SEDUTAN KISAH SAHABAT (SIRI 1)
ABDULLAH BIN MAS’UD
Insan pertama membaca al-Quran terang-terangan selepas Rasulullah
Abdullah bin Mas’ud terkenal sebagai salah seorang ulama di kalangan sahabat. Beliau pakar dalam bab al-Quran. Bacaannya antara yang paling baik. Kefahamannya juga terhadap maksud antara yang paling tepat.
Nabi SAW pernah bersabda:
“Barangsiapa yang suka untuk membaca al-Quran segar sebagaimana ia diturunkan, maka bacalah mengikut bacaan Ibn Ummi Abd (gelaran Ibn Masud)”
Namun beliau bukan sekadar alim tentang al-Quran. Beliau juga mujahid al-Quran. Ketika di Mekah, baginda SAW berhimpun dengan para sahabat dan bersabda:
“Orang Quraisy belum pernah lagi mendengar al-Quran secara terbuka. Siapa di kalangan kita yang berani memperdengarkannya?”
Pantas Abdullah bin Mas’ud menjawab:
“Saya!”
Sahabat lain berkata:
“Eloknya biarlah orang dari keluarga yang boleh memberi perlindungan memperdengarkannya. Kami bimbangkan keselamatan kamu. “
Ibn Masud menjawab:
“Tak apa. Biarkan Allah melindungiku.”
Lantas dia keluar ke Masjidil Haram, pergi ke Maqam Ibrahim. Waktu itu orang-orang Quraisy sedang duduk di sekeliling Kaabah. Lalu dia membacakan dengan suara yang lantang:
Dia terus membacakan surah itu. Orang-orang quraisy terpinga-pinga mengamati apa yang dibacakan. Lantas berteriak:
“Celaka! Dia baca apa yang Muhammad bawa!”
Lalu mereka bangun beramai-ramai dan membelasah Ibn Mas’ud sehingga berlumuran darah. Namun beliau terus membacakan.
Setelah selesai, beliau pulang dengan keadaan yang masih berdarah. Sahabat-sahabat lain berkata kesal:
“Inilah yang kami bimbang berlaku pada kamu.”
Jawab Ibn Mas’ud:
“Demi Allah tiadalah musuh Allah yang paling ringan bagi aku selain mereka sekarang. Kalau kamu mahu, esok aku akan pergi lagi melakukan perkara ini.”
Para sahabat membalas:
“Cukuplah. Kau dah perdengarkan apa yang mereka benci.”
Abdullah Ibn Mas’ud adalah ikon pejuang al-Quran yang sebenar. Patut dicontohi oleh semua huffaz dan mereka yang terlibat di bidang al-Quran dan ilmu wahyu.
1 Ramadhan 1437
27 Mei 2017
(Alang Ibn Shukrimun)
{jathumbnail off}