Home Berita PAS Perlis

Ijtima’ Tarbawi 6.0: Selamat Datang Kami Ucapkan

2071
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR: Ijtima’ Tarbawi 6.0 Peringkat Kebangsaan (IT 6.0) yang akan berlangsung kurang 24 jam lagi menyaksikan bandar Kangar mulai sesak dengan kehadiran para peserta yang akan bertamu di Ma’had Tahfiz Al Quran Al Imam An Nawawi (MATIN), Kangar, Perlis.

Acara yang berlangsung selama dua hari, bermula 26 Oktober itu bakal menyaksikan kehadiran ribuan anak muda dari seluruh pelosok negara, berkampung untuk menadah ilmu serta mutiara kata daripada para pimpinan PAS.

Antara pimpinan yang dijangka hadir mengisi slot-slot sepanjang dua hari tersebut adalah Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hj. Hashim Jasin, Timbalan Presiden PAS, YB. Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, Ketua Pemuda PAS Malaysia, YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi serta barisan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Membuka tirai Ijtima’ Tarbawi pada 26 Oktober adalah Kuliah Fiqh Muwazanat yang akan disampaikan oleh Ustaz Imran Al-Malizi.

Turut diadakan sepanjang berlangsungnya ijtima’ adalah slot Bicara Murabbi, Pidato Tarbawi, Bicara Tarbiyah 3 Dewan yang menampilkan panelis daripada ketiga-tiga dewan dalam PAS (DUPP, DPPM dan DMPM), Dialog Pemuda Tarbawi dan Wacana Tarbawi.

Kemuncak acara IT 6.0 adalah slot Talaqqi Tafsir Al-Quran pada 27 Oktober 2018 yang akan disampaikan oleh Presiden PAS, YB. Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang.

Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis, Ustaz Muhammad Azmer Azizan ketika ditemui di sini berkata, pihaknya telah bersedia menerima kehadiran para tetamu yang dijangka mula memenuhi bandar ini seawal hari Jumaat.

“Semoga Allah memberikan kemudahan untuk sampai ke bumi Perlis bagi menghadiri Ijtima’ Tarbawi 6.0 Dewan Pemuda PAS Malaysia,” ujarnya.

Ijtima’ Tarbawi kali pertama diadakan pada tahun 2011 di Rusila, Terengganu manakala Perlis menjadi negeri keenam yang menganjurkannya.