Home Berita PAS Pusat

Kedatangan Islam: Beberapa Teori Tentangnya

2877
SHARE

DAULAH ISLAMIYAH MELAYUWIYAH
Siri 5

KEDATANGAN ISLAM: BEBERAPA TEORI TENTANGNYA


PERSOALAN tentang dari mana Nusantara menerima Islam masih menjadi perbahasan para sarjana sehingga hari ini. Belum ada suatu yang pasti apakah Islam yang dibawa ke Nusantara berasal dari Arab, Parsi, India atau China. Data-data kemasukan Islam seperti catatan China, batu-batu nisan, artifak seperti batu bersurat, catan pengembara seperti Marco Polo dan Ibnu Batutah, hikayat dan kronik Melayu, selain amalan Islam yang dipraktiskan di Nusantara, semuanya menjadi sandaran dalam perbincangan ini. Maka dalam konteks ini, apakah yang berbangkit itu tentang siapakah yang pertama membawa Islam ke Nusantara atau dari manakah asalnya Islam yang masuk ke Nusantara atau di manakah penempatan Islam terawal di Nusantara atau mazhab apakah yang pertama dianut oleh orang Melayu?

Beberapa persoalan penting yang ditimbulkan oleh para sarjana tentang asal kedatangan Islam di Nusantara, antaranya:

I. Mazhab Islam di Nusantara. Nusantara adalah rantau bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dari segi aqidah dan bermazhab Syafie dari segi fikah;

II. Semua hikayat dan kronik di Alam Melayu mengaitkan peng-Islam raja-raja Melayu dengan peranan ulamak dari Arab, khususnya yang berketurunan syed;

III. Catatan-catatan China yang awal seperti Dinasti Tang (618-907M) yang bertarikh 674M dengan jelas menyatakan hubungan orang Melayu dengan Khalifah Daulah Umayyah (661-750M);

IV. Orang Arab dikatakan menyebarkan Islam kepada orang India di Gujerat, kemudian orang India yang berdagang ke Alam Melayu telah berdakwah;

V. Kewujudan beberapa aspek kebudayaan seperti pakaian, muzik, syair, ukiran pada batu nisan dan seumpamanya yang dianggap dipengaruhi oleh elemen yang membawa masuk Islam ke Nusantara;

VI. Penemuan batu-batu nisan bertulisan Arab sepanjang pantai Nusantara yang mengadap Laut China menunjukkan Islam datang dari timur; dan

VII. Krisis politik dan pembunuhan orang Arab di China pada zaman Hwang Choa (878-879M) di Kanfu dan pemberontakan Tien Sheng Kong di Yang Chow pada akhir zaman Dinasti Tang (618-905M), yang menyebabkan penghijrahan orang Islam ke Nusantara.

Islam Dari Barat atau Timur?

Secara umum, teori kedatangan Islam ke Alam Melayu boleh dibahagikan kepada lima pandangan, iaitu:

i. Teori India / Gujerat
Teori ini dipegang oleh Prof Snouck Hurgronje yang menolak kemasukan Islam langsung dari Arab, sebaliknya mengatakan pendakwah Arab menyebarkan Islam di Gujerat, India. Melalui ajaran tasawuf, Islam di bawa ke Samudera-Pasai dari India. Teori ini awalnya dikemukakan oleh Pijnappel, dan disokong oleh B Harrison, J Gonda, G.E Marrison, Kenneth Hall, A.H Hill, G.P Moquette, R.A Karn dan W.F Stutterheim.

ii. Teori Arab / Mekah dan Hadramaut
Prof Hamka kuat berpegang bahawa Islam dibawa dan disebar oleh orang Arab terutama keturunan syed. Catatan China membuktikan orang Arab yang membawa Islam ke Nusantara. Pendapat Hamka adalah sejalan dengan John Crowford, Thomas Arnold, Syed Naquib al-Attas dan C.R Tibbets.

iii. Teori Parsi
Prof Abu Bakar Atjeh mengatakan Islam bukan sahaja masuk dari Parsi, bahkan pada peringkat awal orang Melayu bermazhab Syiah. Penyokong pendapat ini ialah Hussein Djajadiningrat.

vi. Teori China
Prof Slamet Muljana mempunyai pandangan menarik bahawa raja Melayu seperti Sultan Demak dan Wali Songo adalah berketurunan Cina berdasarkan Kronik Klenteng Sam Po Kong. Terdapat banyak pandangan berdasarkan tempat batu-batu nisan ditemui, bahawa orang Arab dan Parsi yang tinggal di China telah berhijrah di Nusantara sejak kacau-bilau di Kanfu (Guangzhou) pada 878M. Teori ini turut didukung oleh Emmanuel Gadinho Eredia, O.W Wolters, Ibrahim T.Y Ma dan S.Q Fatimi.

v. Teori Maritim
N.A Baloch, seorang sejarawan Pakistan mengatakan kerana umat Islam mempunyai ramai pelayar yang menjadi pendakwah dan guru agama, sedangkan Alam Melayu adalah pusat pedagangan maritim yang terkenal, maka Islam tersebar melalui kegiatan maritim.

Apakah Orang Arab Yang Menyebarkan Islam?

Teori penyebaran Islam oleh orang Arab yang dipegang oleh Prof Hamka mempunyai kekuatan hujah kerana berdasarkan catatan China telah merekodkan hubungan antara Alam Melayu dengan Arab. Bahkan, terdapat dokumen-dokumen berkait surat-surat diplomatik antara Khalifah Daulah Umayyah dengan Empayar Sriwijaya, yang jelas menunjukkan proses dakwah telah bermula sejak abad ketujuh. Ini dikuatkan lagi dengan gerakan dakwah orang Arab yang sangat agresif ke seluruh dunia termasuk Afrika, Eropah (Andalus), Transoxiana, India dan China pada abad ketujuh, sehingga hampir mustahil Nusantara yang sudah lama mempunyai hubungan perdagangan dengan Arab terlepas dari gerakan dakwah ini.

Para pendakwah Arab, dimulai oleh Sahabat Nabi SAW, Saad Abi Waqqas telah bergerak ke China melalui jalan laut dan melewati Nusantara. Selain khalifah, pemerintah Islam di Mekah dan Hadramaut juga dikatakan telah mengirimkan para pendakwah ke Nusantara. Teori India (Gujerat) dan China walaupun tidak tertolak sepenuhnya, tetapi adalah lemah kerana kedua-dua wilayah itu bermazhab Hanafi, sedangkan orang Melayu bermazhab Syafie. Teori Parsi tentang sistem bacaan al-Quran cara Syiah di Jawa Barat adalah juga tidak kuat kerana ketika itu, Baghdad adalah bermazhab Sunni dan orang Syiah tidak menganut tasawuf Qadiriyah yang diamalkan di Jawa Barat.

Pandangan Yang Lebih Kukuh Berdasarkan Catatan Melayu

Hikayat dan kronik-kronik Melayu yang mencatatkan tentang kemasukan Islam dan peng-Islaman raja-raja Melayu menyatakan orang Melayu menerima Islam dari Arab, di mana terdapat sheikh, maulana, sayyid atau wali Allah dari Arab telah meng-Islamkan raja-raja Melayu. Misalnya, Syarif Mekah dikatakan telah mengirimkan Sheikh Ismail dari Mekah ke Samudera Pasai untuk menyebarkan Islam, sebelum beliau mempengaruhi raja Malabar, Sultan Muhammad (seorang Arab keturunan Saidina Abu Bakar as-Siddiq) untuk berdakwah di Nusantara yang kemudiannya bergelar Fakir Muhammad. Hal yang sama juga dialami oleh Parameswara yang didatangi oleh Syed Abdul Aziz dari Jeddah ketika proses peng-Islaman Melaka.

Pengembangan Islam di Aceh, Kedah, Tidore, Bachan, Ternate, Jailolo, Sukadana (Kalimantan), Kelantan, Champa, Pattani, Jawa, Brunei, Mindanao, Sulu dan lain-lain semua dicatatkan dalam kronik-kronik Melayu sebagai hasil usaha para ulamak dari Arab dalam menyebarkan Islam dalam kerajaan-kerajaan di Nusantara. Contoh yang paling menonjol ialah gerakan Wali Songo di Jawa dan Champa, di mana tokoh terbesar dan pengasas Wali Songo iaitu Maulana Malik Ibrahim adalah seorang Arab yang berketurunan Nabi SAW, sedangkan kebanyakan Wali Songo adalah keturunan beliau. Begitu juga ketika pondok terawal, Dayat Cot Kala didirikan di Aceh pada 888M, para ulamak dari Arab dijemput mengajar di sini. Kerana menghargai sumbangan orang Arab dalam dakwah di Nusantara, terdapat keturunan syed menjadi raja di Aceh, Brunei, Mindanao, Siak Inderapura, Pontianak dan Perlis. Peranan para ulamak dan pendakwah Arab yang digelar sheikh, maulana, sayyid dan wali Allah dalam menyebarkan Islam di Nusantara tidak dapat ditolak kerana dalam pemikiran orang Melayu sendiri mengatakan bahawa mereka menerima Islam dari Arab.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
6 Syawal 1439 / 20 Jun 2018