Home Kenyataan Media PAS Selangor

Program Semarak Ramadhan Negeri Selangor Tahun 1438 Hijrah/2017 Masihi

843
SHARE

Alhamdulillah, sekali lagi pada tahun ini Kerajaan Negeri Selangor bersama-sama dengan Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan meneruskan penganjuran Program Semarak Ramadhan Negeri Selangor 1438H/2017M seperti tahun sebelumnya di Padang Dataran Kemerdekaan Shah Alam bermula 30 Mei hingga 22 Jun 2017 bersamaan 4 hingga 27 Ramadhan dengan tema “RAMADHAN : KUKUHKAN AQIDAH, SEBARKAN UKHUWAH”.

Saya selaku EXCO Kerajaan Negeri Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Selangor berasa sangat bersyukur dan berbangga kerana program Semarak Ramadhan dengan pengisian program ilmiah berbentuk santai daripada penceramah jemputan berstatus selebriti selain penyediaan jamuan berbuka puasa dan tempat untuk melaksanakan ibadah solat telah menarik minat ramai penduduk di sekitar Shah Alam, Subang, Klang dan Petaling untuk bersama-sama meraikan program tersebut. Saya sangat mengharapkan agar program sebegini dapat dikembangluaskan di setiap daerah di dalam Negeri Selangor dengan Masjid-Masjid Daerah menjadi teraju utama untuk memulakannya. Selain itu, masjid-masjid dan surau di seluruh Selangor juga adalah digalakkan untuk melaksanakan program iftar (berbuka puasa) bersama ahli qariah setempat bagi merapatkan ukhuwah.

Saya penuh yakin dan percaya bahawa program Semarak Ramadhan Negeri Selangor yang telah menginjak ke tahun ke 3 pada tahun ini boleh menjadi satu tarikan untuk mempamerkan agenda memartabatkan Syiar Islam di Negeri Selangor. Di dalam usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk menjadikan Negeri Selangor sebagai negeri yang aman sejahtera dan rakyat menikmati segala kemakmuran dan hasil kekayaan negeri maka saya sangat mengharapkan sokongan dan dokongan daripada seluruh rakyat Negeri Selangor yang beragama Islam agar dapat mendoakan segala usaha yang dilaksanakan untuk mencapai maksud Baldatun Taiyyibatun Wa Rabbun Ghafur (Negeri Yang aman Sejahtera & Tuhan Yang Maha Pengampun) di Selangor ini akan dipermudahkan dan diberkati oleh Allah Taala.

“SEJAHTERA BERSAMA ISLAM”

Y.B. DATO’ DR. AHMAD YUNUS BIN HAIRI, D.P.M.S
AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI SELANGOR (EXCO)
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan,
Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi

03 Ramadhan 1438H bersamaan 29 Mei 2017

{jathumbnail off}