BATU, 20 April – Kehadiran Ustaz Azhar Yahya, calon PAS bagi P115 Parlimen Batu di tapak pasar malam Fasa 8/9, Bandar Baru Sentul petang ini mendapat perhatian pengunjung pasar malam tersebut.
Seawal ketibaan Ustaz Azhar di situ, beliau dan rombongannya disambut dengan laungan takbir dan sebahagian pengunjung segera mendekati beliau untuk bersalam-salaman.
Ustaz Azhar, dalam ucapan beliau, sebaik sahaja memperkenalkan diri sebagai anak tempatan yang pernah bersekolah di Sek. Keb. La Salle Sentul, seorang lelaki Cina warga emas menerpa ke arah beliau dan memeluk beliau dengan gembira.
Setelah berbual, rupa-rupanya lelaki tersebut adalah bekas guru kepada Ustaz Azhar di SK La Salle dulu.
“Tahniah. Baguslah kalau ada orang tempatan sendiri sebagai wakil rakyat di sini, orang Islam pula. Saya doakan semoga kamu menang”, kata lelaki itu memberikan sokongannya kepada Ustaz Azhar.
Dalam ucapannya, Ustaz Azhar juga menarik perhatian hadirin terhadap manifesto PAS untuk menghapuskan GST dan melupuskan hutang peminjam PTPTN sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.