Home Minda Presiden

Akibat Tidak Istiqamah

3506
SHARE

Minda Presiden PAS
AKIBAT TIDAK ISTIQAMAH

Firman Allah:

﴿وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ  وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ  ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ١٥٣﴾ [الأنعام: 153]

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanku (Islam) yang betul lurus (istiqamah), maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya kamu bertaqwa.” (Surah Al-An’am: 153)

Inilah hikmah atau tujuan petunjuk Allah (istiqamah) yang dipohon pada setiap rakaat solat ketika mengadap Allah setiap waktu yang diwajibkan atau solat sunat, termasuk solat jenazah yang tidak ada rukun-rukun yang lain, namun Al-Fatihah memohon istiqamah tetap diwajibkan.

Rasulullah S.A.W menyebut ayat tersebut di atas kepada para sahabatnya R.A sambil menggaris di atas tanah garisan yang betul lurus dan panjang dengan jarinya yang mulia. Kemudian digariskan cabangnya yang banyak di sebelah kiri dan kanan. Baginda S.A.W menegaskan garis yang satu sahaja (Islam) wajib diikut. Adapun yang lain, di kiri dan kanan adalah jalan yang digoda oleh syaitan.

Lalu ditegaskan pula bahawa Al-Quran adalah petunjuknya dan Rasulullah S.A.W yang bersabda dan beramal adalah penjelasannya dalam semua perkara yang dinamakan agama atau urusan dunia yang tidak terpisah daripada Islam yang sempurna merangkumi seluruh kehidupan manusia dalam hubungannya dengan Allah, dirinya dan manusia yang lain sehinggalah alam sekelilingnya yang nyata sehingga alam ghaib, daripada bumi sehingga angkasa lepas, daripada dunia sehingga akhirat.

Rasulullah S.A.W menunjukkan cara beribadat sehinggalah cara berpolitik memerintah negara masyarakat majmuk. Dijelaskan dengan nyata wajib berwala’ (berketuakan atau kepimpinan dan pengurusannya) kepada orang-orang yang beriman. Diharamkan berwala’ kepada bukan Islam menjadi sempadan berpolitik. Hanya dibenarkan bermasyarakat madani (bertaaruf), bertahaluf, berdamai dan bertaawun sahaja. Firman Allah menegaskan:

﴿لَّا يَتَّخِذِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۖ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ فَلَيۡسَ مِنَ ٱللَّهِ فِي شَيۡءٍ إِلَّآ أَن تَتَّقُواْ مِنۡهُمۡ تُقَىٰةٗۗ وَيُحَذِّرُكُمُ ٱللَّهُ نَفۡسَهُۥۗ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلۡمَصِيرُ٢٨﴾

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi wali (pemimpin) dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia daripada Allah (mendapat petunjuk dan perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya (keadaan darurat) yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.” (Surah Ali-Imran: 28)

Maka termasuk dalam prinsip dan dasar keimanan yang menjadi aqidah tetap, jelas dan nyata tidak harus berbeza pendapat. Hanya perkara furu’ atau cabang boleh berkhilaf atau berbeza pendapat kerana berbeza sebab, realiti dan situasi yang melahirkan mazhab yang diizinkan oleh syara’, bahkan semuanya diberi pahala berijtihad dengan syarat- syarat dan sifat keahlian ilmu dan akhlaknya, kerana sabda Rasulullah S.A.W:

إذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ، وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ. (مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ)

“Apabila seseorang yang mencari hukum secara ijtihad (dalam perkara yang tidak ada nas yang nyata) kemudian dia betul, nescaya diberi dua pahala. Dan apabila dia berjtihad, kemudian dia salah necaya diberi kepadanya satu pahala” (Muttafaqun ‘alaih)

Orang-orang yang telah pun beriman kepada Kitab Allah (Al-Quran) pula ada berbagai-bagai peringkat dan kemampuan melaksanakannya. Ada yang rajin, ada yang malas dan ada yang tenggelam ke dalam maksiat, namun tetap beriman kepadanya. Allah berfirman:

﴿وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ هُوَ الْحَقُّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ  إِنَّ اللَّهَ بِعِبَادِهِ لَخَبِيرٌ بَصِيرٌ٣١ ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا  فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ  ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ٣٢﴾ [فاطر: 31-32]

“Dan Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap mengesahkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hamba-Nya, lagi Maha Melihat dan Memerhatikan. (31) Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba kami; maka di antara mereka, ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (32)” (Surah Fatir: 31-32)

Adapun mereka yang menolak Al-Quran, membatalkan iman dan Islamnya, atau membatalkan Dua Syahadahnya yang telah diikrarkan atau melanggar baiahnya, Firman Allah telah menyatakan akibat menimpa mereka di Hari Akhirat apabila Al-Quran tidak dijadikan petunjuk dengan sengaja, bukannya jahil atau hilang akalnya sama ada pemimpin atau pengikut:

﴿وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَنْ نُؤْمِنَ بِهَذَا الْقُرْآنِ وَلَا بِالَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ  وَلَوْ تَرَى إِذِ الظَّالِمُونَ مَوْقُوفُونَ عِنْدَ رَبِّهِمْ يَرْجِعُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ الْقَوْلَ يَقُولُ الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا لَوْلَا أَنْتُمْ لَكُنَّا مُؤْمِنِينَ٣١ قَالَ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا لِلَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا أَنَحْنُ صَدَدْنَاكُمْ عَنِ الْهُدَى بَعْدَ إِذْ جَاءَكُمْ  بَلْ كُنْتُمْ مُجْرِمِينَ٣٢ وَقَالَ الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا بَلْ مَكْرُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ إِذْ تَأْمُرُونَنَا أَنْ نَكْفُرَ بِاللَّهِ وَنَجْعَلَ لَهُ أَنْدَادًا  وَأَسَرُّوا النَّدَامَةَ لَمَّا رَأَوُا الْعَذَابَ وَجَعَلْنَا الْأَغْلَالَ فِي أَعْنَاقِ الَّذِينَ كَفَرُوا  هَلْ يُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ٣٣﴾ [سبأ: 31-33]

“Dan orang-orang yang ingkar (menolak Al-Quran) berkata: Kami tidak akan beriman sama sekali kepada Al-Quran ini dan tidak juga kepada Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya”. Dan (sungguh ngeri) kalau engkau melihat ketika orang-orang yang zalim (menjadi pemimpin) itu dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka (untuk dihisab), masing-masing tuduh menuduh antara satu dengan yang lain. Orang-orang yang lemah atau jahil (menjadi pengikut) berkata kepada orang-orang yang sombong takabbur (yang menjadi ketuanya): “Kalaulah tidak kerana kamu (memperdayakan kami), tentulah kami sudah menjadi orang yang beriman”. (31) Orang-orang yang sombong takabbur itu (para pemimpin) menjawab kepada orang-orang yang lemah atau bodoh (menjadi pengikut):” Kamikah yang telah menghalang kamu daripada menerima hidayah petunjuk sesudah ia datang kepada kamu? (bukan kami yang menghalang) bahkan kamulah yang menyebabkan diri sendiri menjadi orang-orang yang berdosa”. (32) Dan berkata pula orang-orang yang lemah atau bodoh (menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong takabbur (menjadi pemimpin) itu: “Tidak! bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu baginya. Akhirnya masing-masing diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang kafir itu. mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan. (33)” (Saba’; 31-33)

Maksudnya ingkar terhadap perkara dasar, syarat dan rukun di luar daripada urusan ijtihad mazhab di dalam Islam, seperti mereka menganut ideologi atau teori yang dicipta di luar daripada prinsip dan hukum yang nyata di dalam Islam yang menyeluruh, walaupun diletakkan jenama Islam dan istilahnya dengan tujuan menipu atau cara yang sesat, kerana mencari jalan pintas untuk kemenangan dunia tanpa peduli terhadap wawasan akhirat.

Perkara yang ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W apabila ditawarkan kepadanya kuasa tanpa mendaulatkan Islam. Sabda Baginda S.A.W kepada Abu Talib, bapa saudaranya:

يا عم لو وضعت الشمس في يميني والقمر في يساري ما تركت الأمر حتى يظهره الله أو أهلك في طلبه. سيرة ابن اسحاق = السير والمغازي (ص:  154(

“Wahai bapa saudara kesayanganku! Kalaulah diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, nesacaya aku tidak akan meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam), sehinggalah Allah memenangkannya atau aku mati dalam menuntut kemenangannya (yang belum dicapai)”

Begitulah juga perintah Allah supaya terus beristiqamah bersama Islam apabila dicabar oleh musuhnya dengan bersyarat kemewahan dunia atau menunjukkan perkara luar biasa atau bala mendatang supaya mereka menerima tawaran Islam:

﴿وَقَالُوا لَنْ نُؤْمِنَ لَكَ حَتَّى تَفْجُرَ لَنَا مِنَ الْأَرْضِ يَنْبُوعًا٩٠ أَوْ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٌ مِنْ نَخِيلٍ وَعِنَبٍ فَتُفَجِّرَ الْأَنْهَارَ خِلَالَهَا تَفْجِيرًا٩١ أَوْ تُسْقِطَ السَّمَاءَ كَمَا زَعَمْتَ عَلَيْنَا كِسَفًا أَوْ تَأْتِيَ بِاللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ قَبِيلًا٩٢ أَوْ يَكُونَ لَكَ بَيْتٌ مِنْ زُخْرُفٍ أَوْ تَرْقَى فِي السَّمَاءِ وَلَنْ نُؤْمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّى تُنَزِّلَ عَلَيْنَا كِتَابًا نَقْرَؤُهُ  قُلْ سُبْحَانَ رَبِّي هَلْ كُنْتُ إِلَّا بَشَرًا رَسُولًا٩٣﴾ [الإسراء: 90-93]

 “Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (Wahai Muhammad), sehingga Engkau memancarkan mata air dari bumi bagi kami. (90) Atau (sehingga) Engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian Engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. (91) Atau (sehingga) Engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana Yang Engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) Engkau bawakan Allah dan malaikat untuk Kami menyaksikannya. (92) Atau (sehingga) Engkau mempunyai sebuah rumah yang indah terhias; atau (sehingga) Engkau naik ke langit; dan Kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum Engkau turunkan kepada Kami sebuah Kitab Yang dapat Kami membacanya”. Katakanlah (Wahai Muhammad):” Maha Suci Tuhanku! Bukankah Aku ini hanya seorang manusia Yang menjadi Rasul? (93)” (Surah Isra’: 90-93)

 

Maka termasuk tidak beristiqamah juga, sehingga berjanji apa sahaja demi kemenangan semata-mata, walaupun berbohong dengan janji yang tidak mungkin ditunaikan dalam sekelip mata.

Amaran lebih keras terhadap berwala’ kepada musuh Islam demi mencapai cita-cita kemenangan sehingga disenaraikan dengan sifat munafik. Firman Allah:

﴿بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا١٣٨ الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ  أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا١٣٩﴾ [النساء: 138-139]

“Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: Bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (138) (mereka itu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi wali (pemimpin atau teman rapat) dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya). (139)” (Surah An-Nisa’: 138-139)

Sejarah hilangnya kuasa Islam di Andalusia dan kejatuhan Negara Arab, Nusantara dan lain lain oleh penjajah cukup menjadi iktibar supaya tidak berulang lagi kerana sabda Rasulullah S.A.W:

لا يلدغ مؤمن من جحر واحد مرتين (البخاري ومسلم وغيرهما)

“Tidak seharusnya seseorang yang beriman itu disengat daripada satu lubang sebanyak dua kali”

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 13 Syawal 1439 / 27 Jun 2018