Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi menetapkan tarikh 5 September ini bagi mendengar bantahan awal Adun Tahan, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin terhadap petisyen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang difailkan oleh calon BN yang juga bekas Adun Tahan, Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak bagi kerusi berkenaan.
Peguam pihak Zakhwan, Mohd Harris Abdullah berkata, pada pengurusan kes dalam kamar hakim tadi, hakim menetapkan untuk difailkan satu notis usul bantahan yang akan didengar pada 5 September di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Pada hari tersebut akan ditetapkan pengurusan kes. Andai kata permohonan pihak kami berjaya, habislah kes itu, tetapi andai kata bantahan kami ditolak maka pihak mahkamah cadangkan tarikh bicara antara 8 hingga 25 Oktober depan.
“Di hadapan hakim tadi saya beritahu pihak kami mempunyai 11 alasan kenapa petisyen yang dibuat adalah cacat. Lalu mahkamah beritahu kita boleh failkan bantahan petisyen. Dalam masa seminggu. Lepas dapat nanti pihak pempetisyen boleh jawap dalam tempoh dua minggu,” ujarnya.
Wan Amizan yang diwakili peguam Datuk Ng See Teong dan Ravi Neekoo memfailkan petisyen itu pada 18 Jun lalu bagi memohon mahkamah mengarahkan jumlah undi rosak dikira semula.
Pada PRU lepas Zakhwan memenangi Dun Tahan dengan majoriti 69 undi. Zakhwan memperolehi 5,638 sementara Wan Amizan mendapat 5,569 manakala undi rosak 255.
Zakhwan dinamakan sebagai defendan pertama dan SPR defendan kedua.
Selain Harris, Zakhwan diwakili peguam-peguam, Kamaruzaman A. Wahab, Saifudin Osman dan Azahari Saleh.
Manakala SPR diwakili Satiya Kumar Dass.
Turut mengiringi Zakhwan ialah Adun Jengka Ustaz Shahril Azman Abdul Halim, Pengerusi Generasi Ustaz Roslan Md Esa, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pahang Hasenan Haron serta para penyokong.