Home Berita PAS Sabah

BELASUNGKAWA PEMERGIAN HAJI MOHAMAD BIN ABDULLAH: BAPA PERJUANGAN PAS SABAH

1349
SHARE

Kami mendapat perkhabaran sedih kembalinya ke rahmatullah insan yang banyak berjasa kepada perjuangan Islam di Sabah,  Haji Mohammad bin Abdullah. Sahabat dan ayahda kepada para pejuang PAS Sabah

Kami menzahirkan rasa simpati dan takziah yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga khususnya kepada Hajah Betang serta anak-anak.

Sesungguhnya PAS Sabah kehilangan seorang tokoh yang dedikasi dan gigih mengkaderkan pelapis-pelapis perjuangan di kalangan anak-anak muda serta giat melaksanakan usaha dakwah dan kebajikan di Negeri Sabah.

Seorang tokoh yang sentiasa berbicara dengan lembut dan merendah diri namun menginfakkan jiwa dan raga dan hartanya tanpa berbelah bagi dalam perjuangan menegakkan syariat Islam.

Memikul amanah sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Tawau yang pertama pada tahun 1986 , Pesuruhjaya PAS Sabah ( 1990-2001 dan 2004-2011) ketika kesedaran dan kefahaman Islam pada masyarakat serta kefahaman akan pentingnya  kewujudan  satu gerakan yang syumul yang memperjuangkan Islam di negeri di bawah bayu ini masih terlalu rendah lagi.

Pengalaman sesat di hutan bersama beberapa orang sahabat dengan menaiki Land Cruiser hijau dan minta bantuan pekerja balak kerana kehabisan minyak, ketika jambatan Sg Kinabatangan dan jambatan Sg Segama belum wujud lagi serta jalanraya masih jauh ketinggalan berbanding negeri lain , adalah semata-mata  untuk memenuhi amanah sebagai insan yang bertanggungjawab terhadap pembinaan dan penyuburan bibit-bibit kalimah toyyibah.

Banyak lagi memori pahit manis almarhum  bersama sahabat dalam merintis perjuangan terutama di awal tahun 80 an , akan dikenang sepanjang hayat terutama pada sahabat yang bersama-sama menempuhnya.

Semoga roh almarhum di tempatkan di kalangan para syuhada’ dan hamba-Nya yang soleh.

Alhamdulillah , Allah pilih almarhum istiqamah bersama perjuangan PAS sehingga ke akhir hayat.

Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.

MOHAMAD BIN HUSAIN
AJK Kerja PAS Pusat
Yang Dipertua PAS Kawasan Tawau.
1 Julai 2019