Oleh : Wan Nur Aziezan Baharudin
Bukit Mahkota, 17 Mac 2019 – Ketua Dewan Muslimat (KM) PAS Serdang, Puan Hamsatul Hamzah telah menggariskan 8 perkara yang perlu diperhalusi oleh semua ahli PAS terutama muslimat dalam ucaptama beliau ketika Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Dewan Muslimat PAS Serdang (DMPS) Kali ke29 di Bukit Mahkota hari ini.
Menurut beliau, Dewan Muslimat PAS Serdang/Bangi perlu bijak merancang dan bertindak bagi memastikan PAS masih kekal relevan di Parlimen Bangi. Antara tindakan yang boleh dilakukan setiap ahli untuk memperoleh kemenangan dalam Pilihanraya akan datang adalah dengan memanfaatkan media sosial yang ada. Setiap ahli perlu mempersiap diri agar mampu menerangkan produk PAS seperti Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS), Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) dan Dokumen Hijau (DH).
Selain itu, beliau berharap agar mujahidah cyber dapat diperkasa agar mampu menangkis sebarang fitnah terhadap PAS. Menjadi kewajipan ahli juga untuk melaporkan sebarang aktiviti peringkat cawangan agar PAS dilihat masih bernafas dan bergerak aktif dalam masyarakat.
KM juga menyentuh berkenaan penerangan yang perlu diberikan kepada kaum bukan Islam terutama dikalangan ahli DHPP agar mereka tahu bahawa PAS bukan hanya sebuah parti politik yang menjaga kepentingan satu kaum sahaja, tetapi ia adalah parti yang memperjuangkan keamanan, keharmonian, perpaduan, kestabilan politik dan ekonomi serta kesejahteraan negara dengan berpayungkan Islam sebagai panduan.
Puan Hamsatul juga berharap agar muslimat PAS menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat melalui surau dan NGO disamping menonjolkan kelebihan masing-masing tanpa meninggalkan komitmen pada cawangan masing-masing.
Beliau juga mengingatkan para muktamirat agar melipatganda usaha mendaftar pengundi dan menambah ahli PAS terutama anak-anak ahli PAS.
Pada masa yang sama, beliau mengingatkan agar jentera pilihanraya diperkemas dengan menambah cawangan dalam Parlimen Bangi kerana ia melambangkan kesiapsiagaan PAS dalam menghadapi pilihanraya.
Disamping itu juga, Ketua Muslimat ini menyeru agar agenda pengundi muda tidak ditinggalkan. Beliau berharap agar anak-anak muda terutama wanita muda dapat disantuni melalui aktiviti-aktiviti yang memenuhi selera dan kehendak mereka.
Ucaptama KM Serdang ini telah mendapat respon yang baik dari para muktamirat yang hadir dalam MAT DMPS kali ke-29 ini