KANGAR : Badan Perhubungan PAS Perlis, Dewan-Dewan Negeri serta seluruh pemimpin dan ahli PAS semua peringkat negeri ini merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga dan waris para pelajar Maahad Tahfiz Ittifaqiah, Keramat, yang terkorban syahid akibat kebakaran pada 14 September lalu.
Menurut Pesuruhjayanya, YB Mohd Syukri Ramli , kejadian tragis yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru itu perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak manakala mereka yang bertanggungjawab pula mestilah mendapat balasan yang setimpal.
“Sudahlah kita berasa sedih dengan kebakaran yang berlaku, namun apa yang lebih menyedihkan adalah mereka yang merancang melakukan kebakaran adalah mereka yang terdiri dari remaja belasan tahun.”
“Hampir kesemua mereka yang terlibat adalah positif dengan dadah syabu dan tidak bersekolah,” ujarnya lagi.
“Hal ini menunjukkan, keadaan sosial remaja kita sangatlah tenat, banyak faktor yang menyebabkan kejadian tersebut berlaku antaranya sumber dadah yang senang diperolehi.”
“Budak belasan tahun pun dengan mudah mendapat bekalan dadah, malahan dadah syabu ini dikategorikan sebagai dadah yang sangat merbahaya yang boleh merosakkan otak si penagih,” tambah beliau.
Syabu atau nama saintifiknya Methamphetamine hydrochloride adalah sejenis dadah tiruan. Ia juga dikenali dengan nama ice atau ‘rack meth’.
Mereka yang menghisap syabu tidak boleh tidur dan boleh melakukan aktiviti jenayah seperti pecah rumah dan mencuri.
Maka, tidak hairanlah kenapa remaja yang terlibat ini sanggup melakukan kebakaran di pusat tahfiz tersebut.
Bukan sekali negara dikejutkan dengan kejadian yang diakibatkan oleh dadah, misalnya pada Jun tahun lalu, seorang nenek dipotong kaki oleh cucunya sendiri akibat dari ketagihan dadah.
“Sudah tiba masanya kita sedar akan kelemahan sistem pendidikan negara kita, Kementerian Pendidikan perlu mengembalikan semula ‘hak’ merotan dan mendidik pelajar kepada semua guru,” tegasnya lagi yang juga bekas seorang guru.
“Biarlah ibu bapa melihat tapak tangan anaknya berbirat kemerahan dari menangis melihat tangan anak bergari ditangkap polis,”ujarnya lagi.