai Pati Unus atau sebutan penuhnya Adipati Yunus, kerana sebelum menjadi Sultan Demak, baginda diangkat sebagai Adipati (Gabenor) di Jepara oleh Sultan Abdul Fattah. Dalam catatan Portugis, namanya disebut sebagai Pete Umuz atau Paty Onuz, tetapi kronik Sam Poo Kong menyebutnya sebagai Yat Sun. Namun baginda lebih dikenali sebagai Pengerang Seberang Lor yang bermaksud putera raja yang menyeberang lautan untuk menyerang Portugis. Baginda dikatakan lahir sekitar 1480M dan mempunyai seorang adik, Pangeran Trenggono (Sultan Trenggono) iaitu Sultan Demak ketiga.

Raden Abdul Qadir atau Pati Unus ini dikatakan putera kepada Sultan Abdul Fatah, tetapi ada riwayat lain yang mengatakan baginda ada menantu Sultan Abdul Fatah. Tome Pires di dalam Suma Oriental mengatakan Pati Unus dan Pangeran Trenggono adalah anak-anak Sultan Abdul Fatah (Raden Patah) melalui isterinya, Nyai Ageng Malaka, puteri Sunan Ampel. Tetapi ada riwayat lain yang mengatakan baginda adalah cucunda kepada Sheikh Khaliqul Idrus, ulamak berketurunan Rasulullah SAW yang berdakwah di Jawa. Ketika itu Sunan Ampel baru tiba di Jawa dari Champa bersama ayahnya, Sheikh Ibrahim al-Hadrami, putera Syed Hussein Jamadil Kubra. Adik Sheik Ibrahim al-Hadrami dengan ibunya dari Champa telah dikahwini oleh Raja Brawijoyo V dan melahirkan Raden Patah (Sultan Abdul Fattah). Sheikh Khaliqul Idrus pula menikahi puteri Sheikh Ibrahimi al-Hadrami dan menurunkan Raden Muhammad Yunus, iaitu ayah Pati Unus menerusi puteri kepada pembesar Jepara, Wong Agung Jepara. Riwayat ini mengatakan Pati Unus mengahwini anak Sultan Abdul Fattah. Pati Unus juga menikahi puteri gurunya, Sunan Gunung Jati (Syarif Hidayatullah).

Sebagai putera Istana Demak, Pati Unus mendapat didikan langsung dari ayahnya dan Sunan Gunung Jati, selain Sunan Fatahillah. Dicatatkan bahawa ketika Sultan Trenggono mengambil kerajaan pada 1521M, terdapat 45 orang ulamak besar yang berpengaruh di dalam Kraton (istana) Demak, sebahagian besarnya adalah guru-guru Pati Unus. Sebagai seorang ulamak yang berketurunan Raja Majapahit dan Wali Songo, setelah berkahwin, beliau dilantik oleh Sultan Abdul Fatah menjadi Adipati Jepara, lalu namanya lebih terkenal sebagai Adipati Yunus atau Pati Unus sahaja. Ketika beliau menjadi adipati inilah Melaka telah diserang oleh Portugis dan dengan pengaruh Sunan Gunung Jati, Sultan Abdul Fatah telah mengarahkan serangan dibuat ke atas penjajah Portugis di Melaka itu.

Jihad ke Melaka

Adipati Jepara, Pati Unus yang juga Raja Muda atau Putera Mahkota Kerajaan Demak telah diarahkan oleh Sultan Demak untuk mengatur gerakan pembebasan ke atas Melaka. Peristiwa ini berlaku pada 1512M, iaitu sebaik sahaja kejatuhan Melaka. Secara politik dan ekonomi, kejatuhan.Melaka sangat menguntungkan Demak kerana seluruh pedagang Islam.telah beralih ke Jawa, tetapi Sultan Abdul Fatah melihatnya dari sudut aqidah dan kewajipan mempertahankan bumi Islam, lalu mengarahkan supaya Melaka dibantu.

Perkahwinan Pati Unus dengan Ratu Ayu, puteri Sunan Gunung Jati pada 1511M telah membolehkan beliau diangkat sebagai Panglima Perang Demak bergelar Senopati Sarjawala. Beliau telah menggabungkan tentera Islam dari Demak, Cirebon dan Banten untuk menyerang Melaka dan mendapat bantuan dari Palembang. Pati Unus turut membina sebuah kapal perang yang sangat besar ketika itu, mampu memuatkan 1,000 perajurit.

Pati Unus menghantar perisik menyiasat kedudukan strategik Portugis dan keadaan Kota A Famosa di atas bukit. Tentera Demak diarahkan membina kapal-kapal kecil juga seperti kapal Sunan Kudus (Sheikh Jaafar Sodiq) pada 1512M supaya itu dengan bantuan Sunan Kalijaga. Meriam-meriam besar juga turut disediakan untuk menembak kota Portugis itu. Pada akhir 1512M itu, Pati Unus bersama armada laut Semarang-Demak-Jepara bergerak ke Melaka dengan 100 kapal dan 5,000 tentera.

Dalam perang ini, turut menyertai Pati Unus ialah Sunan Kudus, salah seorang Wali Songo sebagai Panglima Perang kepada Pati Unus. Dari Jepara mereka singgah di Palembang untuk mendapatkan bantuan tentera sehingga jumlahnya menjadi 12,000 orang dan terus ke Melaka dan tiba pada Januari 1513M. Serangan mengejut ke atas Melaka ini gagal memecahkan kota A Famosa kerana pasukan Demak menyerang dari laut sedangkan Portugis bertahan dan menyerang balas dari dalam kota. Lebih 30 jong Demak pecah ditembak Portugis dan pasukan Demak mulai melemah. Portugis kemudiannya mengirimkan armada lautnya menyekat armada Demak dan mengalihkan pergerakan mereka ke Sungai Muar. Banyak kapal Demak direkodkan dibakar oleh Portugis di Sungai Muar ini kerana kesilapan tektikal pasukan Demak. Ekspedisi Demak gagal mengalahkan Portugis dan 4,000 tentera telah syahid di samping kemusnahan 40 buah kapal.

Pati Unus Menjadi Sultan Demak

Kekalahan di Melaka tidak mengecewakan Pati Unus, sebaliknya menjadi pengajaran kerana strategi bertahan dalam kota di darat lebih kuat daripada berkubu di laut. Lalu baginda membina kota pertahanan di Jepara dan strategi ini digunakan juga oleh Sunan Fatahillah (Fatlehen) ketika menghalau Portugis dari Sunda Kelapa (Jakarta) pada 1527M. Pada 1517M pula, Pati Unus telah memimpin tentera Demak menggempur pemimpin Kerajaan Hindu Daha Kediri, Prabhu Udhoro yang bersekutu dengan Portugis memberontak terhadap Demak sejak 1515M. Pergerakan Prabhu Udhoro yang merupakan sisa-sisa Majapahit ini dapat dilemahkan dengan serangan tersebut.

Pada 1518M, Sultan Abdul Fatah telah mangkat dan Pati Unus diangkat menjadi Sultan Demak Kedua bergelar Sultan Surya Alam Akbar II. Sebagai Sultan Demak, baginda telah meluaskan wilayahnya dengan menguasai hampir seluruh Pulau Jawa dari Ampeldento (Surabaya) hingga ke Palembang dan Jambi di Sumatera. Dalam masa yang sama, Portugis berusaha menguasai perdagangan rempah di Jawa dan mengadakan hubungan dengan Kerajaan Hindu Pajajaran, selain Daha Kediri dan Blambangan.

Syahid Dalam Jihad Kedua

Melihat kemaraan Portugis ini, Pati Unus telah mengatur langkah untuk melancarkan ekspedisi jihad kedua ke atas Melaka. Keadaan lebih bergelora apabila Portugis mulai mendekati Pajajaran yang dipimpin oleh Raja Sang Hyang Raja Sunda pada 1521M dan mula mendirikan kota di Sunda Kelapa. Untuk menyekat kemaraan ini, Pati Unus mengambil langkah menyerang Melaka dahulu, kemudian Sunda Kelapa. Persiapan kapal, meriam dan perajurit telah dibuat dengan jumlah yang besar seperti serang siri pertama pada 1513M dahulu.

Dalam serangan kali ini, 375 buah kapal yang dibina di Makasar telah dibawa bersama lebih 5,000 tentera, termasuk dua putera Pati Unus dan Sunan Fatahillah sebagai Panglima Kedua. Pertempuran berlangsung selama tiga hari dan pasukan Demak berhasil menguasai kawasan daratan Melaka dan menghampiri kota A Famosa. Tentera Portugis sangat banyak yang terkorban dan dikatakan inilah perang yang paling dahsyat dihadapi oleh Portugis di Melaka di mana mereka hampir tewas. Malangnya, ketika Pati Unus turun dari kapalnya untuk memimpin di darat saat perang sedang memuncak, perahunya terkena tembakan meriam Portugis dari kota A Famosa, lalu baginda cedera parah. Akibatnya, baginda telah menemui syahid di Melaka.

Sunan Fatahillah dikatakan mengambil alih tugas sebagai panglima medan dan terpaksa menghadapi tekanan akibat kekecewaan tentera Demak ekoran kesyahidan Pati Unus. Dalam suasana kucar-kacir ini, Portugis meningkatkan serangan, lalu Sunan Fatahillah mengarahkan agar tentera Demak berundur ke kapal. Perang ini terpaksa dihentikan walaupun hampir mencapai kemenangan apabila Pati Unus menemui syahid. Ekoran kesyahidan Sultan Demak ini, armada Demak telah segera kembali ke Demak tanpa dapat mengalahkan Portugis. Jenazahnya dikebumikan di kawasan Masjid Agung Demak dan adindanya, Pangeran Trenggono ditabalkan menjadi Sultan Demak ketiga.

Pati Unus: Ulamak-Pahlawan Pemberani

Kesyahidan Pati Unus, Sultan Demak kedua (1518-1521M) telah menjadi lagenda dalam jihad para ulamak, khususnya para Wali Songo. Mereka berusaha keras menyebarkan Islam di Nusantara, mendirikan kerajaan-kerajaan Islam dan mempertahankan bumi Islam dari penjajah. Orientalis Portugis, Tome Pires yang hidup sezaman dengan Pati Unus mengatakan baginda adalah seorang persona de grande syso (pemimpin yang sangat tegas membuat keputusan) dan cavaleiro (pahlawan yang pemberani). Walaupun jihad baginda untuk membebaskan Melaka gagal, tetapi usaha baginda sangat besar kesannya kepada Portugis sebagai penjajah dan juga kepada Demak sebagai sebuah kerajasn Islam yang sedang bangkit.

Sebagai cucunda Sunan Ampel dan menantu Sunan Gunung Jati, Pati Unus telah meninggalkan beberapa putera dan puteri iaitu Ratu Mas Pambayun, permaisuri kepada Sunan Prawoto (Raden Mukmin, putera Sultan Trenggono) yang menjadi Sultan Demak keempat; Ratu Mas Penenggak, isteri Pangeran Mangkurat, Adipati Ponorogo; dan Pangeran Made Pandhan Abdul Salam yang terkenal sebagai Sunan Tembayat. Kebanyakkan keturunan Pati Unus menjadi ulamak dan pendakwah di Jawa.

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
2 Ramadhan 1441 / 25 April 2020