Jangan Ambil Mudah Dengan Aurat
Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN – Para pemuda diingatkan agar tidak mengambil mudah tentang penjagaan aurat kerana ianya amat dituntut oleh Allah.
Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri(MTD) Rantau Abang, Alias Harun turut menggesa agar sukan patuh syariah yang dilaksanakan oleh kerajaan Negeri Terengganu diterima sebaiknya oleh rakyat.
“Kita sepatutnya tidak berasa berat untuk mematuhi syarat mesti menutup aurat yang digariskan di dalam setiap penyertaan mana-mana pertandingan sukan,” tegasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DUN tersebut berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Futsal Remaja Piala ADUN Rantau Abang di Beach Court Futsal di sini pada 21 Disember.
Menurut Alias, tujuan syarat berkenaan untuk memelihara aurat peserta-peserta.
“Sebagai kerajaan yang prihatin, ia bukan sahaja memberi kesenangan kepada rakyat tetapi juga menghindari rakyat daripada api neraka,” jelasnya lagi.
Di dalam kejohanan tersebut sebanyak 28 pasukan yang terdiri daripada remaja berusia 20 tahun ke bawah menyertai kejohanan sehari itu.
Kejohanan tersebut yang telah dianjurkan oleh Pemuda PAS DUN itu menyaksikan Keropok Sri Sura berjaya merangkul Piala ADUN Rantau Abang yang disampaikan oleh Ketua Pemudanya, Ustaz Fahim Abdullah Husain.