Wendy Loong Tidak Menggambarkan Sikap Rakyat Malaysia
‘AISYAA YASMIN
JOHOR BAHRU : Sikap Wendy Loong tidak menggambarkan sikap rakyat Malaysia yang dididik puluhan tahun untuk hidup harmoni,saling hormat menghormati sama agama dan kaum.
Ketua Pemuda PAS Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz menyuarakan demikian ketika membuat laporan polis di balai polis Johor Bahru semalam berikutan kebiadaban Wendy Loong menghina Nabi Muhammad SAW di media sosial.
Jelasnya , individu ini gagal menunjukkan ia seorang rakyat Malaysia yang cintakan negara.
“Kita mengharapkan keharmonian daripada kepelbagaian keunikan bangsa dan agama di negara kita dan ini tidak sepatutnya berlaku.”
“Jadi saya menyeru kepada semua seluruh umat Islam harus bangkit dengan penuh sensitif untuk membela Nabi Muhammad SAW dan perjuangkan agama Islam suci ini,” tegasnya.
Keperihatinan yang sama disuarakan Ketua Penerangan PAS Johor, Rusman Kemin menggesa bantahan ditunjukkan dengan lebih serius.
“Kita akan mengarahkan kepada setiap kawasan untuk membuat tindakan yang sama dengan membuat laporan polis di tempat masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Johor,Abdullah Husain mengharapkan dengan tindakan tegas yang diambil, tidak ada lagi pihak yang berani menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.
” Gelombang kesedaran ini perlu kita terapkan dalam diri masyarakat agar tidak ada pihak yang sewenang-wenangnya menghina Islam dan mengganggu gugat ketenangan yang sedia ada.”
BeIiau menyatakan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW ini bukanlah yang pertama kali bahkan individu sebegini dilihat semakin berani bertindak di luar batasan.