PERUTUSAN PRESIDEN PAS SEMPENA MAAL HIJRAH 1441H
Memperingati peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W adalah mempelajari perjalanan seorang Rasul mendidik umat dan membangunkan negara supaya difahami oleh umat Islam kini khususnya para pendakwah dan penggerak Islam.
Peristiwa Hijrah membawa pengalaman baru dalam perjuangan Islam. Kalau sebelumnya, mereka mengalami ujian diejek, ditahan, diseksa, dan ada yang mati dibunuh tetapi hijrah menguji kecintaan mereka terhadap Allah S.W.T. dan Rasul-Nya mengatasi kasihkan tanah air, harta benda dan rumahtangga.
Mereka telah berjaya dalam ujian pertama tersebut dan membuktikan kesanggupan menghadapi ujian yang berikutnya apabila mereka telah melaksanakan hijrah menuju Yathrib dengan meninggalkan tanah air yang dikasihi, harta dan rumah kediaman.
Allah S.W.T. telah memberi jaminan kepada mereka yang berhijrah dengan firman-Nya:
﴿وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا١٠٠﴾ [النساء: 100]
“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani(100)” [Surah An-Nisaa: 100]
Dalam perjalanan hijrah Rasul itu juga mengingatkan kita peristiwa Suraqah bin Malik, seorang pahlawan yang terkenal yang masih kafir yang telah mengetahui tawaran hadiah besar kepada sesiapa yang dapat membawa Rasulullah S.A.W. dan sahabatnya kepada pemimpin Quraisy sama ada hidup atau mati.
Suraqah berjaya mengejar Rasulullah S.A.W., namun ketika menghampiri Baginda S.A.W. tiba-tiba tersungkur kuda yang ditunggangi beberapa kali dan tidak mampu lagi melangkah ke arah Baginda S.A.W. Ketika itu dia benar-benar yakin bahawa dia berdepan dengan seorang Nabi utusan Allah yang mulia. Lalu dia meminta daripada Rasulullah S.A.W. supaya menjanjikan sesuatu hadiah yang berharga kepadanya. Lalu Baginda S.A.W. berjanji akan menghadiahkannya sepasang gelang yang dipakai oleh Raja Kisra.
Walaupun ketika itu Islam ditentang segenap penjuru dan Rasulullah S.A.W. diancam sehingga mencari tempat baru, namun keyakinan bahawa Islam pasti menang mengalahkan kuasa-kuasa besar suatu hari nanti adalah petunjuk daripada utusan Allah yang mulia.
Akhirnya, apabila jatuhnya empayar Parsi di zaman Saidina Umar Al-Khattab R.A, Suraqah telah dipanggil oleh Amirul Mukminin, lalu berkata: “Angkatlah tanganmu supaya aku pakaikan kepadamu gelang Kisra”.
Inilah iktibar Hijrah Rasulullah S.A.W yang perlu diambil oleh pendukung Islam dan pendakwahnya terkini kerana Islam daripada Allah bersama janjinya yang benar, namun kewajipan pendukungnya merancang dengan bijaksana bagi meraih kemenangan di dunia dan juga di akhirat berkonsepkan Islam memimpin bukan dipimpin.
“Islam Memimpin Perpaduan”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 1 Muharram 1441 / 1 September 2019