BAGAN DATUK: Di antara peringatan menarik yang dibuat oleh Dr Khairuddin Aman Razalli dalam ceramah beliau di Selekoh, Bagan Datuk, Perak pada 22 Mei lalu berkaitan budaya politik matang sejahtera (BPMS).
Jelasnya, keperluan bertawakkal kepada Allah SWT terhadap apa jua kemungkinan dari mengamalkan politik damai.
Beliau memetik ayat 61 dan 62 dari surah Al Anfaal di mana Allah memerintahkan Rasul-Nya untuk menerima perdamaian yang ditawarkan kaum Musyrikin dan Ahli Kitab yang tidak memerangi beliau dan menyerahkan kepada Allah berkenaan apa yang tersirat di hati mereka.
Dalam Ayat 61, orang-orang Islam diajar menerima perdamaian jika itu menjadi keinginan pihak musuh.
Firman Allah SWT : Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Dalam ayat 62 pula Allah menghilangkan rasa bimbang dan khuatir di hati Rasulullah dan orang-orang beriman dengan mengatakan : Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu.
Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.
{jathumbnail off}