Home Berita PAS Wilayah

Sambutan Hari Raya PAS Titiwangsa Meriah

624
SHARE

Titiwangsa, 1 Julai 2018 – Sambutan Hari Raya Aidilfitri PAS Kawasan Titiwangsa telah diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Paya, Kg Baru. Program yang merupakan aktiviti pertama bersama penduduk Titiwangsa pasca PRU 14 ini telah dihadiri oleh ramai tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat. Kali ini Zon Kag Baru menjadi tuan rumah majlis yang bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.

Yang Di-Pertua PAS kawasan Titiwangsa, Haji Anuar Abdul Manap ketika berucap mangalu-alukan kehadiran semua hadirin ke majlis ini. “Sempena bulan Syawal yang penuh berkat ini, marilah kita bermaafan dan berdoa semoga amalan kita diterima sepanjang bulan Ramadhan yang lalu dan seterusnya menjadi insan yang lebih baik,” ucap beliau.

Majlis yang masih meneruskan tradisi gerai menu hari raya mengikut cawangan itu turut dihadiri oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Iskandar Abdul Samad. Beliau mengingatkan hadirin untuk terus memantau prestasi kerajaan baru Malaysia yang hakikatnya agak goyah dari segi sokongan orang Melayu Islam. Pengundi akan beralih arah jika mereka merasakan kebajikan mereka tidak dijaga atau rasa tertipu dengan janji dan manifesto yang tidak ditunaikan.

Sebelah petang pula pengunjung dapat beramah mesra dengan mantan calon PAS Parlimen Titiwangsa PRU14 Haji Mohamad Nor Mohamad. “Walaupun dalam kekangan kesihatan, saya gagahkan diri untuk hadir ke majlis ini bila mengenangkan bantuan jentera dan sokongan pengundi kepada saya. Saya ingin berterima kasih kepada semua atas pengorbanan kalian”, katanya dengan penuh perasaan di hadapan pengunjung yang hadir.

Majlis diserikan dengan persembahan lagu raya dan kemerdekaan oleh Saudara Man John. Anak-anak Tahfiz al Ummah turut menyampaikan persembahan nasyid dan selawat kepada Nabi Muhammad. Pimpinan Kawasan mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.