Oleh: Muhammad Hadi
ARAU : SRI Al Furqan (SRITI Perlis) terus mencatat kejayaan cemerlang dalam Kejohanan Sukan SRITI Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 yang berlangsung pada 23 hingga 24 Ogos lalu di kampus IPGM Kota Bharu.
Kontinjen yang dibarisi seramai 39 orang atlet itu berjaya membawa pulang satu pingat emas, dua pingat perak dan satu gangsa.
Pingat emas disumbangkan menerusi acara lari 100 meter (lelaki) manakala dua pingat perak pula diperolehi menerusi acara Bola Sepak dan Bola Jaring.
Sementara itu kuartet 4×100 meter perempuan pula berjaya membawa pulang pingat gangsa setelah mendapat tempat ketiga dalam acara berkenaan.
Kejayaan pada kali ini mengatasi pencapaian dua perak dan satu gangsa yang dicapai di Sungai Petani pada tahun lalu.
Ketua Kontinjen SRITI Perlis, Mohd. Ridzwan Daud berkata, meskipun belum berjaya menjadi johan keseluruhan, pihaknya amat berpuas hati dengan tahap pencapaian pasukan yang semakin baik berbanding tahun lalu.
“Alhamdulillah, kita berjaya meningkatkan tahap pencapaian yang cemerlang, namun apa yang lebih penting adalah semangat kesukanan yang amat tinggi yang ditunjukkan oleh para atlet kita sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.