Mengikuti perkembangan terkini yang berlaku di Mesir, mengingatkan saya satu kenyataan dalam laman Al Jazeera oleh bekas duta Amerika Syarikat ke Mesir sekitar awal bulan Mac 2019 yang lepas. Antara lain beliau menyebut bahawa pihak yang menaikkan Abdul Fattah As-Sisi sehingga menjadi Presiden, pihak itu juga yang akan menjatuhkannya. Kenyataan ini seolah-olah memberikan satu signal bahawa wujudnya pergeseran antara pihak tentera yang menjadi institusi paling berkuasa dalam politik Mesir dengan Presiden Mesir, Abdul Fattah As-Sisi.
Samada kebetulan ataupun tidak, beberapa minggu lepas munculnya beberapa rakaman video oleh seorang anak muda yang tidak pernah dikenali sebelum ini iaitu Muhammad Ali yang hidup dalam persembunyian di Sepanyol. Beliau telah mendedahkan penyalahgunan kuasa, rasuah dan kronisma yang berlaku dalam kerajaan Mesir sehingga kehilangan ratusan juta dolar harta rakyat oleh kroni-kroni As-Sisi termasuk keluarganya yang terdekat. Muhammad Ali adalah seorang kontraktor yang mendapat banyak projek-projek besar daripada pihak tentera namun kecewa dengan polisi dan penyelewangan yang berlaku dalam Kerajaan As-Sisi sekarang ini.
Video rakamannya disaksikan oleh ratusan ribu rakyat Mesir dan mendapat sambutan begitu hangat dalam media sosial. Dalam videonya minggu lalu, beliau menyeru rakyat Mesir supaya keluar ke jalan raya membawa slogan untuk menjatuhkan As-Sisi dan ianya mendapat sambutan yang begitu hebat apabila ribuan rakyat Mesir turun ke jalan raya menyahut seruan itu. Apa yang lebih menarik, protes dan desakan ribuan rakyat Mesir yang turun di jalan raya supaya As – Sisi berundur seperti tidak diendahkan atau dibiarkan oleh pihak berkuasa samada polis mahupun tentera, seolah-olah mendapat lampu hijau dari pihak tertentu untuk tidak mengapa-apakan orang ramai yang berdemonstrasi. Namun begitu terdapat juga tangkapan yang dibuat, mungkin hanya untuk mengambil hati As-Sisi. Sehingga artikel ini ditulis, beratus-ratus telah ditangkap dan ditahan dalam penjara.
Dalam masa yang sama, tersebar pula video kedua oleh seorang aktivis dari Sinai iaitu Mas’ad Abu Al-Fajr. Beliau mendedahkan penglibatan Mahmud As-Sisi, anak lelaki As-Sisi dalam merancang kekacauan di wilayah Sinai bagi mewujudkan pertembungan antara tentera Mesir dan kumpulan-kumpulan pelampau Islam. Beliau mendedahkan, Mahmud As-Sisi yang juga Timbalan Ketua Perisikan Tentera telah mengupah kumpulan ini untuk menyerang tentera Mesir sehingga mengorbankan ribuan nyawa tentera. Semuanya ini bertujuan bagi mengukuhkan kuasa pemerintahan As-Sisi dengan alasan untuk memerangi keganasan.
Diikuti selepas daripada itu video rakaman oleh Wael Ghunaim, aktivis hak asasi manusia yang menjadi tonggak utama kepada kebangkitan rakyat Mesir sehingga jatuhnya Hosni Mubarak. Namun begitu selepas jatuhnya Mohammad Morsi, beliau juga diburu sehingga terpaksa lari dan mendapat perlindungan di Amerika Syarikat.
Perkembangan yang berlaku ini menimbulkan beberapa teori yang mungkin benar ataupun salah, antara lainya adalah perancangan dari pihak tentera Mesir sendiri yang tidak bersetuju dengan As-Sisi. Ini agak pelik kerana tanpa ada angin dan hujan tiba-tiba munculnya video-video pendedahan tersebut, seolah-olah wujudnya satu gerakan di belakangnya dengan restu dari pihak tentera kerana ketidakpuashatian di atas langkah-langkah yang diambil oleh As-Sisi termasuk menangkap dan memenjarakan pegawai-pegawai tinggi tentera yang tidak sependapat dengannya.
Mungkin juga gerakan ini mendapat restu daripada Amerika Syarikat sendiri sebagai tekanan kepada As-Sisi supaya tidak merapatkan hubungannya dengan Rusia. Beginilah kebiasaan sikap Amerika Syarikat yang hanya melihat kepada kepentingannya sahaja dan selagi mana boleh dipergunakan. Setelah As-Sisi dipergunakan untuk menjatuhkan Morsi, sekarang peranan As-Sisi mungkin tidak diperlukan lagi dan Amerika Syarikat berusaha menjatuhkannya setelah tindakan As – Sisi dijangka mampu menggugat kepentingannya samada di Mesir mahupun Timur Tengah.
Permulaan Kejatuhan As-Sisi
Politik Mesir agak suram di zaman pemerintahan Abdul Fattah As-Sisi, yang mengembalikan semula pemerintahan kuku besi seperti zaman-zaman sebelumnya. Rakyat Mesir menjangkakan mereka mengecapi kebebasan yang diimpikan selepas revolusi rakyat pada Januari 2011 yang menyaksikan kejatuhan Hosni Mubarak dan pemilihan Mohammad Morsi sebagai presiden pertama yang dipilih secara demokratik. Namun ia hanya tinggal impian, benar sebagaimana kata pepatah, disangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengahari.
Setelah berjaya menggulingkan Mohammad Morsi, As-Sisi melantik dirinya menjadi presiden dengan ‘lakonan’ pilihanraya yang melucukan seperti pilihanraya di negara-negara pemerintahan diktator lainnya. Bayangkan 95% rakyat mengundinya untuk menjadi presiden Mesir, satu jumlah yang tidak masuk akal namun jumlah rakyat yang keluar mengundi tidak sampai 50 peratus.
As-Sisi mengembalikan semula zaman kegelapan pemerintahan diktator seperti sebelumnya apabila berpuluh ribu rakyat yang dipenjarakan tanpa perbicaraan yang adil termasuk Mohammad Mursi yang meninggal dunia dalam tahanan mahkamah. Sisi cerita yang memilukan, bermula daripada pembunuhan beramai-ramai di Medan Rabi’ah sehingga kepada penyeksaan ke atas tahanan-tahanan politik dalam penjara yang begitu menyayatkan hati sehingga mengeletar tangan untuk menukilkannya.
Adapun dari sudut ekonomi pula, As-Sisi dilihat gagal untuk mengurus ekonomi yang menjadi harapan utama rakyat Mesir di mana 40 peratus rakyatnya berada pada tahap kemiskinan tegar. Dalam masa yang sama, peningkatan inflasi dan peratus pengangguran yang begitu tinggi khususnya dari kalangan anak muda sangat menekan kehidupan rakyat. Kenaikan harga barangan pengguna yang meningkat hampir 10 peratus menyukarkan lagi kehidupan rakyat Mesir yang sudah cukup tertekan dengan keadaan politik semasa.
Puluhan billion USD yang disalurkan oleh Arab Saudi dan UAE kepada As-Sisi sebagai balasan kerana berjaya menjatuhkan Mohammad Morsi dan seterusnya mengekang kebangkitan pengaruh ideologi Islam Siyasi wadah Ikhwan Muslimin tidak dimanfaatkan untuk rakyat tetapi untuk mengkayakan diri sendiri dan kroni-kroni di sekelilingnya menambahkan lagi kemarahan rakyat terhadap beliau. Alasan-alasan bahayanya pengaruh ideologi Islam Siyasi dan pelampau Islam akhirnya memakan diri kerana punca sebenar adalah hawa nafsu semata-mata.
Apa selepas ini ?
Penganalisa-penganalisa politik sangat memberikan perhatian terhadap apa yang sedang berlaku di Mesir sekarang ini. Masing-masing mengambil sikap tunggu dan lihat. Bagi Israel, sudah tentu ia mahu supaya As-Sisi terus kekal sebagai presiden kerana manfaatnya sangat besar untuk keamanan Israel yang sekarang ini berada dalam kepungan di sepanjang sempadannya dari utara ke selatan.
Kejatuhan As-Sisi akan memberikan impak yang sangat besar kepada Israel yang cukup gusar akan keselamatannya sebagaimana ketika zaman Mohammad Morsi yang dilihat memberi ruang yang cukup banyak kepada Palestin. Israel juga cukup risau jika kejatuhan As-Sisi akan memberi ruang kepada Ikwanul Muslimin untuk berkuasa semula di Mesir.
Amerika Syarikat mengambil sikap berhati-hati apabila Trump memberikan pujian melambung kepada As-Sisi dalam perhimpunan tahunan PBB yang sedang berlangsung di New York sekarang ini sebagai wira kerana berjaya menyekat pengaruh Islam Siyasi. Namun Amerika Syarikat juga bimbang jika As-Sisi dijatuhkan, siapakah yang akan menggantikannya yang mampu mengikut telunjuk dan kehendak mereka demi untuk mengekalkan pengaruh dan sebagai kuasa tunggal yang mencorak Timur Tengah.
Mesir Harapan Ummah
Mesir sentiasa mendapat perhatian kerana kepentingannya kepada Dunia Islam. Dari sudut geografi politik, kedudukannya sangat strategik dalam peta dunia khususnya Terusan Suez yang menjadi jambatan antara Lautan Pasifik, Laut Mediterranian, Laut Merah dan Lautan Hindi. Dari sudut sosial politiknya pula, Mesir adalah negara terbesar dari sudut penduduk di dunia Arab. Begitu juga dari sudut peradaban ilmu, kewujudan Universiti Al-Azhar yang merupakan antara universiti tertua di dunia menjadikannya sebuah negara yang sangat penting khususnya kepada Dunia Islam. Universiti Al-Azhar telah melahirkan sejumlah besar ulama dan pemikir ulung dari seluruh pelusuk dunia dan membawa perubahan kepada kebangkitan ummah dalam menangani serangan pemikiran emperialis Barat.
Justeru itu tidak pelik setiap perkembangan yang berlaku di negara ini sentiasa mendapat perhatian kerana ia akan memberi kesan kepada Dunia Islam khususnya dunia Arab yang sentiasa bergolak. Menurut ramai oreintalis barat, pemikir strategi ketenteraan mahupun geopolitik dunia, Mesir adalah tonggak kepada kekuasaan dan pengaruh di Asia Barat. Mana – mana negara yang mampu pengaruhi Mesir dan pemerintahnya ataupun meletakkan pemerintah Mesir di bawah kekuasaannya, maka negara tersebut mampu mencorakkan masa depan Asia Barat. Maka tidak hairanlah Amerika Syarikat melaburkan wang yang cukup banyak untuk Mesir samada bantuan ekonomi mahupun ketenteraan, begitu juga Israel dengan harapan Mesir akan berada di bawah telunjuk mereka.
Adakah dengan menggulingkan As-Sisi boleh menyelesaikan masalah ? Rakyat Mesir harus belajar dari pengalaman lalu supaya ianya tidak berulang menghantui mereka. Sudah cukup banyak pimpinan Mesir datang dan pergi dengan pelbagai cara dan kaedah politik termasuklah digulingkan namun nasib rakyat Mesir tetap sama. Sangat mudah untuk membuat rumusan apa yang sepatutnya dilakukan namun harapan ummah agar Allah sentiasa memelihara bumi anbiya dan awliyaa’ ini.
Sudah terlalu lama rakyat Mesir menempuh kesukaran hidup baik dari sudut ekonomi, politik mahupun masa depan yang tidak menentu. Rakyat Mesir harus sedar, mereka sendirilah yang mampu untuk menyelesaikan kemelut yang melanda negara mereka serta usah biarkan negara mereka mengikut telunjuk orang lain. Sampai bila lagi harus mereka membiarkan ini semua berlaku ? Mesir adalah milik rakyatnya dan hanya rakyatnya mampu mencorakkan masa depan Mesir dan diri mereka sendiri. Semoga Islam kekal utuh dan menjadi pedoman buat Mesir dan rakyatnya hingga akhir zaman.
YB Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Burok.