Kenyataan Media
AMEERAH Negeri Terengganu
Islam Memartabatkan Maruah Wanita
AMEERAH Negeri Terengganu menyokong penuh dengan kenyataan dan tindakan yang diambil oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu, YB Wan Sukairi Wan Abdullah yang berpendirian tegas dengan menarik diri dalam beberapa jenis sukan yang bercanggah sepenuhnya dengan syariat Islam seperti gimrama dan gimnastik wanita.
Islam tidak menolak aktiviti sukan bahkan Islam menggalakkan aktiviti yang boleh mendatangkan kesihatan yang baik kepada umatnya. Islam juga meraikan bakat dan potensi seseorang serta mengiktiraf kebolehan dan kehebatan wanita tetapi semua kurniaan Allah mesti digarap dalam ruang lingkup syariat, halal dan haram demi menjaga maruah wanita Islam.
Hendaklah diingat bahawa tidak ada kelonggaran untuk membuka aurat ketika bersukan. Alasan-alasan seperti panas, rimas, sukar membuat pergerakan dan sebagainya jika menutup aurat ketika bersukan tidak sekali-kali diterima oleh syara‘.
Dari itu, ketika bersukan hendaklah memakai pakaian yang bersesuaian, menutup aurat, tidak menjolok mata dan tidak menimbulkan fitnah.Perlu diingat dan ditekankan di sini bahawa pakaian yang jarang, nipis atau ketat sehingga menampakkan warna kulit atau susuk tubuh adalah ditegah dan tidak memadai walaupun pada zahirnya ia seolah-olah menutup bahagian aurat.
AMEERAH Negeri Terengganu berdiri teguh di belakang Kerajaan Negeri Terengganu mempertahankan tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan dalam membela dan menjaga maruah wanita khususnya atlet wanita di Terengganu.
Dan AMEERAH Terengganu menyeru supaya kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Belia dan Sukan supaya menyemak kembali etika pemakaian ahli sukan muslim supaya ia selaras dengan tuntutan syarak.
‘Islam Memimpin Perpaduan’
YB Zuraida Md Noor,
Pengarah AMEERAH Negeri Terengganu.
08 September 2019
Kenyataan MediaAMEERAH Negeri TerengganuIslam Memartabatkan Maruah WanitaAMEERAH Negeri Terengganu menyokong penuh…
Posted by Ameerah Terengganu on Saturday, September 7, 2019