Penulis : Izyan Haziqah Isrofeil
BINTULU, 10 Mac – Sambutan Hari Wanita Sedunia yang disambut 8 Mac setiap tahun turut diraikan oleh Muslimat Sarawak anjuran Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) semalam.
Program yang melibatkan 10 orang muslimat telah membuat kunjungan mesra di beberapa buah rumah panjang di sekitar daerah tersebut.
Delegasi itu turut mengedarkan risalah berkenaan Hari Wanita serta menghadiahkan sekeping kek kepada setiap wanita disitu sebagai tanda penghargaan atas segala jasa yang telah dicurahkan.
Menurut Ketua Lajnah Perpaduan Nasional, Rohaya Ramli, setiap wanita layak diberi penghargaan daripada masyarakat sekeliling atas penat jerih mereka terutamanya membangunkan institusi keluarga dan negara.
Ujarnya lagi, melalui sambutan hari wanita ini, kami mengambil peluang untuk memberi sokongan kepada mereka untuk terus menjadi wanita hebat seperti Saidatina Fatimah r.a.
“Anakanda kesayangan Rasulullah ini pernah mengeluh penat menguruskan rumah tangga sehingga diminta seorang pembantu olehnya. Namun, Rasulullah meng’hadiah’kan kalimah zikir untuk diamalkan.
“Dengan mengingati Allah, pasti segala urusan akan dipermudahkan. Sejak itu, Saidatina Fatimah mengamalkan zikir tersebut setiap kali melakukan tugasan rumahtangga,” tambah Rohaya.
Rata-rata wanita disana yang terdiri daripada masyarakat Iban menerima baik kunjungan tersebut dan berasa terharu dengan kedatangan Muslimat PAS ke teratak mereka.