Home Berita PAS Pulau Pinang

Ulamak PAS PP hayati ibrah korban di Pondok Turath

852
SHARE

BATU KAWAN: Sempena Hari Raya Aidil Adha, ibadah korban dianjurkan dengan menyembelih lembu dan kambing pada majlis yang diadakan di Majmak Turath Islami atau dikenali juga sebagai Pondok Turath di Juru, di sini.

Pada hari raya pertama kelmarin, sebanyak 12 ekor lembu dan seekor kambing telah dikorbankan, sementara baki 9 ekor lembu lagi melengkapkan semua 21 ekor telah disembelih pada pagi semalam.

Pengarah Qurban Perdana Pondok Turath, Ustaz Ahmad Tajudin Abu Bakar berbesar hati dengan sambutan para peserta dan masyarakat sekitar yang telah bertungkus-lumus menjayakan program korban selama dua hari.

Menurut Ustaz Tajudin yang juga merupakan Ketua Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang, agihan daging korban kali ini adalah untuk para asnaf, fakir miskin dan pelajar-pelajar Pondok Turath.

“Kami mengambil kesempatan ibadah korban untuk memberi peluang masyarakat melakukan ketaatan kepada Allah semasa berkorban iaitu ibadah yang digalakkan pada setiap tahun.

“Perjuangan menegakkan Islam menuntut umatnya bersungguh-sungguh berusaha membebaskan diri daripada pengaruh kebendaan dan kesenangan dunia yang banyak melekakan manusia.

“Harta, masa, keluarga, jiwa dan perasaan yang terpaksa dikorbankan adalah harga yang perlu dibayar untuk meraih kemenangan yang Allah janjikan kepada para pejuang-Nya,” tegas beliau mengingatkan ibrah sembelihan korban.

Semasa khutbah hari raya di pondok ini, Setiausaha Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Dr Fazali Abd Manas membangkitkan semangat hadirin untuk terus meningkatkan ibadah dengan penuh ketakwaan serta sedia berkorban sebagaimana Nabi Ibrahim dan keluarganya.

Suasana ketika program dua hari ini berlangsung meriah dengan gema takbir raya oleh semua yang hadir, mengiringi ibadah sembelihan korban.