Home Berita PAS Perlis

SPPM Nilai Perkembangan Murid PASTI Secara Menyeluruh

6891
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

GOMBAK : PASTI Malaysia terus mengorak langkah ke hadapan dalam menyajikan kurikulum pendidikan awal kanak-kanak yang lebih komprehensif menerusi pelancaran Sistem Perkembangan Prestasi Murid (SPPM).

Pelaksanaan sistem baharu ini dilihat bakal melonjakkan lagi kecemerlangan PASTI serta sejajar dengan perkembangan dunia pendidikan khasnya pra sekolah pada hari ini yang memberi penekanan terhadap penilai perkembangan pelajar secara lebih tepat dan menyeluruh.

Objektif SPPM adalah membina dan menilai perkembangan murid secara lebih menyeluruh dan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah peperiksaan.

Menurut Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim, pelbagai pembaharuan telah dibuat oleh PASTI Malaysia, bertujuan memperkemas serta memperkasakan lagi kurikulum PASTI sejajar dengan perubahan yang berlaku pada masa kini.

“Perubahan ini melibatkan semua sektor dan entiti yang ada dalam PASTI. Bagi menghasilkan kemenjadian murid yang optimum, anjakan paradigma ini perlu dibuat,” katanya di sini.

Melalui SPPM penilaian perkembangan individu tidak lagi tertumpu kepada kaedah peperiksaan semata-mata sebaliknya para pelajar akan diberi galakan dan peluang untuk membina keyakinan dan potensi diri masing-masing.

Terdapat lima elemen penilaian bersepadu dalam SPPM iaitu Celik Al Quran, Celik Sahsiah, Celik Minda, Celik Cerdas dan Celik Membaca.

“Konsep kesepaduan dalam kurikulum PASTI akan mengurangkan jurang prestasi murid di samping memfokuskan kepada kecemerlangan bersama keseluruhan murid PASTI.” ujarnya.