Pemuda Yang Tidak Mudah Terpengaruh (Al-Kahfi)
Sifat matang remaja ataupun pemuda Islam terdahulu lebih menonjol walaupun umur mereka ketika itu baru sahaja belasan tahun. Ada dikalangan mereka yang sudah dilantik menjadi pemimpin dan panglima Islam.
Terdapat banyak kisah yang menceritakan tentang pemuda sebegini yang boleh diambil pengajaran. Salah satu darinya ialah kisah Pemuda Ashabul Kahfi; bagaimana kita melihat mereka tidak mudah terpengaruh walaupun ketika itu bilangan mereka minoriti.
Allah S.W.T berfirman:
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambah mereka dengan hidayah petunjuk.” (A-Kahfi: 13)
Di hadapan raja yang zalim, para pemuda tersebut berhujah mempertahankan iman dan prinsip aqidah yang mereka yakini dengan penuh berani dan bersemangat. Mereka mengakui bahawa hanya ada satu Tuhan yang layak disembah dan diminta pertolongan. Dia-lah Allah SWT yang Esa, Yang Maha Menguasai alam semesta beserta isinya yang kekal abadi dan padaNya tidak ada sebarang kekurangan. DIA-lah tempat kita meminta pertolongan dalam apa jua keadaan; susah ataupun senang, suka mahupun duka.
Apabila mendengar hujah demikian, raja zalim itu menggunakan kekuasaan yang ada padanya untuk mengancam dan memaksa para pemuda meninggalkan agama mereka dalam tempoh masa yang diberikan. Jika mereka gagal berbuat demikian dan tidak mahu mengubah keyakinan dalam tempoh masa tersebut, para pemuda tersebut akan dipaksa untuk beriman dengan raja zalim atau bakal dijatuhkan hukuman mati
Pemuda tersebut terdiri daripada remaja berumur belasan tahun dan mereka bersatu kerana iman. Mereka tidak takut dengan ancaman tersebut dan bertekad untuk saling membantu serta mempertahankan keimanan mereka. Bagi mereka, lebih baik mati menggenggam iman daripada mengikuti jejak raja yang menyekutukan Allah SWT.
Oleh kerana sayangkan aqidah dan agama, pemuda-pemuda tersebut berbincang sesama sendiri untuk mencari satu keputusan muktamad. Kumpulan pemuda itu akhirnya bersepakat untuk bersembunyi.
Allah SWT berfirman:
إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
“(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan pemuda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”. (Al-Kahfi 10).
Mohamad Farouk Hamzah
11 Februari 2018
*Artikel di atas sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media Dewan Ulamak PAS Pusat. Artikel di atas dimuatnaik tanpa mengubah apa-apa dari yang asal. Penulis merupakan ijazah Usul Fiqh.