Tazkirah Pengisian Sambutan Tahun Baharu
Oleh: Saifullah Jusoh
BESUT – Sambutan Ambang Tahun Baharu 2020 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut diisi dengan tazkirah agama dan diselitkan dengan sedikit hiburan.
Tazkirah agama tersebut telah disampaikan oleh Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Besut, Ustaz Nik Roslan Mustafa bagi memberi peringatan dan kesedaran kepada penduduk Dun Kuala Besut.
Sambutan kali ini diadakan di Dewan Terbuka Muara Sungai Kuala Besut pada 31 Disember 2019 yang dihadiri oleh ramai penduduk Dun Kuala Besut.
Pengerusi MTD PAS Kuala Besut, Haji Azbi Salleh ketika menyampaikan ucapan dalam program tersebut berkata, beliau mengingatkan kepada semua agar tahun 2020 kita menjadi lebih baik dari sebelumnya.
“Kita perlu muhasabah diri kita di mana kelemahan dan kekurangan yang perlu kita perbaiki agar kita sentiasa menjadi yang terbaik.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pemuda PAS DUN Kuala Besut yang menganjurkan program sebegini bagi memberikan pengisian rohani dan juga hiburan kepada penduduk DUN Kuala Besut,” ujar Azbi Salleh.
Sambutan ini diakhiri dengan selawat keatas Nabi Muhammad SAW dan penyampaian hadiah cabutan bertuah kepada yang yang hadir.
Turut sama dalam program ini ialah Ketua Pemuda PAS Dun Kuala Besut, Hafiz Yusof dan Pegawai Khas Dun Kuala Besut, Mohd Sulaiman.