Home Berita PAS Pusat

Tadabbur Bulan Ramadhan: Bulan Doa

1355
SHARE

Tadabbur Bulan Ramadhan (2)

Bulan Doa


Bulan Ramadhan adalah bulan mendekatkan diri kepada Allah. Mendekatkan diri kepada-Nya adalah sukar kecuali oleh orang-orang yang khusyu’ dengan iman dan taqwa.

Taqwa menghuni hati yang bersih dan suci daripada kekotoran syirik dan maksiat. Jika ia wujud dan tidak dihalang, ia akan menolak sifat taqwa, bahkan mengalahkannya. Justeru difardhukan ibadah puasa di bulan yang penuh berkat ini sebagai senjata paling ampuh untuk menghalang syirik dan maksiat bersarang di dalam hati orang-orang yang beriman.

Puasa bermaksud menahan diri dan sabar daripada sesuatu. Ia latihan mengurus nafsu di dalam diri yang sentiasa panas dan meronta-ronta untuk mencari keseronokan dan kepuasan duniawi yang penuh tipu daya. Dengan menahan diri daripada nafsu makan dan nafsu syahwat ke atas perkara yang harus seperti makanan sendiri dan isteri sendiri, maka ia mencipta satu pengaruh dalam diri untuk menjadi lebih mudah menahan diri dan sabar daripada perkara-perkara yang memang haram.

Apabila hati telah bersih, maka ia mula melonjak naik meninggalkan kehendak nafsu menuju alam atas yang lebih mulia dan kudus. Itulah maksud mendekatkan diri kepada Allah. Allah menjadi matlamat kehidupan dan amal buatnya di dunia. Ia berlaku cemerlang di bulan Ramadhan al mubarak.

Apabila Allah mendekati sang hamba, maka akan adalah dialog atau munajat di antara kedua-duanya. Allah menawarkan dan sang hamba segera memohon kepada tuhannya itu. Ia tidak mungkin berlaku jika Allah dan hamba-Nya tidak saling mendekati.

Itulah doa yang akan terhasil daripada puasa dan ibadah di bulan Ramadhan. Begitu juga daripada para hamba-Nya yang berusaha mendekatkan diri kepada-Nya pada setiap masa dan keadaan.

Lihatlah tawaran Allah yang maha pengasih di dalam ayat di bawah kepada para hamba-Nya yang merindui-Nya pada sepanjang bulan Ramadhan.

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ (186)

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanyamu (wahai Muhammad) mengenai-Ku, maka (jawablah) bahawa sesungguhnya Aku ini dekat. Aku akan memperkenankan doa orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka semua menyahut seruan-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku semoga mereka beroleh petunjuk” – al Baqarah:186

Ayat di atas diletakkan bersama dengan ayat-ayat sebelumnya berkaitan kefardhuan dan hukum-hakam ibadah puasa. Ia memberi maksud yang jelas betapa sifat taqwa yang terhasil daripada ibadah puasa telah berjaya menarik sang hamba mendekati -Nya. Di situlah doa menjadi penghubung di antara sang hamba denga tuhannya.

Justeru janganlah lupa, hidupkan bulan Ramadhan ini dengan bibir yang sentiasa basah dengan zikir tasbih dan tahmid, serta doa yang kudus tawadhu’ demi redha-Nya.