Home Berita PAS Selangor

KERAJAAN PH KERAJAAN KEBATILAN ; WAJIB DITUMBANGKAN DALAM SISTEM DEMOKRASI

887
SHARE

Oleh : Ustaz Muhammad Najhan Halim

Firman Allah swt dalam surah An Nahl ayat 112,

وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلࣰا قَرۡیَةࣰ كَانَتۡ ءَامِنَةࣰ مُّطۡمَىِٕنَّةࣰ یَأۡتِیهَا رِزۡقُهَا رَغَدࣰا مِّن كُلِّ مَكَانࣲ فَكَفَرَتۡ بِأَنۡعُمِ ٱللَّهِ فَأَذَ ٰ⁠قَهَا ٱللَّهُ لِبَاسَ ٱلۡجُوعِ وَٱلۡخَوۡفِ بِمَا كَانُوا۟ یَصۡنَعُونَ

Maksudnya, “..Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan…”

1. Perjuangan Menegakkan Islam itu Wajib

Perjuangan Islam termasuk di lapangan politik demokrasi pilihanraya adalah bertujuan untuk Menegakkan Agama dan Mentadbir Negara dengan Agama.

Perjuangan ini adalah satu kewajiban agama yang diletakkan dipundak setiap umat Islam dan ianya fardu kifayah iaitu wajib secara kolektif yang mesti dilaksanakan oleh sebahagian umat Islam di negara ini.

Kewajiban ini sememangnya tidak difahami oleh mereka yang berpolitik hanya sekadar duniawi dan mensasarkan halatuju yang singkat termasuk menolak panduan agama.

PAS dan gerakan Islam seluruh dunia ketika menyertai politik pilihanraya dalam sistem demokrasi mengambil peluang untuk berjuang secara damai ‘muwajahah silmiah’ yang menjadi asas perjuangan Islam dengan memahami bahawa memperjuangkan Islam adalah wajib dan juga wajib untuk menegakkan negara Islam.

PAS dan gerakan Islam serata dunia menjadikan platform demokrasi untuk berdakwah dan menasihat pemerintahan negara untuk kembali kepada sistem Islam dan tunduk akur terhadap perintah Allah swt dan ajaran Baginda saw. Ia adalah kerana hanya Islam yang mampu membawa kesejahteraan kepada umat manusia dan tiada yang selainnya.

2. Pemerintahan Yang Menolak Islam

Sekiranya pemerintahan yang sedia ada menolak untuk kembali kepada Islam, ruang demokrasi yang ada dijadikan platform kepada pejuang Islam untuk menegakkan Islam dan juga meruntuhkan kezaliman dan kebatilan menerusi pilihanraya dan amalan memilih pemimpin dalam sistem demokrasi.

Menegakkan agama Islam itu adalah satu kewajiban dan diwajibkan pada masa yang sama berusaha meruntuhkan kebatilan dan kemungkaran daripada menjadi paksi pemerintahan sesebuah negara.

Sekiranya pemerintahan sedia ada tidak meletakkan Islam di kedudukan yang sewajarnya, tambahan pula Islam dipermainkan sesuka nafsu maka wajib bagi perjuang Islam menumbangkannya dan menegakkan ajaran Islam dalam pemerintahan.

3. Kebatilan dan Kegagalan Pemerintahan PH

Kerajaan PH dilihat dan dibuktikan pada hari ini sejak setahun pemerintahan mereka sebagai kerajaan yang batil dan salah.

Bermula dengan kemenangan PRU14 yang berpunca daripada amalan politik fitnah dan adu domba, menteri kerajaan yang menipu sijil kelayakan, menipu janji manifesto pilihanraya, menggugat perpaduan kaum dan keamanan amalan beragama, menggoncangkan sistem beraja, menggangu kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, mengganggu hak dan institusi Islam, usaha untuk menormalisasikan kehidupan bebas tanpa agama, menyamaratakan Islam dengan agama lain, merendahkan martabat bahasa Melayu dan hak bumiputera, sehinggalah ke tahap berpolitik lucah dan video seks di kalangan ahli politik pemerintah.

Itu belum lagi termasuk kegagalan untuk menjaga kepentingan rakyat dan gagal juga untuk mengurus tadbir ekonomi negara sehingga matawang negara di tahap yang paling rendah. Begitu juga terhadap usaha untuk meratifikasikan ICERD dan Statut Rom yang mampu meruntuhkan institusi perlembagaan negara ini. Sila baca lanjut tulisan ” Setahun Pakatan Harapan :365 Kegagalan oleh Abdul Muen Abadi, https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10213773344557350&id=1518563074

Semua ini terlalu banyak untuk disenaraikan segala kebatilan dan salahlaku pemerintahan PH sepanjang setahun usianya.

Mungkin di pihak PH ada yang berhujjah bahawa tiadakah pemerintahan PH pun ada yang usaha untuk membawa pembangunan.? Jawabnya ialah pembangunan adalah tugas dan amanah setiap pemerintah yang tidak mengira latarbelakang pemikiran.

4. Wajib Berjuang Untuk Menjamin Survival Islam

Akan tetapi yang paling mustahak adalah kedudukan Islam dan hak umat Islam yang semakin terancam di era pemerintahan PH yang sewajibnya keatas umat Islam untuk bangkit bagi memastikan Islam dan umat Islam terjamin masa depannya. Jikalau keadaan ini diteruskan oleh Kerajaan PH, masa depan Islam, negara dan rakyat adalah tidak terjamin dan hilang arah tujunya.

Kerajaan PH dilihat tidak mempunyai usaha yang jelas dan kesungguhan untuk mempertahankan Islam dan menegakkan Islam dalam pemerintahan. Menteri yang bertanggungjawab hal agama Islam dan umat Islam pun asyik berpolemik murahan dengan teori maqasid dan rahmatan yang tersasar. Maqasid Syariah yang tiada roh dan Rahmatanlilalamin yang menyimpang daripada maksud sebenarnya adalah untuk mengaburi mata umat Islam.

Islam yang Maqasid dan Rahmatan ini tidak lebih sekadar Islam yang mengikut telunjuk orang yang tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat dan bukannya petunjuk wahyu Ilahi dan pedoman Sunnah Baginda saw. Sila baca “Islam Era PH Tiada HalaTuju” : Ustaz Muhammad Najhan, https://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15-tanah-air/10334-islam-era-ph-tiada-hala-tuju

Parti dalam kerajaan yang mendakwa diri sebagai parti Islam pun tidak langsung boleh diharap untuk menjaga dan membenteng Islam. Apa yang hanya dilakukan ialah lemah longlai tunduk kepada parti berpaksi sosialis sekularisme.

Parti idea sosialis pula sengaja memomokkan Islam sebagai jahat dan tidak adil. Dengan berani menuduh usaha umat Islam untuk bersatu padu sebagai ancaman kepada perpaduan kaum dan ancaman kepada penganut bukan Islam. Mereka berani menyambung lidah Islamophobia yang direka cipta di barat untuk menyerang Islam. Mereka sentiasa menyerang usaha memartabatkan Islam walaupun hebat berlakon kononnya menghormati Islam dengan memberi sumbangan derma kepada masjid dan surau, berbuka puasa dengan orang Islam, menyampaikan zakat tetapi apabila tiba usaha untuk agama Islam dan syariatnya hendak diperkasakan, mereka jugalah penentang tegar.

5. Wajib Dan Haram itu Jelas

Wajib kepada Umat Islam untuk menegakkan Islam dan berjuang untuk menjamin survivalnya sehingga hari kiamat. Disamping itu, haram bagi umat Islam membiarkan dan berdiam diri berpeluk tubuh ketika kebatilan dan kemungkaran berleluasa dalam keadaan mereka berkemampuan untuk menghilangkannya.

Dalam lapangan politik demokrasi, rakyat mampu menggunakan kuasa undi mereka untuk menjatuhkan kezaliman, mencegah kemungkaran dan meruntuhkan kebatilan menerusi pilihanraya dengan memberi undi kepada pemimpin dan parti yang memperjuangkan Islam dan membela agamaNya.

Sabda Nabi saw,
لا يزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خالفهم ولا من
خذلهم حتى يأتي وعد الله

Maksudnya, “..Akan sentiasa wujud sekumpulan umatku yang menegakkan kebenaran, tiada sesiapa yang memudaratkan, dan tiada sesiapa yang mengecewakan mereka sehingga datangnya janji Allah…”
(Hadis Muslim 1920)

Dengan hujah dan apa yang dinyatakan seperti diatas terlalu mudah untuk difahami bahawa memperjuangkan Islam dan menjatuhkan kebatilan adalah wajib ke atas setiap Muslim.

Wajib Menegakkan Islam dan Menjatuhkan Kebatilan bukan sekadar naratif, tetapi ia adalah satu pegangan dan tanggungjawab agama dan usaha dalam melaksanakannya beroleh rahmatNya dan dinilai disisi Allah swt.

# “Islam Memimpin Perpaduan”
# “Ulamak Memimpin Penyelesaian Islam”

Penulis adalah AJK Dewan Ulama PAS Pusat merangkap Setiausaha Dewan Ulama PAS Negeri Selangor.
2 Jun 2019 bersamaan 28 Syawal 1440H.