Home Kenyataan Media Presiden PAS

Konsep Islah Dan Taubat Bukan Kitar Semula

3853
SHARE

Kenyataan Media Presiden PAS

KONSEP TAUBAT DAN ISLAH BUKAN KITAR SEMULA

Perkataan kitar semula disebut dalam masyarakat umum kepada barangan yang dibuang, seperti tayar terpakai, botol, kampit yang dicampak dan sebagainya untuk diguna pakai semula, tidak sepatutnya digunakan kepada makhluk manusia yang mulia kejadiannya.

Adapun manusia yang berakal disebut penerusan amal yang soleh. Kalau bersalah disebut bertaubat dan ditebuskan dosanya dengan melakukan islah (perubahan) melalui amalan yang baik dan membayar kesalahannya dengan bersopan tanpa merosakkan pula.

Peranan manusia tidak boleh disamakan seperti menukar enjin, tayar kereta dan sebagainya dengan menggunakan barang yang baru atau dikitar semula. Perbezaannya manusia itu akan dihisab amalannya di dunia selepas meninggal dunia dan masuk ke alam akhirat, berbeza dengan barangan yang akhirnya hancur dibakar menjadi abu atau menjadi tanah.

Islam menunjukkan teladan para sahabat R.A yang dipecat oleh Rasulullah S.A.W seperti Saad bin Ubadah R.A ketika melanggar disiplin dalam Peristiwa Fathu Makkah yang dicatat sejarahnya, Khalid bin Al-Walid R.A yang diturunkan kedudukannya oleh Khalifah Umar R.A dengan digantikan orang yang lebih layak, namun mereka terus beramal menjadi petugas biasa dengan ikhlas menuntut keredaan Allah.

Kalangan yang dihukum kerana kesalahannya pula menebus dosa dengan berjuang lebih gigih dan ikhlas sehingga mengorbankan diri laksana lilin yang sanggup membakar diri ditempatnya tanpa menganggu orang lain.

Allah berfirman terhadap ulama ahli kitab yang berdosa menyembunyikan kebenaran, kemudiannya sedar dan insaf:

إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ وَأَصۡلَحُواْ وَبَيَّنُواْ فَأُوْلَٰٓئِكَ أَتُوبُ عَلَيۡهِمۡ وَأَنَا ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ ١٦٠ البقرة

“Kecuali mereka yang telah bertaubat dan mengadakan islah (perbaikan) dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itu, Aku (Allah) menerima taubatnya dan Akulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang” (Surah Al-Baqarah: 160)

Ayat ini menceritakan penjelasan mereka terhadap kesalahan dan melakukan islah kerana berdosa terhadap rakyat umum yang ditipu, dibeli atau dibuli.

Selanjutnya Allah berfirman menyatakan sifat orang yang bertaqwa kalau melakukan dosa:

وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ ١٣٥ أُوْلَٰٓئِكَ جَزَآؤُهُم مَّغۡفِرَةٞ مِّن رَّبِّهِمۡ وَجَنَّٰتٞ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ وَنِعۡمَ أَجۡرُ ٱلۡعَٰمِلِينَ ١٣٦ آل عمران

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (135) Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. (136)” (Surah Ali-Imran: 135-136)

Firman Allah:

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَيِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفٗا مِّنَ ٱلَّيۡلِۚ إِنَّ ٱلۡحَسَنَٰتِ يُذۡهِبۡنَ ٱلسَّيِّ‍َٔاتِۚ ذَٰلِكَ ذِكۡرَىٰ لِلذَّٰكِرِينَ ١١٤ هود

“Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.” (Surah Hud: 114)

Sabda Rasulullah S.A.W.

اتق الله حيثما كنت، وأتبع السيئة الحسنة تمحها، وخالق الناس بخلق حسن “رواه الترمذي وقال حديث حسن

“Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, ikutilah kejahatan itu dengan kebaikan nescaya menghapuskan dosanya, dan berakhlak terhadap manusia” (Riwayat Tirmizi, Hadis Hasan)

Rasulullah S.A.W telah menjelaskan pula pendekatan islah itu tanpa merosakkan umat seluruhnya, bahkan menyelamatkan dengan sabdanya:

مثل القائم في حدود الله والواقع فيها كمثل قوم استهموا علي ىسفينة فصار بعضهم أعلاها وبعضهم أسفلها، فكان الذين في أسفلها إذااستقوا من الماء مروا على من فوقهم، فقالوا: لو أنا خرقنا فينصيبنا خرقا ولم نؤذ من فوقنا. فإن تركوهم وما أرادوا هلكوا جميعا، وإن أخذوا على أيديهم نجوا ونجوا جميعا ” رواه البخاري ” رياض الصالحين لأبي زكريا الدمشقي .

“Bandingan kalangan yang menegakkan sempadan Allah (mencegah kemungkaran) dan kalangan yang melakukan kemungkaran laksana mereka diundi kedudukannya di atas sebuah bahtera (kapal). Ada yang dipilih berada di atas dan ada yang diletakkan di bawah. Apabila kalangan yang berada di bawah memerlukan air, melalui kalangan yang berada di atas. Lalu mereka berkata: Ambilah jalan mudah, kalau ditebuk sahaja kapal ini, tidak bersusah payah terhadap kalangan yang berada di atas. Kalaulah dibiarkan mereka melakukan kemahuannya nescaya semuanya binasa tenggelam. Kalaulah dicegahnya bertindak begitu selamatlah semuanya”. (Riwayat Bukhari)

Islam menunjukkan pendekatan menyelamatkan manusia bersama Islam seberapa ramai yang mungkin, bukannya menghapuskan. Pendekatan perubahan daripada kesalahan kepada pembetulan, ditukar yang jahat kepada yang baik, bukannya ditukar kepada yang jahat juga dan lebih parah sekiranya keadaan menjadi lebih buruk dan penyakitnya bertambah parah.

Orang yang berlumuran dengan kotoran dimandikan dan dipakaikan pakaian baru atau pakaian yang dibersihkan. Kalau pakaiannya kotor, dibasuhkan. Tiada makna juga kalau hanya menukar baju baru atau baju yang dibersihkan, tetapi dipakaikan kepada jasad yang tidak mahu mandi. Adapun bertaubat itu lebih mudah, pintunya sangat luas, masanya juga panjang selagi matahari belum muncul dari arah barat. Jangan tenggelam dalam angan-angan kosong.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 25 Rabiul Akhir 1439 / 13 Januari 2018