Home Berita PAS Pulau Pinang

Liga Memanah Tradisional Pulau Pinang 2018 Kumpul Pemanah Seluruh Pulau Pinang

1639
SHARE

Memanah merupakan satu sukan yang amat disarankan oleh Nabi Muhammad SAW.

Galakkan sukan memanah turut terkandung di dalam hadis baginda Nabi Muhammad saw yang menyarankan agar umat Islam belajar memanah sebagai satu sumber kekuatan.

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ [الأنفال: 60]، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ

Maksudnya: “Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah)”. [Riwayat Muslim (1917)]

SRIBU Archery Club (SAC) telah menganjurkan dengan jayanya Liga Memanah Tradisional Pulau Pinang kali ke 4 atau dikenali Penang Traditional Archery League (PETAL 4.0) pada 24 Nov 2018 (Sabtu) bertempat di Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU), Mengkuang Titi, Pulau Pinang.

Seramai 107 orang pemanah dari 13 kelab memanah dan orang perseorangan sekitar Pulau Pinang telah menyertai liga pada kali ini.

Kategori yang dipertandingkan ialah dewasa, remaja dan cilik lelaki dan perempuan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden, selaku Penasihat Ahli Lembaga Tadbir Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU).

Terdapat sesuatu yang menarik dalam ucapan perasmian beliau. Antaranya kaitan sukan memanah dengan solat.

Bagaimana konsep khusyuk dalam solat bertepatan dengan konsep fokus dalam memanah.

Disiplin dalam solat juga perlu ada pada setiap pemanah bagi memastikan panahan yang dilakukan tepat mengenai sasarannya.

Liga ini diadakan secara bersiri oleh penganjur yang berbeza bermula dengan PETAL 1.0 pada Januari 2018, PETAL 2.0 pada Mei 2018, PETAL 3.0 pada Oktober 2018 dan PETAL 4.0 pada November 2018, sekaligus menjadi siri penutup liga untuk tahun 2018.

PETAL akan menghantar sepuluh orang wakil pemanah dewasa lelaki dan lima wanita untuk berentap di Liga Memanah Tradisional Kebangsaan yang akan diadakan pada 2 Febuari 2019 (Sabtu) bertempat di Krian, Perak Darul Ridzuan.

PETAL 5.0 sedang dirancang dalam masa terdekat bagi kesinambungan Liga Memanah Tradisional Pulau Pinang pada tahun 2019.

Dijangkakan penyertaan akan semakin bertambah dari masa ke semasa, sekaligus dapat mencungkil bakat-bakat pemanah terhandal di negeri Pulau Pinang.

Oleh : Emizarina