Oleh : Nurul Syakinah Syaning
10 Februari 2020
LAHAD DATU : Konferensi Ibu, Bapa & Guru PASTI Lahad Datu yang diadakan di Dewan SMK Terusan, semalam telah berlangsung dengan jayanya.
Majlis konferensi tersebut diadakan bertujuan untuk memberi penerangan khas dan membina keyakinan ibubapa murid tentang pengurusan dan kurikulum PASTI.
Konferensi tersebut telah dirasmikan oleh Ustaz Rusli Hassan yang merupakan Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah. Turut hadir bersama ialah Cikgu Karim Dollah selaku Pengarah Jabatan PASTI Negeri Sabah.
Menariknya, ibubapa yang hadir diberi peluang untuk bertanyakan soalan secara langsung tentang apa-apa isu atau persoalan berkaitan pengurusan, kurikulum PASTI, Jemaah Ibubapa Guru (JIBG) dan lain-lain.
Perasmi turut menyeru agar ibubapa berusaha memahami maksud konferensi yang mana inilah medan untuk sama-sama memberi saran, kritik dan idea-idea bernas untuk kebaikan PASTI.
Hadirin yang hadir menyatakan rasa gembira dan berharap program-program seumpama ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang.