Home Berita PAS Pusat

Kemasukan Terawal Islam Di Nusantara

1469
SHARE


DAULAH ISLAMIYAH MELAYUWIYAH

Siri 4

KEMASUKAN TERAWAL ISLAM DI NUSANTARA


KEBANGKITAN Islam selepas hijrahnya Nabi SAW ke Madinah pada 622M telah mempercepatkan proses pengembangan Islam di seluruh dunia. Kejayaan Fathu Mekah (8H) dan kekalahan Rom dalam Perang Tabuk (9H) telah menyebabkan bangsa Arab berbondong-bondong memeluk Islam. Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab (634-644M), Islam telah berkembang keluar dari Tanah Arab sehingga Rom Timur dan Parsi dapat ditundukkan. Akhirnya, pada zaman Khafilah Othman bin Affan (644-656M), Islam mula bertebar luas. Di sebelah barat, Islam telah sampai ke Qairuwan (Tunisia), manakala di sebelah timur, ia sudah memasuki Transoxiana (Asia Tengah). Yang menarik, pada zaman inilah dikirimkan para pendakwah ke sebelah timur Asia untuk mengembangkan Islam. Sahabat yang terkenal, Saad Abi Waqqas telah tiba di Kanfu (Guangzhou), China dan ada pendakwah yang sudah menjejaki Nusantara pada zaman khalifah ketiga ini.

Komentar Prof Hamka tentang Surah al-Insan (76: 5) berkait perkataan “kaafura” telah menunjukkan bahawa Alam Melayu telah lama mempunyai hubungan perdagangan dengan orang Arab. Bahkan, orang Arab Mekah juga berperanan membawa barang dagangan dari Nusantara ke Barat (lihat al-Quran, 106: 1-4). Kedudukan Nusantara yang berada pada laluan utama perdagangan timur-barat, telah menjadikan kepulauan ini sebagai daerah yang paling senang dimasuki oleh pendakwah Islam. Atas faktor hubungan awal yang telah terbina antara orang Melayu dan Arab, ketika Islam mula dikembangkan keluar dari Asia Barat, rantau Nusantara menjadi sasaran terawal, selain China. Ketika munculnya daulah Islam yang besar seperti Daulah Umayyah, di Nusantara wujud Empayar Sriwijaya yang beragama Buddha, dan dikatakan hubungan diplomatik antara kedua-dua kerajaan sudah wujud pada zaman Khalifah Sulaiman Abdul Malik (715-717M).

Ketibaan Terawal Islam

Adalah dicatatkan bahawa ketika Rasulullah SAW mula mengirimkan utusan kepada kerajaan-kerajaan untuk mengajak kepada Islam, pada 628M, Baginda SAW telah mengirimkan Sheikh Rukunuddin ke Sumatera. Diriwayatkan, bahawa terdapat satu hadis tentang Nusantara (belum pasti kesahihannya), seperti berikut:

“…Pada zaman Nabi Muhammad SAW, tatkala lagi hajat hadhrat yang maha mulia itu, maka sabda Dia pada sahabat Baginda di Mekah, demikian sabda Baginda Nabi: Bahwa sepeninggalku ada sebuah negeri di atas angin, Samudera namanya. Apabila ada didengar khabar negeri itu maka kami suruh engkau (menyediakan) sebuah kapal membawa perkakas dan kamu bawa orang dalam negeri (itu) masuk Islam serta mengucapkan dua kalimah syahadat. Syahdan, (lagi) akan dijadikan Allah SWT dalam negeri itu terbanyak daripada segala Wali Allah jadi dalam negeri itu…”

Dalam catatan Sheikh ar-Rabwah, disebutkan pada zaman Khalifah Othman Affan, bahawa satu rombongan pedagang dan pendakwah Islam telah tiba di barat Sumatera pada tahun 31H (651M). Mereka dikatakan membina perkampungan Arab Islam di pesisir pantai barat Sumatera yang dikenali sebagai “Ta Shih” dalam catatan China Dinasti Tang yang bertarikh 674M. Sebagai perbandingan, catatan pada batu nisan Sheikh Mukaiddin di Barus, Tapanuli, Sumatera adalah bertarikh 670M. Dipercayai, pantai barat Sumatera yang disebutkan itu ialah di Barus, pusat pengeluar wangian kapur yang terkenal itu. Dalam catatan Arab pula telah menyebutkan ketika ini telah muncul kerajaan Melayu yang dikunjungi oleh orang Arab yang disebut sebagai Zabaj (dipercayai Sampugita), yang muncul hampir serentak dengan Sribuza (Sriwijaya) pada 671M.

Raja Pertama Memeluk Islam

Setelah ketibaan rombongan pendakwah terawal di barat Sumatera pada zaman Khalifah Othman Affan, hubungan diplomatik telah wujud antara Daulah Umayyah dengan Empayar Sriwijaya yang dibangunkan oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa pada 671M. Kemudian, sejak berdirinya Daulah Umayyah pada 661M, Khalifah Muawiyah Abu Sufyan telah melanjutkan hubungan persahabatan dengan kerajaan Buddha ini. Sri Indrawarman (702-728M) dikatakan meminta Khalifah Umar Abdul Aziz (717-719M) supaya mengirimkan pendakwah untuk baginda mempelajari Islam. Raja Sriwijaya itu memeluk Islam pada 718M sehingga kerajaannya disebut sebagai Sribuza Islam. Namun begitu, raja-raja Sriwijaya yang lain kekal beragama Buddha sehingga lenyap Sriwijaya dari peta dunia.

Raja Sri Indrawarman adalah cucu kepada Dapunta Hyang Sri Jayanasa, pengasas kerajaan Sriwijaya. Baginda memerintah antara 702 hingga 728M. Selepas memeluk Islam pada 718M, telah wujud penempatan-penempatan Islam dalam kerajaan Sriwijaya. Walau bagaimanapun, peng-Islaman baginda telah ditentang oleh Dinasti Tang, yang menganggapnya sebagai ancaman kepada perdagangan rempah. Dinasti Tang dikatakan telah menghantar pengembang agama Buddha Mahayana ke Palembang untuk menguatkan agama Buddha dan menyekat pengaruh Islam. Dengan tekanan Dinasti Tang, Sri Indrawarman dan keluarganya yang Islam telah berundur ke Minangkabau pada 728, dan kerajaannya yang diambil alih oleh Rudra Wikraman (728-775M) kembali beragama Buddha dan disebut sebagai Sriwijaya. Sri Indrawarman wafat pada 730M.

Daulah Islam Yang Pertama

Penempatan Islam di pantai barat Sumatera sejak 650M telah membawa kepada perkembangan Islam di utara Sumatera (Aceh). Di Perlak, ketika ini diperintah oleh Muerah Shahrun Nawi yang berketurunan campuran Parsi. Nakhoda Khalifah telah berjaya meng-Islamlan Meurah Shahrun Nuwi pada dekad awal 800M, kemudian seorang pendakwah, Ali Muhammad as-Sadiq telah mengahwini adik Meurah Shahrun Nuwi, Puteri Makhdum Tanshari. Anak mereka kemudiannya dilantik menjadi raja Perlak bergelar Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz pada 840M, sekali gus mengasaskan Kesultanan Perlak, sebagai daulah Islam yang pertama di Nusantara. Hikayat Aceh mendakwa Perlak di-Islamkan oleh Sheikh Abdullah Arif. Kerajaan Perlak ini bertahan sehingga 1292M, walaupun beberapa kali diserang oleh Sriwijaya pada 986M.

Dalam catatan China Dinasti Tang, menggambarkan “Ta Shih” adalah sebuah pemerintahan Islam di barat Sumatera yang menghantar rombongan pedagang ke China, tetapi tidak dapat dipastikan apakah ia adalah sebuah kerajaan Melayu Islam, atau hanya penempatan orang Arab yang beragama Islam. Tetapi yang lebih jelas, peng-Islaman Meurah Shahrun Nuwi pada dekad awal 800M sebagai permulaan berdirinya kerajaan Islam pertama. Sejak berdirinya Perlak, proses pengembangan Islam mulai meluas, terutama dengan terbinanya kerajaan-kerajaan Islam yang baru dan peng-Islaman kerajaan-kerajaan Melayu sedia ada. Antara kerajaan Islam yang baru muncul ialah Kesultanan Ternete (1257M) dan Kesultanan Samudera-Pasai (1267M). Kerajaan awal yang di-Islamkan pula ialah Kerajaan Kedah (1136M), Kerajaan Kelantan (1181M) dan Kerajaan Jawaka (1253M). Selain dinar emas Kelantan dan Batu Bersurat Terengganu yang merekodkan perlaksanaan syariat Islam, catatan Marco Polo bertarikh 1292M telah menjelaskan bahawa syariat Islam telah berkuatkuasa di Samedera-Pasai, sakali gus membuktikan bahawa telah wujud daulah Islam di Alam Melayu.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
5 Syawal 1439 / 19 Jun 2018