Minda Presiden PAS
MENJAWAB KEKELIRUAN JIHADFOBIA
Terserlah di kalangan bukan Islam yang berfahaman negatif melampau terhadap Islam dengan menyalahgunakan perkataan jihad mendedahkan kebebalannya, kerana salah mendapat maklumat yang sebenar akan makna perkataan jihad mengikut bahasa Al-Quran.
Bahkan, ada juga daripada kalangan penganut Islam yang terlanjur sesat terhadap perkataan yang sangat mulia di sisi Islam tanpa peduli betapa kewajipan jihad itu daripada Allah yang Maha Suci daripada sifat kekurangan. Al-Quran itu adalah petunjuk dan penyelamat daripada Allah kepada umat manusia seluruhnya, sama ada yang menganut Islam atau tidak.
Malangnya mereka menerima pengetahuan itu daripada kalangan para orientalis yang sentiasa berniat jahat terhadap Islam tanpa melaporkannya dengan adil berkonsepkan budaya ilmu yang bermoral dan ikhlas mencari kebenaran.
Perkataan jihad sebenarnya dalam Bahasa Arab yang menjadi bahasa Al-Quran, berasal daripada perkataan Al-Jahdu yang bermakna kesulitan atau Al-Juhdu bermakna tenaga, ditambah pula dengan satu huruf menjadikan sebutannya perbuatan jaahada, di mana masdar (nama terbitan) disebut jihad atau mujahadah, bermaksud kesungguhan melakukan sesuatu perkara sehingga terpaksa menghadapi kesulitan atau kesakitan dan terpaksa mengembelengkan tenaga yang besar.
Adapun perkataan jihad mengikut istilah hukum Islam adalah kesungguhan menegakkan Islam walaupun terpaksa menghadapi kesusahan dan kesulitan, dan menggemblengkan tenaga sehingga mengorbankan jiwa raga, nikmat jasad, akal dan harta.
Menegakkan Islam itu adalah melaksanakan Islam kerana berusaha menyelamatkan manusia termasuk diri sendiri, keluarga dan kaum bangsanya supaya menerima Islam yang sempurna, dengan berdakwah dan melaksanakan perintahnya kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat, sama ada mereka menerima Islam tanpa paksaan atau bersedia di bawah naungan Islam tanpa menganutnya. Di mana langkah itu terpaksa menghadapi tentangan dan cabaran.
Jihad juga termasuk melawan nafsu jahat dalam diri sendiri dengan sabar kalau sakit dan susah serta bersyukur tidak lalai kalau senang dan sihat. Namun diharamkan kalau membunuh diri sendiri sehingga menjadi dosa paling besar seperti yang dilakukan oleh kalangan bukan Islam.
Jihad juga dilakukan oleh umat Islam dalam meninggikan nasib mereka sendiri dari segenap lapangan ilmu, pendidikan, politik dan ekonomi mengikut takrif Islam yang menyeluruh, sehingga menasihati raja dan pemimpin yang zalim diletakkan menjadi jihad yang paling besar kerana bersabar dan tidak melakukan kekacauan dalam negara dan masyarakat sendiri walaupun terpaksa dizalimi sehingga dibunuh sekalipun.
Sabda Rasulullah S. A.W.:
أفضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر (رواه أبي داود والترمذي وابن ماجه)
“Jihad yang paling mulia adalah menasihati kerajaan yang zalim”. (Riwayat Abi Daud, At-Tirmizi dan Ibn Majah)
Usaha menegakkan Islam itu terpaksa menghadapi tentangan, sama ada perasaan dalam diri sendiri yang terpaksa bersabar menghadapi tekanannya atau pihak musuh luar di sekelilingnya. Bermula dengan pendekatan damai yang lebih diutamakan, sehinggalah terpaksa menghadapi musuh yang berperang dan melampau. Namun Islam mengharamkan tindakan melampau walaupun terhadap musuh yang melampau, berpandukan firman Allah:
وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ (190)
“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampau (dengan menceroboh atau melampaui adab peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau”. (Surah Al-Baqarah: 190)
Maka dihuraikan oleh Rasulullah S.A.W. dengan diharamkan melampau seperti membunuh mereka yang tidak terlibat dengan peperangan seperti kanak-kanak, kaum, wanita, orang tua, para paderi dan sami di rumah ibadah mereka serta dilarang merosakkan perkara lain yang tidak terlibat dengan peperangan.
Islam juga mengharamkan tindakan melampau terhadap musuh yang telah terbunuh dan senjata pemusnah serta diwajibkan juga melayan tawanan dengan baik. Islam juga menggalakkan perdamaian diutamakan dahulu dan menerimanya walaupun sedang berperang, kerana firman Allah:
وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (61)
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Surah Al-Anfaal: 61)
Secara pelaksanaannya telah ditunjukkan oleh Islam sehinggalah mencapai kemenangan apabila berlakunya Fathu Makkah (berjaya membebaskan Makkah) dan peristiwa-peristiwa lain. Sila bandingkan dengan kemenangan seperti Revolusi Perancis, Komunis Soviet, China dan lain-lain termasuk peperangan yang dilakukan terkini oleh negara bukan Islam itu.
Maka jihad tidak boleh disamakan dengan Holy War, terorisme dan sebagainya yang lain daripada perkataan jihad. Dalam ajaran Islam disebut hukum feqah yang bermaksud faham, seperti feqah solat, puasa, zakat, haji dalam perkara ibadat, feqah dalam hukum berkeluarga (munakahat), feqah muamalat (urusan ekonomi), feqah dalam urusan politik dan lain-lain. Maka jihad juga ada feqahnya tersendiri yang dibukukan oleh para ulama’ hukum Islam yang menyatakan syarat, rukun dan adabnya.
Oleh itu, kemenangan Islam dalam jihadnya menjadi kenyataan sejarah diterima oleh masyarakat bukan Islam sebagai penyelamat yang sangat berbeza dengan imperialisme dan kolonialisme.
Sejarah melaporkan betapa kerajaan China pada zaman itu mengambil sikap damai terhadap Islam, sehingga kedatangan Islam di Benua China itu berlaku sejak awal dengan dibuktikan kesan kedatangan Islam yang masih ada masjid-masjid sehingga kini.
Islam datang ke Malaysia bersama pendakwah secara damai, bukannya peperangan. Orang Melayu dan rumpunnya yang awal berada di sini menerima Islam yang berdaulat dengan menegakkan kerajaan, bukan sekadar penduduknya sahaja. Apabila penjajah Barat datang menyerang dan menakluk dengan berperang, maka umat Islam telah berjihad menentang penjajah itu, sebelum adanya PAS dan UMNO, lebih-lebih lagi sebelum adanya pendatang daripada bangsa lain yang dijadikan pekerja dan penduduk oleh penjajah.
Perjuangan politik secara demokrasi dilakukan oleh PAS dan UMNO sehingga mencapai kemerdekaan. Umat Islam pula menerima kaum lain yang dibawa oleh penjajah itu menjadi sebahagian anggota masyarakat majmuk yang bersaudara. Demokrasi yang mengambil pendekatan damai adalah sinonim dengan Islam dan ajaran jihadnya yang perlu direalisasikan bagi menegakkan Islam.
Masyarakat Islam menolak fahaman komunis kerana ideologinya yang menentang semua agama dan menolak pendekatan demokrasi bebas secara damai. Maka masyarakat Islam juga menganggap kumpulan komunis adalah penjajah dan lebih berbahaya daripada penjajah Barat yang tidak menolak agama. Oleh itu komunis bukan pejuang kemerdekaan.
Islam juga menolak ideologi asing yang mengambil pendekatan demokrasi dan menghadapi ideologi itu dengan pendekatan demokrasi melalui perjuangan yang memerlukan amalan yang dinamakan jihad damai kerana memerlukan kesungguhan.
Maka tindakan daripada kalangan bukan Islam di sini yang suka membuat kenyataan jihadfobia hendaklah berfikir dengan matang dan adil sebelum mengeluarkan kenyataan. Sedarlah betapa masyarakat Melayu yang beragama Islam boleh menerima masyarakat majmuk dengan mudah bersama mereka, walaupun pelbagai provokasi dan kemarahan bebal oleh pihak lain, dalam keadaan kehidupan Melayu Islam yang dipinggirkan mengikut perancangan penjajah dahulu dan kesannya sehingga kini.
Janganlah memandang serong terhadap Islam yang sebahagian besar penganutnya Melayu yang berusaha untuk menyatukan mereka bagi membina jati diri bangsa dengan Islam bersama konsep mengiktiraf masyarakat majmuk.
Demi kepentingan bersama, kalangan bukan Islam wajib menolak semua pihak yang mahu mengapikan permusuhan dengan mentafsirkan Islam secara zalim yang akan menggugat diri mereka sendiri dan semua pihak lain.
Slogan Islamofobia kini telah memakan diri daripada kalangan yang mengapikannya di negara berkuasa besar. Maka jihadfobia janganlah pula akan membakar diri peniupnya.
PAS boleh mengadakan perbincangan dengan MIC baru-baru ini, walaupun majoriti ahlinya adalah penganut agama Hindu dan menunjukkan hasil yang sangat positif apabila memahami titik persamaan yang boleh bekerjasama dan perbezaan yang boleh dibincangkan secara terbuka tanpa perkelahian, apabila masing-masing menjaga adab dan sempadannya. PAS tetap menolak sesiapa yang tidak menjaga sempadan dan adab perbezaan dalam masyarakat majmuk.
Bahkan PAS boleh mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sebagai cabang bukan Islam yang menerima konsep politik Islam yang adil dan rahmat untuk semua. Maka menjadi satu ketelanjuran yang melampau apabila kalangan Melayu Islam dihukum kerana berbincang dan bekerjasama dalam satu agama dan satu bangsa.
PAS teguh beristiqamah bersama Islam walaupun adanya pebezaan dalam perkara cabang yang tidak berkait dengan dasar. PAS menolak daripada kalangan Islam sendiri yang tidak beristiqamah dengan Islam walaupun dianutnya kerana tenggelam bersama mazhab Machiavelli matlamat menghalalkan segala cara (the ends justifies the means) walaupun menghilangkan maruah agama dan bangsanya.
“Islam Memimpin”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 26 Rejab 1440 / 2 April 2019