SEDUTAN KISAH SAHABAT (SIRI 5)
Salman al-Farisi
~ Pemburu Hidayah Ilahi ~
Salman alFarisi berasal dari Isfahan, wilayah Parsi. Bapanya seorang pembesar Parsi dan orang kuat agama Majusi. Beliau telah membesarkan Salman dengan ajaran Majusi dan mempersiapkan Salman bagi menggantikan tempatnya kelak. Gerak geri Salman sentiasa dikawal agar tidak terpengaruh dengan sebarang ajaran lain.
Takdir tuhan, pada suatu hari Salman telah melalui sebuah gereja Nasrani. Di sana beliau telah melihat orang Nasrani yang masih berpegang kepada ajaran asal Nabi Isa sedang bersolat. Beliau telah tertarik dengan Nasrani dan merasakan agama itu lebih baik dari agama Majusi. Salman bertanya dari mana asal agama ini lalu mereka menjawab dari negeri Syam.
Salman memberitahu perkara itu kepada bapanya menyebabkan bapanya menjadi marah lalu merantai kedua kaki Salman dan mengurungnya.
Tetapi Salman berjaya meloloskan diri. Beliau kemudian lari ke Syam untuk mendalami Nasrani. Beliau pergi ke gereja dan menyatakan hasrat unfuk menjadi khadam kepada ketua gereja di sana.
Malangnya di sana beliau mendapati ketua gereja itu sebenarnya penipu besar. Dia menyuruh orang ramai bersedekah tetapi dia mengambil harta sedekah itu untuk kegunaan sendiri. Walaubagaimanapun, dalam kebencian beliau terhadap gereja itu beliau tetap setia berkhidmat kepadanya itu sehinggalah dia meninggal dunia.
Ketua gereja baru pula dilantik menggantikan tempat yang mati itu. Ketua gereja baru ini perangainya elok dan sangat zuhud. Salman meneruskan khidmat Kepada beliau pula. Apabila rahib jtu memberitahu bahawa ajal beliau bakal tiba, Salman bertanya di mana lagi ada orang sepertinya. Beliau itu meminta Salman supaya ke Mousil di Iraq.
Setelah rahib meninggal, Salman terus ke Mousil dan bertemu seorang lagi Rahib yang soleh. Salman berkhidmat untuk beliau pula sehingga menjelang saat kematian Rahib tersebut. Tatkala akhir usianya, Salman bertanya lagi di mana dia boleh mencari orang sepertinya. Rahib meminta dia ke Nasibin pula.
Begitulah seterusnya. Salman bertemu Rahib baharu dan berkhidmat untuknya sehingga hampir wafat. Sebelum meninggal, Salman bertanya di mana lagi dia boleh mencari pengganti. Rahib minta ke Amuriah pula.
Pergilah Salman ke Amuriah dan berkhidmatlah beliau kepada Rahib di sana. Menjelang kewafatan rahib itu, Salman bertanya sebagaiman ditanya kepada rahib-rahib yang lain. Namun Rahib ini menjawb:
“Aku tidak pasti apakah masih ada lagi orang yang berpegang dengan agama yang benar ini. Tetapi ketahuilah bahawa sudah dekat masa tibanya kebangkitan seorang Nabi di tanah arab, yang mewarisi agama Nabi Ibrahim. Dia akan berhijrah dari tanahair ya ke tanah yang punyai banyak pohon tamar. Dia memiliki tanda-tanda yang jelas iaitu tidak menerima sedekah tetapi menerima hadiah. Dia juga memiliki tanda kenabian di antara dua bahunya.”
Salman mengambil keputusan untuk ke sana. Tidak berapa lama selepas itu datang pedagang arab ke Amuriah. Lalu beliau menumpang rombongan tersebut pulang ke tanah arab.
Nasib Salman tidak berapa baik. Pedagang tersebut akhirnya menjual Salman kepada seorang Yahudi. Kemudian dia dibawa ke Madinah dan akhirnya bekerja di sebuah kebun tamar milik Yahudi Bani Quraizhah.
Beberapa tahun masa berlalu, akhirnya pada suatu hari beliau terdengar perbualan tuannya bahawa telah muncul seorang lelaki di Madinah mendakwa ajaran baharu. Beliau merasakan itulah dia Nabi yang dimaksudkan. Lalu secara senyap beliau mencari lelaki itu dengan membawa sedikit tamar.
Setelah berjumpa, beliau tawarkan kepada baginda buah tamar dengan berkata ianya adalah sedekah. Lelaki itu mengambilnya lalu diberi makan kepada sahabatnya yang ada di situ. Beliau tidak menjamahnya.
“Ini satu tanda.” Getus Salman dalam hatinya.
Esoknya dia bertemu lelaki tersebut lagi dan memberikan tamar. Kali ini dia berkata ianya adalah hadiah. Lalu lelaki tersebut mengajak sahabatnya makan bersama. Beliau turut menjamahnya sekali.
“Ini dua.” Kata Salman lagi dalam hati.
Sedang lelaki itu makan, Salman mencuri-curi pandang ke arah tubuh baginda melalui celahan pakaiannya. Beliau perasan gelagat Salman, lalu dengan sengaja menyelak bajunya sehingga jelas ternampak tanda kenabian ketiga yang selama ini dicari-cari.
Tatkala itu juga Salman terus menerpa ke arah Nabi SAW lalu memeluk, mencium wajah suci baginda dan menangis kegembiraan. Alangkah bahagianya apabila perjalanan berpuluh tahun beliau mencari kebenaran, akhirnya berjaya menemui seorang Nabi, utusan pembawa wahyu tuhan. Waktu itu juga Salman mengucapkan dua kalimah syahadah.
Salman mengisahkan perjalanan beliau memburu hidayah tuhan sejak dari awal. Baginda sangat teruja mendengarnya lalu meminta Salman sendiri bercerita kepada para sahabat. Mereka semua berkongsi kegembiraan yang sama.
Nabi SAW memegang Salman dengan tangan mulianya lalu bersabda:
“Sekalipun ditakdirkan iman itu berada setinggi bintang di langit, pasti dia akan dapat mencapainya jua.”
Salman al-Farisi adalah pembakar semangat buat semua pencinta kebenaran. Benarlah Firman Allah SWT:
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh pada jalan Kami, nescaya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami;
[Al-Ankabut:69]
5 Ramadhan 1438
31 May 2017
(Alang Ibn Shukrimun)
{jathumbnail off}