Oleh: Muhammad Hadi
Negeri Perlis yang terletak di utara Semenanjung Malaysia, sememangnya sinonim dengan nama Harumanis.
Berkeluasan kira-kira 795 km persegi, negeri yang bersempadan dengan Wilayah Satun (Thailand) di sebelah utara dan Kedah di selatan ini diiktiraf sebagai negeri paling kecil di negara ini.
Namun sekecil-kecil negeri ini, ia tetap memiliki keistimewaan tersendiri yang tiada di negeri-negeri lain – mangga harummanis.
Apa Itu Harumanis?
Mangga Harumanis Perlis merupakan klon mangga MA 128 dan merupakan antara baka mangga terbaik di Malaysia. Mangga ini mendapat namanya daripada aromanya yang harum dan rasanya yang manis.
Mangga harumanis memerlukan musim kemarau iaitu dari Januari hingga Mac untuk berbunga (stress period) dan musim Mangga Harumanis Perlis adalah singkat iaitu hanya sebulan atau sebulan setengah dalam setahun.
Justeru, faktor inilah yang membuatkan Mangga Harumanis Perlis berbeza dengan mangga lain kerana pengeluaran serta pasaran mangga harumanis adalah sangat terhad.
Keistimewaan mangga Harumanis
Mangga yang turut mendapat tempat di pasaran antarabangsa ini kaya dengan vitamin A yang baik untuk kesihatan mata, tubuh badan serta antipenuaan.
Selain itu, Harumanis juga kaya dengan vitamin B yang diperlukan untuk membantu pertumbuhan dan perkembangan tubuh badan serta mineral-mineral seperti magnesium (membantu sistem pencernaan dan sistem saraf), potassium (meningkatkan stamina dan tenaga) dan kuprum (pertumbuhan tulang, fungsi saraf dan perkembangan otak).
Justeru dengan khasiat yang dimilikinya, tidak hairanlah mangga tempatan ini mendapat permintaan yang amat tinggi saban tahun apabila tiba musimnya.
Harumanis terlalu mahal?
Namun, di sebalik keistimewaan buah tempatan ini, harumanis tidak terkecuali memiliki ‘kontroversi’nya yang tersendiri – ‘harga’.
Ramai yang mengeluh kerana harganya yang disifatkan terlalu mahal jika dibandingkan dengan saiz buah tersebut. Dari satu segi nampak seolah ada kewajarannya.
Ini kerana, harga sekilogram harumanis boleh mencecah sehingga RM30, sedangkan sebiji buah harumanis memiliki berat hampir setengah kilogram!
Namun jika diteliti dari segi faktor kaedah serta kos penanamannya, ternyata harga berkenaan adalah munasabah kerana penjagaan terhadap pokok mangga ini amatlah rumit berbanding dengan mangga-mangga lain seperti Perlis Sunshine, Cok Anan, Nam Dok Mai dan sebagainya.
Selain itu, faktor musim yang pendek serta harumanis hanya boleh ditanam di negeri ini sahaja turut menyumbang kepada harga yang mahal kerana kedua-dua faktor berkenaan menyebabkan pengeluaran buah ini terhad berbanding permintaan yang ada di pasaran.
Atas segala keunikan dan keistimewaan yang ada padanya, maka mangga Harumanis Perlis telah didaftarkan sebagai Harta Intelek sejak 2 Ogos 2011 lagi yang menjadikan Harumanis sebagai hak eksklusif Perlis.
Ingat Harumanis, ingat Perlis.