RAMADHAN DAN PERJUANGAN
MENGGALI PARIT PERANG KHANDAK: PERMULAAN KEMENANGAN ISLAM (16 RAMADHAN 5)
KEKALAHAN umat Islam dalam Perang Uhud pada tahun 3H telah menaikkan semangat kaum musyrikin Mekah dan orang-orang Yahudi Madinah untuk menghancurkan Islam. Bagi mereka inilah peluang terbaik untuk melemahkan umat Islam melalui gabungan semua kekuatan untuk mengepung Madinah. Di pihak umat Islam pula, kekalahan ini telah memberikan pengajaran yang besar setelah mereka berhasil mengalahkan Arab Quraisy dalam Perang Badar pada tahun 2H, dan kekalahan di medan Uhud mesti ditebus segera. Sejak tercetusnya Perang Badar pada tahun 2H yang dimenangi oleh umat Islam, ada dua siri perperangan berlaku pada dua tahun berikutnya iaitu Perang Uhud (3H) dan Sariyah Badar (4H). Walau bagaimanapun, dalam gerakan Rasulullah SAW di Badar pada tahun 4H, tidak tercetus perperangan.
Di sebelah kaum musyrikin Quraisy, mereka telah membuat pakatan dengan pelbagai pihak membentuk tentera ahzab (gabungan), kerana itu perang ini dikenali dengan nama Perang Ahzab. Pasukan Ahzab terbentuk apabila pemimpin Yahudi Bani Nadhir dari Madinah berjaya menghasut musyrikin Quraisy untuk menghancurkan Islam. Mereka kemudiannya berjaya menarik penyertaan badwi Najd terdiri dari Bani Ghatafan, Bani Asad, Bani Sulaim, Bani Murrah dan Bani Shujah. Bani Quraizah, iaitu Yahudi Madinah menyertai mereka kemudiannya. Bani Khuzaah dan Bani Amir enggan menyertainya kerana mempunyai perjanjian dengan Nabi SAW. Jumlah tentera Ahzab ini adalah 10,000 infantri, 600 tentera berkuda dan 1,500 penunggang unta.
Menggali Parit: Strategi Pertahanan Islam
Berita tentang persiapan musyrikin Mekah ini telah sampai kepada Rasulullah SAW melalui seorang pemuda Bani Khuzaah. Maklumat ini telah menyebabkan persiapan menghadapi perang dibuat segera kerana pergerakan musuh dijangka tiba sekitar seminggu daripada maklumat itu diterima. Ketika ini, umat Islam sedang berpuasa Ramadhan dan tidak mempunyai apa-apa persiapan menghadapi perang. Dalam Perang Badar, mereka mengambil strategi menguasai sumber air dengan mengepung perigi, sedangkan dalam Perang Uhud mereka menguasai bukit-bukit untuk pertahanan pasukan pemanah. Kali ini, umat Islam mengambil strategi bertahan dalam kota untuk menghadapi serangan musuh.
Cadangan bertahan dalam kota ini adalah saranan Salman al-Farisi berdasarkan strategi perang zaman Empayar Sasan di Parsi. Mereka menggali parit sebagai kubu pertahanan untuk menghalang kemaraan musuh, dan musuh terpaksa mengepung di luar kota – satu pendekatan perang yang belum pernah dialami oleh orang Arab Quraisy sebelumnya. Sepakat dengan cadangan Salman al-Farisi, kerja-kerja menggali parit dilakukan oleh Rasulullah SAW bersama para Sahabat bermula 16 Ramadhan 5H. Mereka mengambil masa 20 hari untuk menyiapkan parit ini, walaupun ada pendapat mengatakan enam hari.
Parit yang digali pada bahagian utara Madinah melibat dua parit berhadapan dengan Bukit Sala’. Keadaan muka bumi Madinah yang berbukit dan ditumbuhi ladang-ladang kurma, menyukarkan pergerakan tentera. Maka, kawasan terbuka di bahagian utara Madinah digalikan parit, menyebabkan tentera musuh hanya boleh menyerang dari arah utara yang berparit itu sahaja. Umat Islam membuat persiapan dengan memetik makanan lebih awal, manakala kanak-kanak dan wanita berada dalam kota.
Perang Tercetus: Pasukan Ahzab Kalah Tektikal
Setelah parit selesai digali yang mengambil masa antara enam hingga 20 hari, pasukan Ahzab tiba utara Madinah pada awal bulan Syawal. Mereka mengepung Madinah dengan seluruh kekuatan, tetapi kuda-kuda mereka tidak dapat memasuki kota Madinah disebabkan oleh parit tersebut. Tentera Islam menunggu di seberang parit dengan bekalan makanan yang dituai lebih awal, sedangkan kuda, unta dan tentera Quraisy mulai kehabisan makanan. Mereka tidak mempunyai pengalaman mengepung musuh, kerana orang Arab berperang dengan cara berhadapan untuk tempoh satu atau dua hari sahaja. Kepungan mereka mengambil masa selama 27 hari, yang menyebabkan bekalan makanan terputus, kuda dan unta mati kelaparan serta memberi tekanan dan kebosanan kepada tentera musyrikin.
Selain berusaha melintasi parit tersebut, termasuk waktu malam, mereka membuat strategi menghasut Bani Quraizah supaya menyerang Madinah dari arah selatan, sedangkan Nabi SAW berusaha memujuk Bani Quraizah supaya jangan mengkhianati Piagam Madinah sehingga menerima akibat seperti Bani Nadhir dan Bani Qainuqak. Ketika Bani Quraizah mulai berpihak kepada tentera Ahzab, pasukan Islam berjaya melaga-laga sesama pasukan Ahzab sehingga mereka bergeser sesama sendiri, termasuk perbalahan Quraisy dan Yahudi akibat perperangan pada hari Sabtu. Akhirnya berlaku perlawanan berdepan antara Ali bin Abi Talib dengan Amru bin Abu Wud sebelum pemimpin Quraisy itu dibunuh. Tentera Bani Makhzum yang cuba melintasi parit juga berjaya dibunuh. Dalam tempoh penyerangan selama 15 hari, Allah telah mengkucar-kacirkan mereka dengan pergeseran. Kemudian, mereka didatangi oleh angin kencang yang dingin, sehingga Abu Sufian mengarahkan tentera Quraisy berundur ke Mekah. Perang ini tamat pada 7 Zulqaedah 5H dengan umat Islam menguasai rampasan perang.
MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
16 Ramadhan 1439 / 1 Jun 2018