LEMBAH PANTAI, 29 April – Berbeza dengan dengan parti politik lain yang kebanyakannya menyajikan hadiah mewah semata-semata di karnival mereka, PAS tampil dengan pembawakan yang berbeza dengan menyeimbangkan unsur duniawi dan ukhrawi.
Memetik ulasan daripada pengarah prorgam Mini Karnival Keluarga Bahagia, Cik Nur Kamilah berkata sepanjang dua siri program yang telah dijalankan, beliau melihat penerimaan masyarakat terhadap PAS amat baik walaupun PAS tidak pernah meletakkan calon sebelum ini.
“Walaupun PAS tidak pernah bertanding di Parlimen Lembah Pantai sebelum ini, tetapi penerimaan masyarakat termasuk bangsa Cina dan India amat baik dengan kehadiran yang menggalakkan ke program ini.
“Ini merupakan satu kejayaan yang telah ditunjukkan oleh PAS melalui konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera demi melahirkan masyarakat Malaysia Sejahtera di samping menyampaikan dakwah kepada non muslim bahawa PAS sesuai untuk semua,” jelas beliau.
Sepanjang siri mini karnival berjalan, pelbagai aktiviti telah diadakan. Antaranya ialah pemeriksaan kesihatan , rawatan Darusyifa’, jualan barang asas pada separuh harga, demo masakan, jualan murah baju kanak-kanak, permainan,jeans, telekung dan banyak lagi. Lebih menarik lagi apabila kaunter khidmat guaman dan kaunseling keluarga dibuka secara percuma. Penganjuran Mini Karnival Keluarga Bahagia dilihat seolah-olah telah mencakupi seluruh aspek kebajikan yang diperlukan oleh masyarakat.
“ Sebagai contoh untuk mendapat khidmat guaman dan khidmat kaunseling daripada pakar professional, ia memerlukan kos agak tinggi tetapi PAS menawarkan secara percuma bagi meraikan golongan yang kurang berkemampuan, saya kira inilah antara kebajikan berkualiti yang diperlukan oleh rakyat ” tambah beliau.
Sepanjang program berlangsung, LAr Haji Fauzi selaku calon PAS turut berkesempatan hadir dan memberi ucapan kepada pengunjung. Kehadiran beliau bersama keluarga memeriahkan lagi suasana karnival dan secara tidak langsung memperlihatkan ketokohan beliau sebagai bapa dan ketua keluarga yang berkarisma. Sifat beliau yang mesra amat disenangi oleh pengunjung yang hadir.
“Kita melihat penganjuran program ini selaras dengan manifesto PAS yang mengemukakan pelbagai tawaran khususnya bagi menstabilkan ekonomi rakyat. Antaranya kita mencadangkan agar mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar pembangunan yang berupaya membasmi kemiskinan dan menyusun ketidakseimbangan ekonomi dalam kalangan masyarakat Malaysia,” ujar beliau.
Beliau berharap agar penduduk Lembah Pantai pada pilihanraya kali ini dapat memberi peluang kepada PAS untuk mentadbir Lembah Pantai dan membawa suara mereka di Parlimen kelak.
Program ini turut gah dengan penglibatan penuh oleh anak muda daripada jentera kawasan yang terdiri daripada Pemuda, Ameerah dan Muslimat serta jabatan pilihanraya Lembah Pantai.