PERMATANG PAUH: Dewan Muslimat PAS Kawasan Permatang Pauh telah mengadakan kunjungan ziarah kepada pesakit kanser kanak-kanak di Kubang Semang, Kampung Petani dan Bandar Perda, di sini kelmarin.
Menurut Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Permatang Pauh, Fatimah Abd Hamid, pihaknya prihatin terhadap penderitaan dan ujian ditanggung pesakit serta ahli keluarga mereka.
Oleh itu katanya, ziarah tersebut bertujuan memberi sentuhan rohani bagi mendorong kekuatan mereka terus menjalani kehidupan, selain sokongan moral, serta sumbangan kewangan dan hadiah.
Antara dilawati adalah Ainul Mardziah Muhammad Noor, 6 tahun penghidap Acute Myeloid Leukemia dan Mohd Fazri Hakimi Ahmad, 15 tahun pesakit kanser tulang, serta Faris Arsyad Azmi, 8 tahun yang mengalami Wilms Tumor.
Ketua Muslimat PAS Permatang Pauh, Ustazah Norhapiza Saad melahirkan rasa terharu atas ketabahan dan penerimaan keluarga terhadap pesakit dan menyatakan pentingnya wujud sistem sokongan komuniti setempat.