TASEK GELUGOR: Ameerah Tasek Gelugor telah mengadakan forum Ameerah Mengupas membicarakan tajuk “Ketagihan Peranti Moden yang dilangsungkan di Padang Awam, Pokok Sena di sini pagi semalam.
Majlis dengan kerjasama Masjid Jamek Kampung Banggol ini menampilkan pendakwah personaliti televisyen Ustazah Shadiya Abbas dan Pakar Psikiatri Hospital Kulim, Dr Nurul Nadia Ismail selaku panel.
Forum dikendalikan oleh Nurul Aliyatur Rafieah Mohamad ini mengupas isu ketagihan penyalahgunaan gajet terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang semakin parah kini.
Ustazah Shadiya yang melontarkan perbahasannya dari perspektif agama menyifatkan penggunaan gajet secara salah telah memberi kesan buruk dalam mencapai maqasid syariah.
Pesannya, Islam juga menetapkan keharmonian rumahtangga dan pendidikan anak menurut acuan Islam yang menuntut ibu bapa mementingkan ilmu disamping berwaspada dengan cabaran semasa zaman.
Dr Nadia pula mengemukakan aspek berkenaan kesan ketagihan gajet yang diibaratkan beliau seperti pisau terhadap sosial dan kesihatan di mana ia boleh menjadi pemudah kerja bahkan juga mencederakan.
Forum yang dimeriahkan sama dengan mini karnival ini turut melangsungkan pertandingan mewarna dan teka silang kata bagi kanak-kanak, selain persembahan nasyid oleh para pelajar KAFA Makhadul Huda.
Juga dibuka kepada masyarakat awam adalah kaunter khas pemeriksaan dan konsultasi kesihatan percuma oleh NGO PAPISMA, serta pendaftaran pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Terdahulu majlis dialunkan dengan bacaan surah Luqman oleh pelajar SRITI Darul Hadis, Nur Hannah Damia Nasrul Hisham dan juga sesi pengenalan Ameerah oleh Pengarah Ameerah Pulau Pinang, Nur Aisyah Abdul Wahab.
Turut menyampaikan aluan sempena program ini adalah Timbalan Pengerusi Masjid Kampung Banggol, Ustaz Faissol Che Ahmad dan Ketua Muslimat PAS Tasek Gelugor, Tuan Bedah Syed Mohamed.