PERUTUSAN KEMERDEKAAN KE-62 KETUA PEMUDA PAS PERLIS
SEMARAK OBOR PERPADUAN, PADAMKAN API PERPECAHAN
Menghampiri ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-62, negara kita berhadapan dengan pelbagai isu yang menimbulkan pergeseran dalam kalangan rakyat.
Perkara seperti ini amatlah mendukacitakan kita kerana telah mengancam perpaduan rakyat pelbagai kaum serta menggugat kestabilan negara.
Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang sengaja mewujudkan pelbagai isu sebagai propaganda demi kepentingan politik sempit mereka.
Isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum, penghinaan terhadap institusi beraja dan Jalur Gemilang, serta tindakan memperlekehkan anggota beruniform seperti anggota tentera, polis dan bomba seharusnya tidak berlaku di negara ini.
Sesungguhnya DPPNPs amat komited dalam memastikan perpaduan dan keharmonian rakyat terpelihara dan tidak akan sesekali berkompromi dengan tindakan-tindakan provokasi yang merugikan rakyat dan negara tercinta ini.
Marilah kita sama-sama menyemarakkan kembali obor perpaduan ke arah mewujudkan rakyat yang bersatu-padu menjelang sambutan kemerdekaan negara kali ini. Semoga kemerdekaan yang telah sekian lama dikecapi ini tidak disia-siakan oleh kita semua
DEMI ISLAM
Yang Ikhlas
MUHAMMAD AZMIR AZIZAN
Ketua Pemuda PAS Perlis