Home Surat Pembaca

Ramadhan Memiliki Ramuan Kemenangan Islam

636
SHARE

RAMADHAN : PERSIAPAN JATIDIRI AHLI PAS PENUHI SYARAT KEMENANGAN PRU14

Ramadhan Memiliki Ramuan Kemenangan Islam


1. Ramadhan pada tahun ini adalah Ramadhan terakhir sebelum PRU ke 14 yang dijangkakan akan berlangsung selewat-lewatnya Jun 2018. Kita maklumi bahawa Ramadhan adalah bulan dijadikan oleh Allah sebagai bulan dipenuhi dengan siri tarbiyyah yang sangat signifikan dalam pembentukan sifat dan ciri-ciri pejuang Islam yang dikehendaki oleh Allah.

2. Matlamat menjadikan Ketaqwaan sebagai natijah ibadah puasa dan segala aspek amalan kerohanian dalam bulan Ramadhan mampu memperkukuhkan dan memperkuatkan diri dan syakhsiah seorang pejuang Islam ketika berada di medan perjuangan. 

3. PRU 14 dianggap satu medan perjuangan siyasah yang memerlukan setiap pejuang Islam wajib berusaha untuk memenuhi kriteria ” Ruhbanun fil lail wa fursanun fin nahar ” iaitu bersifat kerahiban pada malam hari dan seumpama kuda perang pada waktu siangnya. Sifat beginilah yang ada pada pejuang Islam dalam lipatan sejarah dari zaman Nabi saw dan salafussoleh.  

4. Sekiranya ahli PAS seramai hampir 900,000 anggota berjaya memiliki 12,000 sahaja yang cukup syarat dan kriteria pejuang Islam tulen,  Insya Allah tiada yang mustahil kemenangan akan berpihak kepada PAS pada PRU 14 nanti. Sabda Nabi saw sebagaimana diriwayatkan secara mursal oleh Abu Hurairah ra.,

Maksudnya,  ” sebaik-baik sahabat, empat orang. Sebaik-baik pasukan 400 orang,  sebaik-baik tentera 4000 orang. Dan tidak dikalahkan sejumlah 12 ribu orang yang paling minima “

Puasa Membina Kekuatan Rohani Ahli PAS

5. Kefarduan Ibadah puasa Ramadhan menjadikan satu bentuk acuan tarbiyyah yang rohani yang hebat kepada mereka yang berpuasa. Puasa adalah ibadah bukan hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi sebagai ibadah yang tersembunyi antara hamba dengan Tuhannya yang memerlukan keyakinan bagi melaksanakan perintah Allah tanpa ragu dan mengharapkan balasanNya sahaja. 

6. Bulan Ramadhan menjadikan hamba Allah disibukkan dengan amalan-amalan ibadah yang merupakan makanan rohani seperti membaca Al Quran, berzikir, qiyamullail dan seumpamanya sekaligus menjadikan pejuang Islam cukup berzat dari sudut kerohaniannya. 

7. Membina jatidiri keimanan yang teguh dan mantap adalah pra syarat ahli PAS yang mengabdikan diri serta mematuhi apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya saw. Ahli PAS yang mempunyai kemantapan iman akan yakin bahawa kekuatan yang sebenar adalah pada sisi Allah swt. Mereka meletakkan sepenuh harapan kepada bantuan dan pertolongan Allah dan menyerahkan jiwa raga dan segala urusan mereka kepadaNya sahaja. 

8. Hasilnya ahli PAS yang istiqamah imannya dan yakin kepada Allah bahawa kemenangan dalam medan siyasah ini merupakan kehendak dan ketentuan Allah. Mereka gigih berjuang dan berusaha sedaya upaya mengorbankan seluruh jiwa dan raga, harta untuk memenangkan Islam. Pepatah hukama’ ada menyatakan,

 ???? ?? ???? ???? ???? ????? ??????

Maksudnya,  ” kewajiban kamu adalah berusaha, bukannya kewajiban kamu menentukan kejayaan.. “

9. Ahli PAS yang cukup syarat sebagai pejuang Islam tidak sibuk memikirkan kekalahan apalagi meragui kemenangan yang dijanjikan Allah selama mereka membulat keimanan dan keyakinan yang dibina melalui ibadah puasa dan amal ibadah. 

10. Ahli PAS tidak hanya mengharapkan kemenangan di dunia semata-mata, malah yang terutama adalah kemenangan abadi iaitu keredhoanNya dan syurga yang dijanjikan. Samada PAS bertahaluf atau tidak, 3 penjuru atau lebih dan segala persepsi yang mengelirukan,  semuanya itu tidak meragukan pejuang yang mengharapkan habuan dari sisi Allah.  Yang penting ialah apakah sumbangan jihad dan gerak kerja yang telah dia laksanakan untuk PAS dan Islam. 

11. Kemantapan rohani amat penting buat ahli PAS agar dapat selamat daripada penyakit “futur” seperti angan-angan dunia, mudah mengalah, kecewa, tidak ikhlas, kurang yakin, tidak sabar dan gopoh serta lain-lain sifat yang semuanya perlu dikikis dalam melayari bahtera Islam ini yang penuh liku-liku kepayahan dan onak duri ini. Ambillah pengajaran bahawa penyakit pernah terkena pada sebahagian daripada ahli PAS sehingga ada yang mengkhianati perjuangan ini satu ketika dulu. 

Taubat Pejuang Daripada Dosa

12. Saidina Umar Al Khattab ra ketika mengutuskan Sa’ad bin Abi Waqqas dan tentera Islam dengan berkata, 

” wahai Sa’ad, Aku berpesan kepada kamu agar bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya kamu diberi kemenangan oleh Allah kerana maksiat yang dilakukan oleh musuh. Sekiranya kamu melakukan maksiat seperti musuh, sedangkan bilangan kamu tidak seperti mereka, kamu akan dikalahkan oleh musuh. Ketika itu kekuatan zahiriah yang menentukan kemenangan. “

13. Kata Saidina Umar ra ini mengesahkan bahawa ciri-ciri pejuang Islam wajib dipenuhi oleh ahli PAS sebagai pra syarat kemenangan adalah menjadikan bulan Ramadhan ini bulan taubat.

14. Memperbanyakkan taubat dan istighfar atas dosa-dosa kita yang menghalang pertolongan dan bantuan daripada Allah serta tidak dikabulkan doa. Jadikan amalan ini sebagai wirid amalan sepanjang Ramadhan ini agar kita keluar daripada bulan ini bersih daripada dosa kecil.

Renungilah FirmanNya dalam surah Hud ayat 52, 

” Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!”

15. Setiap perjuangan Islam pasti akan berdepan dengan musuh yang serba canggih dan keupayaan yang melebihi daripada kekuatan Islam.  Mereka memiliki wang yang banyak, peralatan yang cukup, bilangan personel yang ramai serta keperluan material yang lengkap.

16. Walaupun perjuangan Islam juga menuntut persiapan, namun tetap tidak setanding dan mampu disediakan sama dengan apa yang dimiliki oleh musuh. Sudah tentu pada zahirnya kelihatan semua kelengkapan material ini memberi kelebihan kepada musuh.

17. Hanya kekurangan yang ada pada musuh apabila mereka banyak melakukan maksiat dosa kepada Allah, hidup berpoya-poya, cintakan dunia dan tidak mengharapkan pertolongan Allah. Sekiranya ahli PAS mempunyai sifat yang sama seperti musuh, sudah pasti kemenangan tidak diberikan kepada Islam dek terhijap dengan dosa daripada rahmatNya. 

18. Oleh itu, ahli PAS adalah secara wajib haraki membersihkan diri dan sanubari dengan banyakkan taubat dan istighfar di bulan Ramadhan ini. Tangiskan air mata ketakutan kepada Allah membimbangi kemurkaanNya dengan sebab dosa-dosa. 

Ramadhan Menumpaskan Nafsu Syahwat

19. Ya, musuh Islam dimana-mana. Namun tidakkah kita sedari bahawa ada musuh yang dekat dengan kita sepanjang masa dan tidak pernah berpihak untuk tunduk kepada Allah adalah dalam diri kita sendiri.

20. Nafsu syahwat kita pada hakikatnya sentiasa mendorong kita supaya menjauhi daripada rahmat Allah swt. Firman Allah swt dalam surah al Kahfi ayat 28,

” dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.” 

21. Ramadhan adalah bulan menjinakkan hawa nafsu yang bersifat sentiasa mendorong diri kepada habuan segera, nikmat seketika, dunia yang penuh tipudaya, malas berjihad dan mengingkari perintah Allah.

22. Ahli PAS perlu menongkah syahwat duniawi yang menghambat pejuang Islam daripada landasan perjuangan suci ini sehingga ada yang buta mata hatinya melihat janji Allah swt di kemudian nanti.

23. Sememangnya matlamat perjuangan PAS jelas, iaitu menegakkan Islam dan memartabatkan hukumNya di tanahair tercinta ini. Kejayaan melawan nafsu ini memberikan kekuatan tatkala ahli PAS diuji dengan nikmat kemenangan dalam perjuangan agar tidak mudah goyah dan lupa daratan dan asal usul prinsip perjuangan PAS. 

24. Ahli PAS hendaklah menjadikan ibadah Puasa membuatkan seluruh anggota badan seperti mata, telinga, lidah, tangan, kaki dan kemaluan patuh hanya kepada perintah Allah azzawajalla sebagai pentarbiyyahan diri pejuang untuk menjadikan hamba kepada Allah sahaja dan bukan lelainnya.

25. Walaupun perbuatan yang bakal dilakukan itu tidak berdosa pada bulan lain atau waktu lain, atau halal pada memakannya atau menanfaatnya, namun kerana perintah Allah seorang yang berpuasa mengenepikan semua kehendak nafsu semata-mata patuh kepada arahan Allah dan kehendakNya sahaja.

26. Al Quran dalam mengisahkan tentera Thalut yang diuji oleh Allah dengan menahan diri daripada meminum air sungai ketika perjalanan menuju jihad menentang Jalut. Mereka yang berjaya menangkis nafsu mereka untuk melaksanakan perintahNya adalah golongan yang diberikan kemenangan oleh Allah sekalipun jumlah mereka sedikit dan pada lojik akal bahawa dengan jumlah bilangan seperti mereka akan mengalami kekalahan. 
Lihatlah Surah al Baqarah ayat 249, 

“Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”. (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”. Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.

Wahai ahli PAS,  marilah kita jadikan Ramadhan ini sebagai Mukhayyam Tarbawi dan Tamrin langsung daripada Allah swt kepada kita agar pra syarat kemenangan dapat dipenuhi sekaligus Allah mengurniakan kejayaan di dunia di samping habuan di akhirat nanti. 

Mudah-mudahan Allah menerima segala amalan kita. 

Sejahtera Bersama Islam

Nukilan

Ustaz Muhammad Najhan Halim 
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat
27 Mei 2017 | 1 Ramadhan 1438H

 

{jathumbnail off}