Oleh : Nur ‘Iffah
Hari pahlawan merupakan satu hari yang cukup bermakna untuk kita mengimbas semula jasa serta pengorbanan setiap perajurit tanah air yang gugur demi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara tercinta.
Pengorbanan yang telah mereka curahkan amat besar maknanya, tanpanya, kemakmuran serta kemajuan yang ada pada hari ini tidak mungkin kita kecapi.
Namun demikian, dewasa ini, pengorbanan mereka seakan dilupakan oleh generasi masa kini yang leka menikmati kedamaian dan kebebasan yang ada kerana barangkali mereka tidak pernah mengerti jerih payahnya perjuangan para perajurit negara.
Ironinya, saban tahun hanya pasukan keselamatan serta barisan veteran anggota keselamatan sahaja tempak bersungguh-sungguh menjayakan sambutan Hari Pahlawan manakala generasi muda seolah-olah langsung tidak mempedulikannya.
Sewajarnya, seluruh lapisan masyarakat perlu menghayati dan mengulangkaji semula sejarah kemerdekaan negara serta menginsafi pengorbanan para perajurit yang terpaksa berhadapan dengan kekejaman pihak penjajah.
Justeru, Hari Pahlawan wajar dijadikan sebagai acara tahunan yang disambut secara besar-besaran di seluruh negara, untuk meniup semula semangat patriotik serta roh perjuangan dalam kalangan rakyat serta bagi menghargai jasa para pahlawan negara.
Kemerdekaan yang telah kita kecapi hampir 60 tahun ini perlu disyukuri dan dipertahankan agar ianya dapat diwarisi generasi yang mendatang.
Hukama pernah menyebut, “Orang yang tidak tahu tentang sejarah, dia akan mengulanginya.”