BACALAH WAHAI TEMAN (2)
Rabu 15 April 2020
Oleh :
YB Ustaz Mohd Akmal bin Kamarudin
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Dan Penerangan
(memangku portfolio Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau)
7 PRINSIP KELESTARIAN ALAM SEKITAR MENGIKUT ACUAN ISLAM
Islam mengajar kita beberapa prinsip yang berkaitan dengan penjagaan alam sekitar dan pengurusan sumber alam.
1. SISTEM SEMULAJADI ALAM ITU LENGKAP SEMPURNA
Allah SWT menciptakan alam dengan sempurna secara kejadiannya tanpa sebarang kekurangan sedikitpun. Sistem yang telah diletakkan oleh Allah SWT (SunnatuLlah) sangat sistematik tanpa perlu kepada bantuan manusia untuk memperelokkannya lagi.
Perkara ini boleh dilihat sebagaimana firman Allah SWT:
الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقًا ۖ مَّا تَرَىٰ فِي خَلْقِ الرَّحْمَٰنِ مِن تَفَاوُتٍ ۖ فَارْجِعِ الْبَصَرَ هَلْ تَرَىٰ مِن فُطُورٍ
Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? (Surah al Mulk: 3)
Bermula daripada penciptaan alam ini lagi, segala sistem telah diatur sempurna. Peredaran bintang cakerawala, aturan kehidupan dan pembiakan organisma serta kebergantungan alam antara satu dengan yang lain bagi membentuk satu ekosistem lengkap.
2. ALAM INI DICIPTA UNTUK MANUSIA
Kesempurnaan alam terutamanya di bumi ini diciptakan Allah SWT untuk kemudahan manusia. Firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah Al Baqarah: 29)
Antara yang lain difirmankan oleh Allah SWT di dalam Surah al An’am ayat 6, ayat 142, Surah al A’raf ayat 57, Surah al Ma’idah ayat 96 dan banyak lagi. Menggambarkan bahawa alam ini diciptakan untuk kemudahan manusia.
3. SUMBER ALAM MENCUKUPI UNTUK MANUSIA
Dalam masa yang sama, kita perlu sedar bahawa ciptaan Allah SWT ini cukup untuk kegunaan hidup manusia. Walau seberapa besar populasi manusia di bumi ini, jika ia diurus dengan baik dan adil maka semua orang memiliki akan mendapat haknya sebagai seorang manusia.
Perkara ini selaras dengan firman Allah SWT:
أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ ۚ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۚ وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَتَّخِذَ بَعْضُهُم بَعْضًا سُخْرِيًّا ۗ وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ
(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara kerohanian dan keagamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan (Surah Zukhruf: 32)
4. SUMBER ALAM PERLU DIURUS DENGAN ADIL
Allah SWT memerintahkan agar hasil sumber bumi perlu diuruskan dengan baik, diagihkan dan dimanfaatkan oleh penduduk sesebuah negeri. Contohnya hasil pertanian, binatang ternakan, buruan, pembalakan, petroleum, galian, emas dan banyak lagi.
Allah SWT berfirman:
وَمَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْهُمْ فَمَا أَوْجَفْتُمْ عَلَيْهِ مِنْ خَيْلٍ وَلَا رِكَابٍ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يُسَلِّطُ رُسُلَهُ عَلَىٰ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.
Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya). (Surah al Hasyr: 7)
5. LARANGAN MELAKUKAN KEROSAKAN
Di samping pengurusan yang adil, Allah SWT juga melarang merosakkan muka bumi,
وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا ۚ إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِّنَ الْمُحْسِنِينَ
Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya. (Surah al A’raf: 56)
Imam Qurtubi menukilkan beberapa tafsiran yang menggambarkan perbuatan yang merosakkan alam. Antaranya yang ditafsirkan oleh Ad Dhohhak;
معناه لا تغوروا الماء المعين ، ولا تقطعوا الشجر المثمر ضرارا
Maksudnya ialah jangan menyekat aliran tertentu, dan jangan menebang pokok yang berbuah secara salah (menyebabkan bahaya).
6. KEROSAKAN ALAM SEKITAR AKIBAT PERBUATAN MANUSIA SENDIRI
Kita perlu sedar bahawa kerosakan alam bukan disebabkan sistem semulajadi yang rosak. Akan tetapi ia disebabkan kepincangan dalam pengurusan alam oleh manusia sendiri.
Allah SWT berfirman
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).(Surah Al Ruum: 41)
Imam Ibnu Katsir di dalam tafsirnya meriwayatkan daripada Zaid bin Rafi’
يعني انقطاع المطر عن البر يعقبه القحط، وعن البحر تعمى دوابه
Terputusnya air hujan dari turun mengakibatkan kekeringan (kemarau), kerosakan di laut pula menyebabkan buta (mati) haiwan didalamnya.
7. SIKAP TAMAK MANUSIA PUNCA KEROSAKAN
Biasanya kerosakan alam sekitar yang berpunca daripada tangan manusia, bermula daripada sikap tamak. Ingin membolot kekayaan untuk kepentingan diri sendiri semata mata dengan mengabaikan kelangsungan alam hingga menyebabkan hakisan, kepupusan, peningkatan suhu dunia, perubahan iklim dan sebagainya.
Akibatnya bukan hanya menimpa alam semulajadi, bahkan ia akan menyebabkan ketidakseimbangan dari sudut sosioekonomi. Sumber alam dimonopoli oleh sebilangan pihak sahaja yang melakukan perusahaan berskala mega tanpa memikirkan manfaat untuk masyarakat teramai.
Allah SWT berfirman
وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي الْأَرْضِ لِيُفْسِدَ فِيهَا وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ وَالنَّسْلَ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْفَسَادَ
Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedangkan Allah tidak suka kepada bencana kerosakan. (Surah al Baqarah: 205)
Syeikh Abu Zuhrah di dalam tafsirnya menghuraikan ayat ini dengan mengaitkan pemerintah zalim yang memiliki ketamakan. Melaksanakan sesuatu ketetapan untuk kepentingan peribadi, bukan untuk kepentingan awam.
Nabi SAW bersabda tentang sikap manusia,
أنه قال لو كان لابن آدم واد ذهب أحب أن له واديا آخر
Jika anak Adam (manusia) memiliki satu lembah emas, nescaya dia akan mencari lembah yang kedua. (Shahih Muslim)
Sikap tamak yang merosakkan alam sekitar ialah mengambil hasil dan/atau membangunkan sesuatu di atas sumber, yang melebihi keupayaan penghasilan atau “carrying capacity” sumber tersebut.
KESIMPULAN
Pembangunan lestari mesti mengambil kira 3 lingkungan utama iaitu ekonomi, sosial dan alam sekitar. Ketiga-tiga elemen ini akan dipandu oleh kerangka Islam sebagai asas terpenting. Dalam bahasa yang mudahnya, setiap kegiatan ekonomi atau pembangunan yang mapan mestilah memberi manfaat kepada masyarakat tanpa menjejaskan alam sekitar.
Sekiranya ketujuh-tujuh prinsip ini dipatuhi dalam menguruskan alam, maka dunia dengan sendirinya akan berjaya menyelesaikan masalah alam sekitar seperti pencemaran, hakisan, kepupusan dan sebagainya. Malah ia juga akan mengembalikan keseimbangan sosioekonomi global dan manusia akan hidup dengan makmur dan sejahtera.
Inilah tugasan yang telah diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita sebagai manusia:
وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمۡ صَٰلِحٗاۚ قَالَ يَٰقَوۡمِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنۡ إِلَٰهٍ غَيۡرُهُۥۖ هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِ وَٱسۡتَعۡمَرَكُمۡ فِيهَا فَٱسۡتَغۡفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوٓاْ إِلَيۡهِۚ إِنَّ رَبِّي قَرِيبٞ مُّجِيبٞ
Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya”. (Surah Hud: 61)