Home Berita PAS Sabah

AL QURAN Al HAQ : GOLONGAN YANG JAUH DARI PETUNJUKNYA

1700
SHARE

oleh : Abu Maryam Safiyah

10 September 2019

Umat Islam zaman keemasan pimpinan Rasulullah SAW telah meletakkan Al Quran sebagai pemimpin utama sehinggalah umat ini layak digelar sebagai Khairul Ummah (Ummat Yang Terbaik), diikuti zaman Khulafa’ Ar- Rasyidin dan Salafussoleh. Mereka menjadikan Al Quran sebagai Al Furqan (pembeza) dalam segenap aspek. Pembeza antara hak dan batil, zalim dan adil, Islam dan Kuffar.

Namun begitu mutakhir ini, Al Quran seolah-olah tidak dijadi sebagai kiblat hakiki dan panduan manusia khususnya umat Islam. Kesannya berlaku pelbagai fitnah, fawaasiq (kerosakkan), kejahilan serta kezaliman yang menghambat dunia saban hari sehingga tidak  mampu lagi untuk dikekang oleh manusia itu sendiri. Mengapa keadaan ini berlaku walapun Al Quran masih berada di depan mata manusia? Di sinilah sangat relevannya ayat Allah yang menjelaskan bagaimana sikap dan perangai manusia yang menjadikan Al Quran sebagai bahan asing walaupun kitab ini belum pupus ditelan zaman, bahkan masih bersama kita. Firman Allah SWT :

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا

Berkatalah Rasul: “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al Quran itu sesuatu yang tidak diacuhkan”. (Surah Al Furqan : 30)

Ulama tafsir seperti As Syeikh Dr. Khalid Al Muslih menyebut dalam mentafsirkan ayat ini. Bentuk tidak acuh atau tidak mengendahkan Al Quran itu diklasifikasikan kepada beberapa keadaan :

1. Tidak membaca Al Quran dalam kehidupan seharian
2. Tidak merenung makna yang Allah abadikan di dalamnya
3. Tidak menjadikan Al Quran sebagai panduan
4. Tidak menyampaikan seruan Al Quran
5. Tidak berhukum dengan hukuman Al Quran

Jika kita mengamatinya keadaan yang ditafsirkan ulama ini, sukar untuk kita menafikan perangai di atas sedang menular dalam kalangan umat Islam. Ada dalam kalangan umat tidak pernah membaca Al Quran atau terlaku jarang bersama Al Quran, rajinnya mereka membaca tulisan manusia mengatasi rajinnya mereka menghadap kalam Allah, tidak kurang juga yang menutup hati untuk merenung bait-bait Al Quran, melihat Al Quran sebagai paparan khat sahaja, ada manusia yang hanya sibuk mempertandingan alunan dan tarannumnya. Hanya terhenti di situ peranan kitab agung ini berbanding peranan ya yang sebenar.

Al Quran hanya di mata bukan di hati, akhirnya tidak dapat mengamalkan dengan luhur, meninggalkan seruan Al Quran sehingga martabat paling berbahaya sekali apabila manusia tidak lagi menjadikan Al Quran sebagai hukuman tertinggi dalam hidup kendiri, masyarakat dan negara. Benarlah kata-kata Al Imam Ibnu Rejab rahimahullah dalam Lataaiful Maarif yang bermaksud :

“Berapa banyak ayat Al Quran yang dibacakan kepada kita tetapi hati kita tetap seperti batu bahkan lebih keras”

Semoga kita dijauhkan Robbul Jalil daripada deretan sikap di atas sehingga digazetkan Allah sebagai orang yang berpaling dari Al Quran. Mulakan dengan Iqra, tadabbur, amal, dakwahkan Al Quran ini kepada umat seluruh isinya daripada bab ibadah, muamalat, hukumah, serta daulah (syumuliah), Akhirnya bangun membentuk ketumbukan menegakkan Al Quran sebagai dustur (undang-undang tertinggi) seperti mana Nabi pernah tegakkan di muka bumi Allah ini zaman kemenangan Islam. Marilah kita merenungi kata-kata Ibnu Mas’ud r.a dalam kitab Tazkiyyatun Nufuus yang bermaksud :

“Sesiapa yang mahu mengetahui dirinya mencintai Allah, hendaklah dia menghadapkan dirinya di depan Al Quran, jika dia ingin mencintai Allah, maka hendaklah mencintai Al Quran kerana Al Quran adalah kalam Allah”

*Rujukan :*
Al Quran Al Kareem
Tafsir Al Quran Ibn Musleh
Lataaiful Maarif
Tazkiyyatun Nufuus (Majmu’ah Asyhabus Sunnah)