Home Berita PAS Selangor

Masjid : Antara Ahli Parlimen Dan Imarah Masjid

629
SHARE

 

Allah swt berfirman dalam surah al Tawbah ayat 17-18, Maksudnya, ” ..Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam neraka… “

” Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk… “

1. Polemik isu seorang yang bukan Islam memasuki masjid adalah perkara yang tidak boleh dipermainkan dan dibuat sekadar andaian.

2. Ini kerana Masjid adalah merupakan tempat dan lokasi yang paling suci bagi umat Islam walaubagaimana rupa sekali pun masjid itu dari sudut fizikalnya samada masjid yang hanya bertiangkan pelepah tamar sehinggalah bertatah intan permata sekalipun. 

3. Di sana terdapat perbincangan para ulama dan fuqaha’ yang sangat luas berkait persoalan siapa yang berhak dan dibenarkan (harus) memasuki masjid dari satu sudut dan siapa yang memakmurkan atau membuat pengisian di dalamnya adalah satu sudut yang lain. 

4. Apa itu Masjid?  
Maka dimaksudkan dengan perkataan masjid adalah tempat bersujud, dan bentuk jamaknya adalah masajid. 

5. Adapun menurut istilah syarak yang dimaksudkan dengan masjid adalah suatu bangunan yang memiliki batas-batas tertentu yang didirikan untuk tujuan beribadah kepada Allah seperti solat, zikir, membaca al Quran dan ibadah yang lainnya.  Ia juga tempat didirikan solat berjamaah, solat Jumaat atau tidak. Allah berfirman dalam surah al-Jin ayat 18,

Maksudnya, “ ..Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorangpun di dalamnya di samping (menyembah) Allah… ”

6. Adapun perkataan “memakmurkan masjid” adalah bermaksud membangun dan mendirikan masjid, mengisi dan menghidupkannya dengan berbagai ibadah dan ketaatan kepada Allah Ta’ala, menghormati dan memeliharanya dengan cara membersihkannya dari kotoran-kotoran dan sampah serta memberinya wangian di dalamnya.

7. Setiap muslim wajib memakmurkan masjid-masjid Allah dengan berbagai ibadah dan ketaatan, disebabkan terdapat banyak kelebihan dan fadhilat padanya. Dan Allah menyifatkan orang-orang yang memakmurkan masjid-masjidNya sebagai orang yang beriman, sebagaimana dalam firmanNya dalam ayat 18 surah At Tawbah.

8. Dalam sebuah hadis dikatakan bahawa Nabi saw bersabda, 

“ Jika kamu melihat orang rajin mendatangi masjid, maka persaksikanlah ia sebagai orang yang beriman.” (HR. Ahmad, At-Tirmidzi dan beliau menghasankannya.) 

9. Semua bentuk ketaatan apapun yang dilakukan di dalam masjid atau terkait dengan masjid maka hal itu termasuk bentuk memakmurkannya.

10. Ayat diatas merupakan petunjuk asas dalam memahami panduan memakmurkan masjid. Menurut ulamak tafsir, adalah tidak layak bagi golongan yang musyrik atau kafir memakmurkan masjid atau rumah yang dibina atas namaNya semata-mata. Allah swt telah menyatakan dengan jelas akan mereka yang beriman sahajalah berhak memakmurkan masjid atau rumah Allah.

11. Disana terdapat perbezaan yang perlu diteliti antara memakmurkan (mengisi, menghidupkan) program di masjid antara menghadiri atau mendatangi masjid. 

12. Sememangnya tiada halangan sesiapapun untuk mendatangi masjid samada seorang muslim samada lelaki, wanita malah termasuk di kalangan orang bukan Islam. Hanya yang wajib ke atas mereka agar terikat dengan hukum masjid apabila melibatkan kebersihan dan akhlak serta tatacara ketika menghadiri masjid dan berada di dalamnya. 

13. Setiap muslim sememangnya terikat dengan hukum hakam masjid secara amnya hampir sama hukumnya ketika di luar masjid. Menjaga kebersihan, menutup aurat, solat adalah sesuatu yang wajib dilakukan oleh setiap muslim sekalipun berada diluar masjid. Hanya apabila melibatkan najis dan kotoran samada najis berat, sederhana dan ringan, haid serta adab, maka seorang muslim amat dituntut menjaga tatacara hukumnya.

14. Apabila melibatkan seorang yang bukan Islam, mereka sememangnya tidak terikat dengan hukum najis sepertimana dalam Islam kerana hukum Islam diwajibkan dituruti hanya kepada mereka yang beragama Islam sahaja. Namun begitu, mereka yang hadir ke masjid hendaklah menghormati tatacara dan adab masjid sebagai tempat yang mulia dan suci bagi umat Islam sebagaimana mereka lakukan kepada rumah ibadat mereka sendiri seperti gereja atau kuil. 

15. Persoalannya disini, adakah sama kehadiran seorang yang bukan Islam ke dalam masjid bagi meraikan bulan Ramadhan yang sedang diisi dengan ibadah dan aktivti mengingati dan membesarkan Allah swt oleh Umat Islam?.

16. Jawapannya adalah tidak sama dari sudut imarah yang hakiki. Ini kerana nilai imarah itu bermula dengan Aqidah yang sahih yakni mentauhidkan Allah swt dan mengabdikan diri hanya kepadaNya. 

17. Apatahlagi, seorang yang bukan Islam tersebut yang jelas diluar ketika di luar masjid, dialah yang kuat menentang Islam, menghalang usaha memartabatkan Islam, menghina Islam, memperkecilkan Islam dan undang-undangnya, mengajak dan bersekongkol dengan penentang Islam agar masyarakat Islam keliru dengan hakikat Islam yang sebenar, dialah juga kononnya hadir mengajak dan menyeru orang Islam melakukan kebaikan. 

17. Apakah ini sandiwara? Sepatutnya mereka yang bukan Islam tidak seharusnya menentang Islam, umatnya serta urusannya kemudian datang pula ke masjid dengan menonjolkan diri bahawa mereka juga ingin bersama Islam.  

18. Mereka seharusnya memahami, bahawa Islam itu tidak sekadar tunduk dan sujud kepada Allah swt ketika solat di dalam masjid.  Akan tetapi Islam yang sebenarnya adalah tunduk dan sujud dari sudut maknawinya kepada Allah swt pada setiap masa, samada di dalam masjid dan di luarnya, begitu juga dalam aspek ekonomi, sosial, dan termasuk urusan undang-undang, politik dan pemerintahan. 

19. Mereka juga yang sama tegar menentang Umat Islam yang ingin tunduk dan sujud kepada Allah swt diluar masjid lalu mendatangi ke dalam masjid dengan memberitahu umat Islam bahawa mereka bersama Islam dan umatnya?

20. Kita lihatlah sahaja dalam isu pembentangan Rang Undang-Undang 355, mereka inilah yang menjadi seteru kuat, mempersenda dan memperkecilkannya kemudian dengan tanpa rasa bersalah dan segan silu datang ke masjid bercakap kepada umat Islam bahawa mereka seolah-olah tidak menentang Islam.

21. Inilah idea dan pemikiran Islam sempit yang diimpikan oleh musuh iaitu Islam hanya sekadar tunduk dan sujud di dalam masjid, tetapi tiada roh dan penghayatan Islam di luarnya yang bersifat syumul dan sempurna. Mereka ingin melihat Islam itu tidak berperanan dan berfungsi dengan lengkap dalam aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara. 

22. Umat Islam yang turut memahami pemikiran begini juga perlu bermuhasabah dan menilai kembali pemahaman Islam dan masjid dengan sebenar. 

24. Negara Malaysia adalah negara umat Islam yang berpotensi untuk mengembalikan semula keagungan dan kesyumulan Islam yang pernah bertapak kukuh satu ketika dahulu. 

25. Masjid hendaklah menjadi sebagai titik tolak dan pemangkin kekuatan Islam dan Umatnya untuk menterjemahkan ketaatan dan pengabdian mereka kepada Allah swt di luar masjid agar Islam benar-benar membawa kesejahteraan kepada semua umat manusia. 

“Sejahtera Bersama Islam”
“Inilah Penyelesaian Kita”

Nukilan

Ustaz Muhammad Najhan Halim 
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor 
1 Jun 2017 | 6 Ramadhan 1438H

{jathumbnail off}