RAMADHAN DAN PERJUANGAN ~ 1441
Siri 3
https://m.facebook.com/mohdfadlighani
ASY-SYAHID RAJA HAJI: PAHLAWAN PENONGKAH BELANDA
KEJATUHAN Melaka ke tangan Belanda pada 1641M telah membuka lembaran baru sejarah negara kerana penjajah Eropah itu berusaha menguasai kekayaan bijih timah di Tanah Melayu. Setelah menduduki beberpa wilayah di Indonesia sejak 1596M, Belanda berusaha juga untuk meluaskan pengaruhnya ke Kedah dan Perak, bahkan Belanda pernah membina kubu di Pulau Pangkor. Setelah Belanda menubuhkan Syarikat Perdagangan Hindia Timur (VOC) pada 1602M, mereka mulai campur tangan dalam politik Jawa dan bersaing pengaruh dengan Portugis dan Inggeris di kepulauan rempah.
Setelah mendapat izin berdagang di Banten pada 1603, VOC telah melantik gubenur-gubenurnya di Jayakarta dan Ambon untuk menguasai pasaran rempah. VOC juga telah menggempur Inggeris di Ambon pada 1623M, selain membuka pejabat di India, Parsi, Siam, Canton dan Taiwan. Pada 1606M, VOC memasuki Pattani dan mulai berebut peluang perniagaan dengan bangsa lain sehingga berlaku pergaduhan. Pada 1639, Belanda mendapat izin pula untuk berdagang bijih timah Perak. Belanda berusaha menguasai pelabuhan-pelabuhan enterport termasuk Melaka yang dikuasai oleh Portugis.
Sikap tamak Belanda ini telah menyebabkan mereka mengepung Melaka pada 1606M, tetapi gagal menghalau Portugis, dan menyerang lagi pada 1615M tetapi masih gagal. Untuk menebus dua kegagalan ini, pada 2 Ogos 1640M, Belanda telah mengepung dan menyerang Portugis di Melaka sehingga Portugis menyerah kalah pada 16 Januari 1641. VOC juga campur tangan di Sulawesi sehingga tercetus perang dengan Kerajaan Gowa di Makassar pada 1666M. Setelah tiga tahun berperang, Belanda dapat mengalahkan Sultan Hassanuddin pada 22 Jun 1669. Akibat perang ini, putera-putera Raja Luwuk yang disebut Opu Lima Bersaudara yang meninggalkan Tanah Luwuk ke Kalimantan dan terlibat dalam pergolakan politik dalam Kerajaan Matan pada 1665M, tidak lagi kembali ke Luwuk, sebaliknya datang ke Johor pada 1718M.
Opu Lima Bersaudara dan Pengaruh Politik Mereka
Opu Lima Bersaudara adalah merujuk kepada anak-anak Daeng Ralika, putera Raja Luwuk, La Madusalat. Setelah La Madusalat mangkat pada 1611M, puteranya Daeng Talana menjadi raja. Adindanya, Daeng Ralika telah membawa lima puteranya (Daeng Perani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi) mengembara di pulau-pulau Nusantara dan tiba di Matan pada 1665M. Ketika mereka terlibat dalam pergolakan politik di Istana Matan, Kerajaan Gowa di Makassar telah diserang oleh Belanda. Kekalahan Gowa pada 1699M, membuatkan mereka tawar hati untuk kembali ke Luwuk. Mereka ke Riau dan Johor pada 1718M, itu ketika Johor menghadapi krisis ekoran pembunuhan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang pada 1699M.
Bendahara Tun Abdul Jalil diangkat sebagai Sultan Johor-Riau (1699-1717M), tetapi dijatuhkan dan Raja Kechil Siak menjadi Sultan Johor-Riau (1717-1722M). Opu Lima Bersaudara itu kemudiannya dapat mengangkat Sultan Sulaiman Badrul Alam menjadi Sultan Johor-Riau pada 1722M menggantikan ayahandanya, Sultan Abdul Jalil dan Daeng Merewah, dilantik menjadi Yam Tuan Muda Johor-Riau. Daeng Chelak, adindanya menjadi Yam Tuan Muda Johor-Riau II (1728-1745M)
Raja Haji: Ulamak-Pahlawan Yang Berjihad
Raja Haji adalah anak Daeng Chelak dengan Tengku Mandak, puteri Sultan Sulaiman Badrul Alam. Beliau dilahirkan di Kota Lama, Hulu Sungai, Pulau Riau pada 1727M. Kekandanya, Raja Lumu (Sultan Salahuddin) adalah pengasas Kesultanan Selangor pada 1746M. Ketika sepupunya, Daeng Kemboja bin Daeng Perani menjadi Yam Tuan Muda III pada 1745M, Raja Haji telah dilantik sebagai Engku Kelana, iaitu Timbalan Yam Tuan Muda. Beliau sangat dihormati bukan semata-mata kerana kebangsawanannya, tetapi kerana keilmuannya yang sangat tinggi.
Raja Haji yang mendapat pendidikan di Istana Johor-Riau ini dicatatkan telah berguru dengan ulamak Mempawah, Syed Hussein al-Qadri di Mempawah. Kemudian beliau berguru juga dengan Mufti Mempawah dati Pattani, Sheikh Ali Fakeh. Raja Haji dikatakan telah menguasai ilmu falak, navagasi maritim dan geografi sehingga beliau menjadi tokoh terhebat pada zaman dalam bidang astronomi. Beliau mempelajari ilmu falak yang ditulis oleh Abu Said as-Sijzi dan menggunakan alat astronomi “Staf Yaakub.” Disebabkan sifatnya yang suka belajar, membaca dan bergaul dengan para ulamak, seorang orientalis, R.O Winsted mangatakan Raja Haji adalah seorang yang sangat mempertahankan institusi keilmuan tradisi Islam daripada ancaman penjajah. Beliau juga dikatakan seorang ahli sufi yang kuat amalan tasawufnya.
Setelah kematian sepupunya, Daeng Kemboja pada 1777M, Raja Haji diangkat menjadi Yam Tuan Muda IV yang memimpin Kerajaan Johor-Riau di bawah Sultan Mahmud Shah III (1762-1812M). Ketika Sultan Mahmud diangkat sebagai sultan pada 1762M, baginda baru berusia setahun. Sebab itulah, dalam tempoh kekuasaannya, yang memerintah sebenarnya Daeng Kemboja (Yam Tuan Muda III) dan Raja Haji (Engku Kelana, kemudian Yam Tuan Muda IV).
Jihad Raja Haji
Mewarisi kepahlawanan keluarganya, Raja Haji sejak muda terlibat dalam pergolakan di pelbagai negeri dari Johor hingga ke Mempawah. Beliau dikatakan pahlawan yang terhebat di laut, sehebat Hang Tuah di darat. Beliau bergerak ke negeri-negeri di Nusantara untuk membantu perjuangan orang Islam. Beliau juga terlibat dalam perang dengan Belanda yang sangat dimusuhi oleh orang Bugis bersama Daeng Kemboja pada 1756-1758 yang dikenali sebagai Perang Linggi. Beliau turut menjadi panglima perang di Menpawah untuk membantu Sultan Syarif Abdul Rahman al-Qudri memerangi Kerajaan Sanggau sekitar 1770M.
Permusuhan Raja Haji dengan Belanda bermula pada 1782M apabila penjajah itu melanggar perjanjian dengan Johor-Riau untuk membahagikan sama rata hasil rampasan perang ketika kapal Inggeris, Betsy dengan muatan 1,154 kotak candu ditawan. Belanda telah membahagikannya dengan Perancis tanpa pengetahun Johor-Riau. Akibatnya tercetus perang besar di antara Johor-Riau dengan Belanda di Laut Riau selama 11 bulan. Perang yang dahsyat ini telah memusnahkan begitu banyak harta Belanda dan akhirnya pada Januari 1784M, Belanda terpaksa mundur ke Melaka setelah beberapa siri bantuan tidak dapat mengukuhkan Belanda.
Raja Haji kemudiannya melancarkan serangan baru ke atas Belanda melalui bantuan Selangor. Raja Haji sendiri tiba di Teluk Ketapang, Melaka pada 13 Februari 1784M dan berjaya menguasai seluruh Melaka, kecuali Kota Melaka sahaja. Belanda yang hampir tewas dalam kepungan selama empat bulan ini telah mendapat bantuan dari Betawi pada April 1784M, selain pengkhianatan Terengganu dan Siak yang menyokong Belanda. Pada 18 Jun 1784M, kubu Raja Haji di Teluk Ketapang diserang oleh Belanda dan Raja Haji telah syahid ditembak oleh Belanda dalam perang ini. Kerana itu beliau disebut sebagai as-Syahid Marhum Teluk Ketapang.
Selepas kekalahan Johor-Riau akibat kewafatan Raja Haji, Belanda mula menguasai Riau secara berperingkat-peringkat, terutamanya menguasai perdagangan dan Laut Riau yang sangat strategik itu. Johor-Riau pula terpaksa menerima beberapa perjanjian dengan Belanda terutama selepas berlakunya Perjanjian Inggeris-Belanda pada 1824M yang menyaksikan Johor dan Riau dipecahkan oleh penjajah tersebut. Peristiwa perang jihad 11 bulan di laut dan empat bulan di Melaka telah menjadi kenangan pahit Belanda kerana mereka hampir kehilangan Melaka.
MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
3 Ramadhan 1441 / 26 April 2020