DAULAH ISLAMIYAH MELAYUWIYAH
Siri 42
KESULTANAN DEMAK: PERLUASAN EMPAYAR DAN MENANGKIS PENJAJAHAN PORTUGIS
SELEPAS kejatuhan Sriwijaya di Palembang dan Singhasari di Jawa, telah bangkit Majapahit sebagai kuasa politik baru di Nusantara pada 1293M. Majapahit menjadi sebuah empayar yang menguasai hampir seluruh Nusantara termasuk Champa di Indo China, Borneo, kepulauan Visaya, Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan kepulauan Maluku. Menjelang runtuhnya Majapahit pada 1486M, dalam kraton Majapahit juga bangkit kerajaan Demak yang beragama Islam pada 1478M, mewarisi empayar Majapahit yang mulai melemah dan banyak wilayahnya telah melepaskan diri. Sultan-sultan Demak yang memerintah selama 71 tahun (1478-1549M), telah berjaya membina semula empayar Jawa dengan menguasai seluruh pulau itu dan menjadi kuasa politik terbesar di Jawa pasca Majapahit. Demak berjaya mengatasi pengaruh kerajaan Sunda Padjajaran di barat dan Jawa Blambangan di timur, yang kedua-duanya adalah kerajaan Hindu.
Sultan Raden Patah yang memerintah selama empat dekad telah berjaya membina semula kekuatan pewaris keraton Majapahit dengan menguasai bahagian tengah Jawa, sedangkan kawasan barat kekal dikuasai oleh kerajaan Hindu Padjajaran, manakala di sebelah timur pula menjadi wilayah kerajaan Hindu Blambangan. Seperti mana Raden Patah yang berhadapan dengan Portugis pada 1513M di Melaka, Sultan Pati Unus dan Sultan Trenggono juga turut berhadapan dengan Portugis masing-masing di Melaka pada 1521M dan Sunda Kelapa pada 1527M. Dalam mengekalkan pengaruh politiknya di Jawa, Demak terpaksa berhadapan dengan kerajaan Hindu Padjajaran dan Blambangan, selain penjajah Portugis. Proses perluasan wilayah sebenar berlaku pada zaman Sultan Trenggono (1521-1546M) di mana seluruh pulau Jawa telah berjaya dikuasai, tetapi kesyahidan Sultan Trenggono dalam perang menghadapi Blambangan telah menghentikan perluasan pengaruh Islam ke pulau Bali – yang menyebabkan Bali menjadi satu-satu wilayah Hindu di Nusantara hari ini.
Mewarisi Empayar Majapahit
Sebagai mana Majapahit mewarisi kerajaan Hindu Singhasari pada 1292, apabila Raden Wijaya, menantu Kertanagara membangunkan Majapahit selepas diserang Jayakatwang dari Kediri. Keraton Majapahit kemudiannya diwarisi pula oleh kerajaan Islam Demak pada 1478M. Pada akhir kepemimpinan Kertanagara dalam kerajaan Singhasari, baginda telah menyatukan agama Hindu Siva dengan Buddha Tantrayana, sehingga kedua-dua agama berpengaruh dalam kerajaan Mahapahit yang beragama Hindu. Pada zaman Tribuana Wijaya Tunggadewi (1328-1350M) dan Hayam Wuruk (1350-1389M), pengaruh Islam sudah pun wujud di dalam kerajaan Majapahit, sedang pada zaman Prabu Brawijaya V (1474-1486M), Islam telahpun mendapat kedudukan politik dalam kerajaan Majapahit ekoran keterbukaan rajanya. Beberapa isteri raja adalah puteri beragama Islam, sedang para putera baginda juga telah ramai memeluk Islam sehingga sebahagian adipati (gabenor) Majapahit terdiri daripada pembesar Islam, sama ada putera istana atau pembesar biasa. Salah satu faktor yang memberi kedudukan kepada Islam ialah hubungan Majapahit dengan Dinasti Ming di China, di mana Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam telah beberapa kali mengunjungi Jawa antara1404-1433M sehingga wujudnya komuniti Cina Muslim di Jawa.
Ketika Islam mulai pesat dalam kerajaan Majapahit, tercetus Perang Paregreg (1404-1406M), perang saudara yang telah menjejaskan pengaruh Majapahit ke atas wilayah-wilayahnya. Sesudah itu, saat wilayah Majapahit telah merosot kecuali di Jawa dan Palembang, putera-putera Prabu Brawijaya V seperti Arya Damar (Jaka Dillah) dan Jimbun (Raden Patah) telah memeluk Islam. Kedudukan mereka sebagai Adipati Palembang dan Adipati Demak Bintoro telah membolehkan mereka muncul sebagai pewaris Majapahit ketika berlakunya serangan Girindra Wardhana ke atas Majapahit pada 1486M. Sewajarnya, pewarisan ini bukan hanya terhadap takhta Majapahit sahaja, tetapi juga seluruh wilayah Majapahit yang masih ada ketika itu. Malangnya, Raden Patah yang berkuasa di Demak Bintoro hanya menguasai Majapahit Barat, sedangkan Majapahit Timur yang berpusat di Daha Kediri kekal dikuasai oleh kerajaan Hindu yang dipimpin oleh Prabu Udhara sehingga 1527M. Bagi mengembalikan kekuasaan warisan Majapahit ini, Demak telah melakukan perluasan wilayah sehingga seluruh Jawa dapat dikuasai.
Empayar Demak: Penguasaan Seluruh Pulau Jawa
Selain menjadi ulamak dan pemimpin agama, raja-raja Demak terkenal kerana kepahlawanan dan kesatrian mereka. Tome Pires yang mencatatkan tentang Pate Rodim (Raden Patah) menyifatkan pengasas Demak itu sebagai seorang cavaleiro (pahlawan). Pada peringkat awal, Raden Patah telah berjaya menguasai beberapa wilayah seperti Jepara, Rembang, Kudus, Tingkir, Jipang, Semarang, Pajang dan Juwana. Bandar Tutang menjadi pelabuhan utamanya, selain Niag di Bonang dan Militer di Jepara, sedangkan pemerintahan berpusat di Glagahwangi, sebelum ia dipindahkan ke Gunung Prawoto oleh Sunan Prawoto (Raden Mukmin) pada 1546M. Pada zaman Sultan Pati Unus tidak banyak perluasan kawasan yang berlaku kerana tumpuan diberikan untuk menghalau Portugis selepas kejatuhan kerajaan Samudera-Pasai pada 1521M, setelah baginda gagal mengalahkan Majapahit di Daha pada 1517M.
Perluasan wilayah yang lebih besar berlaku pada zaman Sultan Trenggono dengan Sunan Fatahillah sebagai panglimanya. Pada tahap pertama (1421-1429M), tumpuan diberikan untuk membebaskan Ceribon (1526M), Banten (1526M) dan Sunda Kelapa (1527M) dari pengaruh Padjajaran, termasuk menghalau Portugis di Sunda Kelapa pada 1527M. Pakuan (Bogor) yang menjadi ibukota Padjajaran telah jatuh ke tangan Demak pada 1529M. Sebelum itu, pada 1527M, Demak telah berhasil menghancurkan Majapahit di Daha, diikuti oleh penaklukan ke atas Wirasari (1528M), Tuban (1528M), Gagelang (Mediun) (1529M), Medangkungan (Blora) (1530M), Surabaya (1531M) dan Pasuruan (1535M). Kemudian penaklukan terus berlaku di Lamongan, Blitar dan Wirasaba (1541-1542M), Penanggungan (1543M) dan Sengguruh (Malang) (1545M). Dalam bulan Februari 1546M, Sultan Trenggono dan Sunan Fatahillah telah mengepung Pasuruan dalam rangka menghancurkan kerajaan Hindu Blambangan yang berakhir dengan kesyahidan Sultan Trenggono. Sejak itu, timbul krisis dalam kerajaan Demak dan penaklukan telah terhenti.
Demak Membendung Pengaruh Portugis
Ketika Demak sedang bangkit membangunkan pengaruh Islam di Jawa, Nusantara telah diancam oleh perluasan pengaruh Portugis yang telah menguasai Goa (1510M) dan Melaka (1511M). Pada 1512M, Portugis mula membuka pengkalannya di Ambon untuk menguasai pedagangan rempah. Kedatangan Portugis bukan sahaja mengancam penguasaan Islam ke atas laluan pedagangan timur-barat di Nusantara, tetapi telah memberi kesan besar terhadap perkembangan dakwah. Raden Patah selaku penguasa Demak yang menyedari peranan besar Melaka terhadap dakwah, termasuk pembentukan Majlis Dakwah Wali Songo semenjak 1404M, telah mengaturkan satu ekspedisi ketenteraan pada 1513M untuk menghalau Portugis. Serangan ini diketuai oleh menantu baginda, Adipati Yunus dan putera baginda, Raden Surya. Sebanyak 100 kapal dan 5,000 tentera menyertai armada ini, tetapi tidak dapat mengalahkan Melaka, bahkan Raden Surya telah syahid dalam ekspedisi ini. Setelah gagal membebaskan Melaka, kerajaan Demak memberi tumpuan untuk membebaskan Jawa dari pengaruh Hindu sehingga kewafatan Raden Patah pada 1518M.
Sultan Pati Unus yang menggantikan Raden Patah telah melihat Poetugis sebagai ancaman setelah kerajaan Samudera-Pasai tumbang diserang kuasa barat itu pada 1521M. Dalam masa yang sama, pelayar Portugis, Ferdinand Magellan telah tiba di pulau Cebu untuk menakluk kepulauan Visaya yang merupakan wilayah Brunei dan Sulu. Ekoran itu, dalam tahun 1521M itu juga, Sultan Pati Unus telah menyiapkan 375 kapal dengan dukungan Sunan Gunung Jati dan Sunan Fatahillah. Walau bagaimanapun, Sultan Pati Unus telah syahid bersama putera sulungnya, kemudian Raden Hidayat dan Sunan Fatahillah (Fatalehen) telah mengambil alih kepemimpinan armada tersebut, dan berundur balik ke Demak. Selepas gagal mengalahkan Portugis kali kedua, penjajah barat itu telah bersekongkol dengan kerajaan Hindu Padjajaran untuk membuka loji di pelabuhan Sunda Kelapa pada 1522M, selain turut meluaskan pengaruh mereka di Ternate. Membendung perluasan pengaruh Portugis ini, Sultan Trenggono telah menyusun ketumbukan tentera diketuai Sunan Fatahillah untuk menyerang Ceribon dan Banten pada 1526M, sebelum menguasai Sunda Kelapa pada 22 Jun 1527M. Dalam serangan ini, bukan sahaja Portugis berjaya dihalau, tetapi Sunda Kelapa yang dikuasai oleh Padjajaran turut jatuh ke tangan Demak. Sunda Kelapa kemudiannya dinamakan sebagai Jayakarta (Jakarta) mulai tarikh tersebut dengan Sunan Fatahillah sebagai adipatinya.
MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
13 Zulqaedah 1439 / 27 Julai 2018