Home Kenyataan Media Presiden PAS

Isu Dr. Zakir Naik: Tiga Asas Yang Perlu Dihormati

1137
SHARE

Kenyataan Media Presiden PAS

ISU DR. ZAKIR NAIK: TIGA ASAS YANG PERLU DIHORMATI


PAS mengikuti dengan cermat perkembangan isu Dr. Zakir Naik yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu atas tujuan yang dilihat boleh mengeruhkan suasana.

PAS berpandangan terdapat tiga asas penting yang perlu dihormati dan diberi perhatian segera oleh semua pihak termasuklah pihak berkuasa, parti politik, NGO dan pengamal media, serta Dr. Zakir Naik sendiri, bagi menjernihkan keadaan.

Pertama, budaya debat dan dialog adalah ruang demokrasi yang perlu dihormati.

Semua pihak perlu bersedia untuk bersemuka dan berdialog secara ilmiah dan berhikmah, demi mencari ‘kebenaran dan kebersamaan’. Pihak RTM dan kerajaan Negeri wajar memberikan ruang supaya budaya dialog ini dapat disuburkan, sebagaimana yang telah dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan tempoh hari.

Kedua, perpaduan masyarakat majmuk adalah kerukunan hidup yang perlu dipelihara.

Semua pihak bertanggungjawab untuk menjaga sensitiviti pelbagai kaum dan agama dalam negara. Siasatan juga perlu dilakukan terhadap pemimpin politik dan pengamal media yang menjadi ‘makhluk perosak’ yang mencetuskan kegelisahan ini. PAS dan pendukung DHPP sentiasa komited membela perpaduan kaum di negara ini, dan terbuka untuk berdialog dengan semua pihak di atas prinsip kebenaran.

Ketiga, jaminan keselamatan yang perlu dijaga tanpa mengira agama dan bangsa, sebagaimana yang terkandung di dalam Surah At-Taubah ayat 6.

﴿وَإِنْ أَحَدٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْلَمُونَ٦﴾ [التوبة: 6]

“Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam) (6)” [At-Taubah: 6]

Status penduduk tetap (PR) yang diberikan kepada Dr. Zakir Naik adalah hak asasi manusia yang diiktiraf dunia dan negara bertamadun. Hak keselamatan ini juga adalah jaminan Islam terhadap sesiapa yang terancam keselamatannya, walaupun terhadap bukan Islam. Kerajaan dan agensi berkaitan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bertegas dalam memberi jaminan keselamatan ini.

Seterusnya semua pihak diseru agar menghayati firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

﴿ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ١٢٥﴾ [النحل: 125]

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat (pengajaran) yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk” (Surah An-Nahl: 125)

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 18 Zulhijah 1440 / 19 Ogos 2019

Kenyataan Media Presiden PASISU DR. ZAKIR NAIK: TIGA ASAS YANG PERLU DIHORMATIPAS mengikuti dengan cermat…

Posted by Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang on Sunday, August 18, 2019