Home Berita PAS Sabah

Kerajaan wajib selesaikan keperluan asas rakyat bendung masalah kebakaran

462
SHARE

Oleh : Laila Ismail
21 November 2019

BATU SAPI : Susulan kebakaran yang berlaku di Kampung Bongaya Baru, Batu Sapi awal pagi semalam, membuktikan sudah tiba masanya pihak kerajaan menyelesaikan beberapa isu penting rakyat yang berkaitan dengannya.

Antaranya ialah dengan menyalurkan bekalan elektrik yang diuruskan oleh syarikat milik kerajaan iaitu SESB dan bukannya diuruskan oleh syarikat swasta yang jelas menindas penduduk dengan caj tidak masuk akal.

Ia ditegaskan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid ketika ditemui semalam semasa melawat mangsa kebakaran Kampung Bongaya Baru di kampung berkenaan.

Beliau difahamkan kebakaran yang berlaku itu berpunca daripada api lilin yang dinyalakan penduduk kampung akibat ketiadaan elektrik sejak beberapa hari.

“Ada sebahagian rakyat di perkampungan Melayu atas air ini, khususnya Kampung Bongaya Baru dan Kampung Sundang tidak memiliki pilihan lain apabila terpaksa membuat pendawaian elektrik secara tidak sah akibat caj elektrik yang terlalu mahal,” ulas Sahar.

“Isu ini sudah berlarutan lama, lebih 20 tahun dan rakyat mahu SESB mengambil alih tugas membekalkan elektrik kerana caj yang lebih murah dan berpatutan, justeru kerajaan perlu realisasikannya,” gesanya.

“Tiada pilihan lain, kerajaan perlu memberi kemudahan elektrik yang sebaiknya agar rakyat tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti penyambungan haram sebagaimana yang berlaku hari ini,” tambahnya.

Selain itu, beliau juga mengharapkan agar kerajaan mewujudkan pili bomba di lokasi strategik dalam parlimen ini memandangkan kawasan ini sering berlaku kebakaran berskala besar yang mengorbankan harta benda.

“Difahamkan sepanjang perkampungan di Batu Sapi, tiada pili bomba untuk keselematan kampung yang kita tahu kawasan ini telah menyaksikan berpuluh-berpuluh kebakaran telah berlaku sebelum ini,” ujarnya.

“Sekiranya pili bomba ada, ia sekaligus dapat membantu pihak berwajib untuk memadam kebakaran dengan segera dan mengelakkan musibah merebak lebih besar,” jelasnya.

Justeru, Sahar menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi memastikan tiada lagi isu kebakaran yang berlaku berpunca daripada lilin dan seumpamanya yang mengorbankan harta benda dan keselesaan rakyat.

Katanya, apa yang menyedihkan apabila berlaku kebakaran ialah rakyat akan hilang tempat tinggal dan perkara ini sudah berlarutan lama di kawasan perkampungan Melayu dalam Parlimen Batu Sapi.